Pengeluaran padi mencukupi- MADA
ALOR STAR 14 April — Lembaga Kemajuan Pertanian Muda
(MADA) memberi jaminan pengeluaran padi negara mencukupi walaupun
berlaku masalah kekurangan bekalan beras di pasaran dunia.
Pengurus Besar MADA, Datuk Abdul Rahim Salleh berkata, masalah kekurangan
bekalan beras tidak mungkin timbul kerana pengeluaran purata padi
adalah konsisten iaitu sebanyak enam tan sehektar.
“Bagi MADA jumlah pengeluaran padi tidak berkurangan malah
mencukupi untuk kegunaan pengguna,” katanya ketika dihubungi
Bernama di sini hari ini.
Datuk Abdul Rahim berkata, walaupun bekalan stabil namun MADA tetap
mengambil langkah untuk memastikan stok bekalan makanan itu cukup
bagi keperluan pengguna.
Kedah merupakan penyumbang utama pengeluaran beras negara iaitu
sebanyak 40 peratus dengan kawasan tanaman padi seluas 100,000 hektar.
|