Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah menerima kunjungan tetamu melebihi 4,000 orang pada Majlis Erat Raya MADA 2019 yang diadakan di Ibu Pejabat MADA bermula dari jam 5.00 petang hingga 10.00 malam. Buat julung-julung kalinya majlis dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi MADA merangkap Menteri Besar Kedah, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir dimana beliau telah meluangkan masa beramah mesra bersama kakitangan MADA serta tetamu jemputan disamping pengunjung berpeluang untuk berswafoto bersama beliau.

Pelbagai juadah wajib Aidilfitri seperti ketupat, lemang, rendang, kuah kacang dan sebagainya lagi turut dihidangkan selain menu-menu unik seperti kambing golek, jud mempelam dan pencuci mulut.

Majlis Erat Raya MADA 2019 telah diserikan lagi dengan persembahan nyanyian artis tempatan dari Kedah yang dinyanyikan secara “live” seperti Wahab Golok, Baby Iman Zainal & Mushawir. Lebih dari 20 buah lagu telah diperdendangkan kepada tetamu jemputan dimana para pengunjung diberikan peluang untuk bernyanyi bersama-sama dengan artis jemputan.

Majlis ini turut diserikan lagi dengan kehadiran mantan-mantan Pengurus Besar MADA iaitu Yang Berbahagia Dato’ Hj. Abdul Rahim Salleh & Yang Berbahagia Dato’ Syed Azizan serta kehadiran Mantan Pengerusi MADA iaitu Yang Berbahagia Dato’ Wira Othman Bin Haji Aziz.

Kebanjiran lautan manusia di majlis ini memberikan kelainan kepada pengunjung apabila mereka dapat menikmati juadah raya dan terhibur dengan persembahan artis di samping kunjungan mereka disambut oleh seluruh warga kakitangan MADA dengan tangan dihulur disamping senyuman terukir.