[Back]

Lawatan Timbalan Menteri MOA ke Empangan Pedu dan Muda (27 Februari 2010)


Lawatan YB Dato’ Wira Mohd Johari bin Baharum
Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia
ke Empangan Pedu dan Muda

27 Februari 2010

Baru-baru ini YB Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia telah meluangkan masa bersama media untuk melawat ke Empangan Pedu dan Empangan Muda bagi melihat sendiri kedudukan takungan air di kedua-dua empangan itu. Lawatan ini bertujuan untuk menjelaskan kepada media bahawa kedudukan air di kedua-dua empangan pada ketika ini sebanyak 85% mampu untuk menampung keperluan air bagi dua musim penanaman akan datang jika cuaca panas dan kering ini berterusan. Isu ini timbul ekoran gambar dan berita yang disensasikan di akhbar-akhbar tempatan menunjukan beberapa tempat penanaman padi yang kering dan ketiadaan air. Situasi ini membimbangkan banyak pihak dan MADA bersama YB Timbalan Menteri telah turun padang bagi menjelaskan kedudukan yang sebenar kepada media.

Lawatan ini dimulakan dengan taklimat ringkas berkenaan ketiga-tiga empangan iaitu Pedu, Muda dan Ahning disampaikan oleh En. Hor Tek Lip, Pengarah Bahagian Pengurusan Empangan dan Sumber Air bertempat di Pejabat Juruteknik Empangan Pedu. Ianya diikuti dengan sesi soal jawab bersama media. Sejurus tamatnya sesi taklimat ini, ianya diikuti dengan lawatan sekitar Tasik Pedu dengan menaiki bot. Peluang menaiki bot meninjau sekitar Tasik Pedu ini dapat meyakinkan media bahawa kedudukan air berada di dalam keadaan selesa dan mampu mengairi Kawasan Muda bagi musim penanaman akan datang.

Selesai meninjau Tasik Pedu, rombongan dibawa ke Muda Resort melalui jalan Trans Eastern Kedah Interland Highway yang masih dalam pembinaan untuk menikmati makan tengahari. Makanan tengahari yang disajikan lebih menarik apabila menu daging rusa bakar dan sup tulang rusa menjadi menu tumpuan rombongan.

Selesai menikmati hidangan, rombongan kemudian dibawa ke Empangan Muda bagi melihat sendiri keadaan takungan air di Empangan Muda. Rombongan berkesempatan untuk masuk ke Access Gallery bagi melihat operasi empangan di mana aktiviti pemantauan keselamatan empangan dan penyenggaraan empangan dilakukan di sini.

Lawatan turun padang ini berakhir di perkarangan Empangan Muda dan kesempatan ini berjaya memberi perspektif baru kepada media bahawa kedudukan air di kedua-dua empangan yang dilawati dapat menampung keperluan air yang diperlukan oleh peladang di Kawasan Muda.