Ternakan Kambing
Aktiviti
penternakan kambing telah lama diusahakan oleh penternak di negara
kita, perusahaan ini diadakan secara kecil-kecilan, sebagai aktiviti
sampingan, mengawal rumpai dan juga sebagai sumber protein haiwan
bagi keperluan keluarga. Sifatnya yang suka merayau dan memilih
makanan, terutamanya pucuk-pucuk tumbuhan boleh menentukan ianya
memperolehi zat makanan yang cukup. Industri ternakan kambing
dapat menyumbang bekalan daging kambing / berbiri antara 12-15%
bagi keperluan Negara. Lebih dari 95% kambing yang dipelihara
adalah bagi tujuan pengeluaran daging, sementara bakinya adalah
untuk pengeluaran susu.
MADA telah mengenalpasti terdapat kawasan di sekitar rumah peladang,
kawasan tanah terbiar, kawasan pinggir yang sesuai dengan ternakan
kambing dan penternak-penternak yang telah menjalankan aktiviti
untuk memajukan lagi projek ini di kawasan Muda. Matlamat utama
projek ini adalah untuk mempelbagai aktiviti ekonomi peladang
melalui menternak kambing bagi menambah pendapatan disamping mengujudkan
peluang pekerjaan dikalangan peladang.
Projek ternakan berbiri telah dimulakan di kawasan MADA pada tahun
1989 di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kelima (RM Ke 5),
yang melibatkan sebanyak 89 orang peladang.
Projek ini diteruskan dalam RMKe 6, melalui kaedah sistem pawah
MADA mengikut syarat-syarat yang tercatat dalam surat perjanjian
antara penternak dengan pihak MADA. Pada tahun 1992 seramai 49
orang peserta telah mendapat bantuan berjumlah 294 ekor iaitu
49 ekor kambing jantan dan 245 ekor kambing betina.
Setiap
peserta diberi induk jantan berumur antara 1-2 tahun dan lima
ekor induk betina antara 3/4-1 tahun. Penternak perlu menyediakan
semua kemudahan asas yang diperlukan seperti kandang yang bersesuaian,
sumber makanan kambing, sistem pengairan dan perparitan yang baik.
Di dalam Rancangan Malaysia Ke Lapan (RM ke 8), projek ternakan
kambing ini masih lagi diteruskan dengan penumpuan kepada bantuan
baka kambing kacukan mengunakan sistem pawah seperti yang diamalkan
oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan. Pada tahun 2004 seramai 49 orang
peserta telah mendapat bantuan berjumlah 294 ekor iaitu 49 kambing
jantan dan 245 kambing betina.
Setiap peserta diberi induk jantan berumur antara 1-2 tahun dan
lima ekor induk betina antara 3/4 -1 tahun. Manakala pada tahun
2005 ini sebanyak 50 ekor kambing jantan adan 1000 ekor kambing
betina akan diagihkan lagi kepada penternak-penternak di kawasan
Muda.
Penternak
yang terlibat di dalam projek ini disyaratkan mengikuti kursus
pengurusan penternakan kambing bagi memastikan pelaksanaan projek
ini lebih berjaya dan berdaya maju. Tujuan pemeliharaan kambing
yang disyorkan adalah untuk pengeluaran daging bagi kegunaan pasaran
tempatan. Disamping itu tumpuan juga diberi kepada sistem membiak
dan jual hidup untuk menambahkan pendapatan penternak.
Dua sistem pengurusan pemeliharaan kambing yang disyorkan kepada
peladang-peladang iaitu:
(1) Sistem Separa Berkurung (Separa Insentif) - di mana pemeliharaan
kambing dijalankan secara melepaskan kambing pada siang hari dan
dikurung di dalam kandang pada malam hari. Sistem yang disyorkan
ini adalah sesuai bagi penternak yang memiliki kawasan yang luas
seperti di pinggir kawasan MADA.
(2) Sistem Berkurung (Insentif) - dimana pemeliharaan kambing
dijalankan secara sistem reban/kandang melalui pembinaan kandang
yang sempurna dan kambing tidak dilepas untuk meragut rumput.
Sistem ini sesuai diamal oleh penternak yang tidak mempunyai kawasan
ragut. Makanan dan minuman seperti konsentrat, rumput dan garam
jilat dibekal kepada kambing di dalam kandang sahaja.
Bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan sempurna
pihak MADA dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Haiwan memberi
khidmat nasihat dan sokongan teknikal kepada semua penternak yang
terlibat. Tumpuan utama adalah untuk meningkatkan kecekapan pengurusan
penternakan kambing dan berbiri dalam aspek pemilihan baka dan
pembiakan, pengurusan pemakanan/minuman, pembinaan kandang dan
kemudahan asas yang lain, kawalan penyakit dan kesihatan dan kerja-kerja
penjagaan harian. Ianya dilakukan melalui lawatan berjadual pegawai-pegawai
Jabatan Perkhidmatan Haiwan Daerah bersama-sama dengan pegawai-pegawai
MADA.
|