Pembangunan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS)
Program membangunkan usahawan adalah merupakan satu langkah yang
dirangka bagi mewujudkan lebih ramai usahawan Perusahaan Kecil
dan Sederhana – Asas Tani (PKS-AT) di kawasan Muda. Langkah
ini adalah untuk mewujudkan sekumpulan peladang yang dinamik dalam
memaju dan membangunkan industri desa mengikut konsep Satu Kampung
Satu Industri (1K1I). Sehingga akhir tahun 2004, jumlah usahawan
yang berdaftar sebagai usahawan MADA adalah seramai 373 orang.
Kebanyakan daripada mereka terlibat dalam bidang pengeluaran kuih
tradisional, makanan ringan, pemprosesan makanan, jahitan dan kraftangan.
Tujuan
utama PKS adalah untuk meningkatkan pendapatan peladang-peladang
melalui perlaksanaan aktiviti tambahan, meningkatkan penglibatan
peladang-peladang MADA di dalam industri pengeluaran makanan, mewujudkan
peluang-peluang pekerjaan kepada peladang dan anak-anak peladang
MADA, membangunkan usahawan yang berdaya maju serta mengeluarkan
produk yang berdaya saing.
Program Pembangunan Usahawan
Program Pembangunan Usahawan bertujuan untuk memberi khidmat nasihat dan latihan teknikal dari segi pengurusan perniagaan, pengeluaran dan pemprosesan produk, kebersihan premis, peningkatan kualiti produk, pembungkusan dan persembahan produk. Selain itu, program ini membantu dalam mendapatkan bantuan dan pembiayaan daripada agensi-agensi kerajaan dan institusi kewangan bagi membiayai projek. Program ini juga memberi pendedahan kepada usahawan-usahawan tentang teknik-teknik baru pemasaran, pembungkusan, pengeluaran dan lain-lain aspek melalui lawatan ke pameran, premis serta usahawan yang berjaya.
Program Pemodenan Insfrastruktur Serta Peralatan Pemprosesan


Program pemodenan insfrastruktur serta peralatan pemprosesan berfungsi untuk membantu meningkatkan kemudahan premis/bengkel kepada usahawan ke arah mencapai pengiktirafan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan menyediakan peralatan yang bersesuaian bagi meningkatkan pengeluaran produk usahawan. Program ini ditumpukan kepada aktiviti menaiktaraf premis bengkel usahawan, papan tanda & bantuan pinjaman peralatan untuk pemprosesan produk.

Bagi menaiktaraf premis dan bengkel, sebanyak 6 buah bengkel telah dibina dan dinaikkan taraf kepada 6 orang usahawan yang berpotensi sebagai langkah bagi menyediakan premis yang lebih sempurna. Antara produk yang terlibat dalam program pemodenan premis dan bengkel pemprosesan produk ialah Mini Popia, Buah Rotan, Kuih Tiram, Kuih Bangkit, Mini Rempeyek dan Karas.
Untuk meningkatkan kualiti serta kuantiti pengeluaran produk usahawan yang dibimbing sebanyak RM 51,460.00 telah dibelanjakan bagi membeli peralatan untuk dipinjamkan bagi digunakan dalam proses pengeluaran produk.
Program Pembangunan Produk




Bagi program pembangunan produk, pihak MADA akan menjalankan aktiviti bagi meningkatkan kualiti produk yang di keluarkan oleh usahawan-usahawan. Di antara langkah-langkah yang akan dijalankan ialah peningkatan pembungkusan dan persembahan produk, menambahbaik produk (rekabentuk dan kaedah pengeluaran) dan melaksanakan pakej peningkatan kualiti. Di bawah program ini, beberapa siri latihan dan aktiviti bimbingan telah diadakan bagi membimbing usahawan dalam aspek peningkatan kualiti serta pembungkusan produk.
Program Pemasaran Produk

Antara aktiviti pemasaran yang akan dijalankan bagi membantu dalam meningkatkan nilai jualan produk Usahawan Bimbingan MADA adalah penerokaan saluran pasaran baru, bekerjasama dengan FAMA bagi membantu memasarkan produk, pelantikan Agen Pemasaran produk MADA, mewujudkan Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Produk PKS – Asas Tani MADA serta pusat Pameran dan Jualan. Selain itu, program ini juga menjalankan aktiviti promosi produk dan pembangunan penjenamaan produk usahawan. Dalam usaha untuk meningkatkan jualan dan outlet pasaran produk usahawan, pada tahun 2003 pihak MADA telah memulakan Projek Pembangunan dan Pemasaran Produk Kuih Tradisional di bawah projek ini bagi membantu membangun dan memasarkan produk-produk usahawatani. Selain daripada projek ini, pelbagai aktiviti pemasaran telah diadakan untuk mencapai matlamat membantu memperluaskan pasaran produk usahawan MADA.
Projek Pembangunan & Pemasaran Kuih Tradisional

Jumlah keseluruhan produk yang dibangunkan adalah sebanyak 15 jenis dengan 14 orang usahawan. Bagi membolehkan projek ini dilaksanakan dengan jayanya pihak MADA telah menyediakan Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Kuih Tradisional (PPPKT) yang dibekalkan dengan peralatan pembungkusan serta bahan-bahan pembungkusan produk. Pusat ini yang diuruskan oleh Syarikat Cita Utara berperanan bagi mengumpul, membungkus serta memasarkan produk-produk keluaran usahawan terlibat.
Selain dari itu, Pertubuhan Peladang Kawasan I – II Kuala Sungai bertindak sebagai pembeli produk dari pengusaha untuk dibekalkan kepada Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Kuih Tradisional. Projek yang telah dijalankan selama 2 tahun ini di bahagikan kepada 2 fasa perlaksanaan iaitu Fasa I bagi tahun 2003 dan Fasa II bagi tahun 2004.

Sepanjang tempoh perlaksanaan projek ini (Julai 2003 – Disember 2004), jumlah nilai keseluruhan pengeluaran produk pengusaha adalah sebanyak RM 307,469 bagi tahun 2003 (Julai – Disember) dan RM 715,429 pada tahun 2004. Manakala jumlah keseluruhan nilai pengeluaran bagi tempoh Julai 2003 hingga Disember 2004 adalah RM 1,022,898.
Antara outlet pasaran yang telah ditembusi bagi memasarkan produk-produk kuih tradisional MADA adalah Rangkaian Pasaraya JAYA JUSCO, Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, Sepang dan lain-lain outlet sekitar Negeri Kedah.