Aktiviti MADA

Lawatan Kerja Sehari PM ke Negeri Kedah Darul Aman
28 Oktober 2007


Pendang – Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah telah berkunjung ke negeri Kedah dalam rangka lawatannya selama sehari bersama rakyat Kedah pada 28 Oktober 2007 yang lalu. Ketibaan beliau dan isteri disambut oleh kepimpinan tertinggi negeri Kedah dan rakyat Kedah dalam tiga acara yang berlainan:-
1) Pelancaran GABEM ( Gagasan Badan Ekonomi Melayu) Negeri-negeri Wilayah Utara
2) Perhimpunan Bersama Rakyat di Mini Stadium Pendang
3) Lawatan dan Taklimat Banjir di Pekan Pendang

Pelancaran GABEM ( Gagasan Badan Ekonomi Melayu) Negeri-negeri Wilayah Utara
Pelancaran GABEM Negeri-negeri Wilayah Utara telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri di Dewan Sri Mentaloon disaksikan lebih 2000 jemputan yang menghadiri majlis tersebut. Selain itu, Menteri Besar Kedah dan isteri turut menyambut ketibaan YAB Perdana Menteri dan isteri. Majlis dimulakan dengan teaser dan seterusnya diikuti oleh ucapan Pengerusi GABEM, Tan Sri Rahim Tamby Chik. Beliau dalam ucapnya menyeru agar kaum Melayu untuk terus bangkit berjuang dalam meningkatkan ekonomi orang Melayu dengan menggunakan GABEM sebagai platform. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucaptaman YAB Perdana Menteri yang menyeru orang Melayu untuk lebih serius merebut peluang yang disediakan oleh Kerajaan.

Perhimpunan Bersama Rakyat di Mini Stadium Pendang
Perhimpunan Bersama Rakyat di Mini Stadium Pendang dimulakan dengan ucaptama YAB Perdana Menteri tepat pada pukul 3.30 petang setelah menghadiri Majlis Pelancaran GABEM Negeri-negeri Wilayah Utara. Perdana Menteri dalam ucapan menyeru agar semua rakyat bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama dalam menangani arus perubahan semasa. Kawasan Pendang yang seringkali terbabit dalam masalah banjir akan diberi perhatian yang sewajarnya oleh Kerajaan dengan meningkatkan infrastruktur pengairan dan saliran. Perhimpunan tersebut berjaya menghimpunkan lebih 5000 rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan bangsa.

Lawatan dan Taklimat Banjir di Pekan Pendang
Selepas menghadiri Perhimpunan Bersama Rakyat di Mini Stadium Pendang, YAB Perdana Menteri telah meluangkan masa melawat Stesen Sukatan Paras Air Sungai Pendang JPS berdekatan Balai Bomba Sukarela Pendang untuk melihat kesan banjir. Dalam lawatan ringkas YAB Perdana Menteri itu, Pengarah JPS Kedah telah memberikan sedikit taklimat ringkas berkenaan banjir yang telah melanda kawasan Pendang baru-baru ini yang mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kerosakan tanaman kepada sebahagian besar penduduk Pendang.

 

 

 
 
         
 
 
   
Copyright © 2005. MADA. All Rights Reserved.