Aktiviti MADA

MAJLIS PELANCARAN WILAYAH EKONOMI KORIDOR UTARA


Ampang Jajar, 30 Julai – Pada 30 Julai 2007 lalu, Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi telah melancarkan rangka tindakan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) di kawasan Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar dan seterusnya melancarkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara peringkat negeri Kedah Darul Aman. Majlis yang dihadiri oleh Menteri Besar Perlis, Menteri Besar Kedah, Ketua Menteri Pulau Pinang, Menteri Besar Perak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani turut disertai oleh peladang-peladang seramai 9,000 orang.


Koridor Utara yang melibatkan negeri-negeri di utara tanahair iaitu Perlis, Kedah ,Pulau Pinang dan Perak ini menjanjikan peningkatan ekonomi secara seimbang dan sebagai usaha untuk merapatkan jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar dan membasmi kemiskinan di kawasan utara.


Rangka tindakan yang mempunyai anggaran pelaburan bernilai RM177 bilion ini akan dimulakan mulai 2007 sehingga 2025. Melalui rancangan ini, ianya diharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk warga tempatan.


Bersempena dengan pelancaran Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman telah melancarkan Estet Padi melalui MADA. Estet Padi yang merupakan satu langkah ke arah era ‘Pertanian baru’ dijalankan pada skala yang komersil. Selain memaksimumkan pengeluaran padi, Estet Padi ini juga dapat mengurangkan kos pengeluaran.

 
 
         
 
 
   
Copyright © 2005. MADA. All Rights Reserved.