d
c

[Back]

Majlis Amanat Pengurus Besar MADA Tahun 2010 (14 Januari 2010)


Majlis Amanat Pengurus Besar MADA Tahun 2010

14 Januari 2010

Sempena menyambut tahun baru 2010, suatu Majlis Amanat Pengurus Besar MADA Tahun 2010 telah diadakan di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar. Majlis Amanat ini merupakan acara pertama tahun ini yang mengumpulkan wakil anggota MADA seramai 500 orang yang berkhidmat di seluruh Kawasan Muda bagi mendengar amanat yang disampaikan oleh Pengurus Besar MADA.

Sejak jam 8.00 pagi, anggota MADA telah memenuhi ruang dewan sebelum majlis bermula tepat jam 9.00 pagi. Pengurus Besar MADA, Y. Bhg. Dato’ Hj. Abdul Rahim bin Saleh tiba diiringi Timbalan-timbalan Pengurus Besar dan Pengarah-pengarah Bahagian dan majlis diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku, Dasar Pertanian Negara dan Satu Malaysia. Bagi memberkati majlis pada pagi itu, En. Alias bin Said, Pegawai Teknologi Maklumat daripada Bahagian Perancangan & Teknologi Maklumat telah mendahului bacaan doa. Majlis diteruskan dengan persembahan multimedia Imbasan Pencapaian MADA 2009 yang menunjukkan aktiviti, program dan kejayaan yang dikecapi oleh MADA sepanjang tahun 2009 yang utuh tersimpan dalam lipatan sejarah MADA.

Acara kemuncak pada pagi itu diteruskan dengan ucaptama Pengurus Besar MADA, Y. Bhg. Dato’ Hj. Abdul Rahim bin Saleh. Anggota MADA telah dimaklumkan bahawa tahun 2009 merupakan tahun yang berjaya kepada MADA dan anggota MADA diminta untuk memantapkan usaha supaya pencapaian tahun-tahun lalu dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih baik. Tahun ini merupakan tahun pelaksanaan kepada sasaran yang direncanakan pada tahun 2009. Maka, seluruh anggota MADA diminta untuk menggandakan usaha bagi memastikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah dirancangkan dapat dilaksanakan sepenuhnya. Dato’ Pengurus Besar MADA turut memberi penekanan kepada fokus utama MADA bagi tahun ini iaitu untuk meningkatkan pendapatan peladang dan juga meningkatkan pendapatan PPK.

Sejurus selesai ucapan daripada Dato’ Pengurus Besar MADA, majlis diteruskan dengan penyampaian Anugerah Sijil ISO 9001 : 2008 Bahagian Pengurusan Empangan Dan Sumber Air dan penyampaian anugerah Kategori Minuman Terbaik yang diraih ketika berlangsungnya program Satu Daerah Satu Industri di Melaka baru-baru ini.