Yang Berhormat Ahmad Tarmizi Bin Sulaiman, Pengerusi MADA hari ini telah mengadakan sesi lawatan kerja ke Empangan Pedu, Padang Terap, Kedah.

Majlis dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Encik Ahmad Sukri Bin Saad, pemangku Pengarah Bahagian Pengurusan Empangan dan Sumber Air serta Tuan Haji Syed Zainuddin B. Syed Zain, Timbalan Pengurus Besar (Teknikal). Turut hadir sama dari Ibu Pejabat MADA iaitu Encik Zulkifli Bin Romli, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan serta pegawai-pegawai dari Bahagian Empangan & Sumber Air.

Pengerusi MADA kemudian dibawa memasuki ke dalam empangan Pedu untuk melihat dan diberi taklimat mengenai sistem-sistem pemulihan dan struktur-struktur pengoperasian empangan. Seterusnya beliau di bawa menaiki bot menelusuri sepanjang tasik di empangan Pedu untuk melihat keluasan takungan air di empangan.

Pengerusi MADA di dalam lawatannya menzahirkan rasa bangga kerana MADA berperanan penting di dalam menguruskan sumber air dari empangan untuk keperluan domestik serta untuk mengairi seluruh Kawasan Muda.

Katanya lagi, dengan sistem pengurusan air yang baik serta manfaat yang boleh diterima oleh seluruh masyarakat di negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Langkawi, beliau turut berharap masyarakat dapat bersama-sama menjaga kawasan tadahan sumber air agar tidak dicerobohi oleh aktiviti haram seperti pembalakan dan sebagainya.

Sebelum berakhirnya lawatan kerja, Pengerusi MADA sempat beramah mesra dengan kakitangan-kakitangan operator yang menguruskan empangan. Lawatan kerja Pengerusi MADA ke Empangan Pedu turut mendapat kunjungan dari Yang Berhormat Ustaz Mohd Azam Abdul Samat, ADUN Sungai Limau serta Yang Berhormat Tuan Haji Radzi Md Amin, ADUN Pedu.