Aktiviti MADA
Majlis Perasmian Menaiktaraf Jalan Ladang
MADA Sekunder ke Jalan Kampung
Di Bawah Projek NCER
Pada tanggal 16 Febuari 2008 yang lalu, bertempat di perkarangan
Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 17, Yan, Kedah telah diadakan
Majlis Perasmian Menaiktaraf Jalan Ladang MADA Sekunder Ke Jalan
Kampung Di Bawah Projek NCER yang dirasmikan dengan penuh gemilang
oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Hj.
Ahmad Badawi. Majlis yang disaksikan lebih daripada 5,000 orang
ini turut diserikan dengan kehadiran Datin Seri Jeanne Abdullah.
Selepas acara perasmian di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 17,
YAB Perdana Menteri dan isteri telah dibawa ke salah satu jalan
ladang MADA iaitu jalan ladang SCRBD6 tidak jauh daripada sekolah
di mana YAB Perdana Menteri telah merasmikan gimik pelancaran
dengan memotong riben serta melepaskan belon ke udara.
Jalan ladang MADA sepanjang 525km yang masih belum dinaiktaraf
akan dinaiktaraf secara berperingkat. Jalan ladang SCRBD6 yang
terletak berhampiran tempat perasmian merupakan lokasi yang dipilih
untuk Projek Menaiktaraf Jalan Ladang MADA Di bawah Program NCER.
Projek ini diharap dapat memberi faedah kepada 34,000 keluarga
tani di Kawasan Muda supaya dapat menikmati jalan yang lebih selesa
untuk urusan harian serta membantu meningkat taraf sosio-ekonomi
masyarakat setempat.
|