Kementerian Pertanian Sedia Hadapi Kemungkinan Berlaku Cuaca Panas Dan Kering


image_gallery

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) — Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya musim panas dan kering yang boleh memudaratkan sektor pertanian negara.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kementeriannya akan mengadakan perbincangan bersama pihak Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) berhubung perkara itu.

“Kita akan bersedia di peringkat kementerian dan berbincang dengan pihak JPS kerana perkara itu melibatkan pengurusan sistem perparitan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Tahunan Bersama Exco-Exco Pertanian Negeri, di sini pada Isnin.

Cuaca panas dan kering berpanjangan dijangka melanda negara menjelang penghujung Mei ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata semua kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyediakan tanah tambahan bagi membangunkan kawasan tanaman kekal pertanian.

Katanya tanah tambahan itu akan diperuntukkan bukan sahaja kepada projek tanaman buah-buahan tetapi untuk menjalankan aktiviti ternakan, perikanan dan sebagainya.

“Fokus utama kementerian pada tahun ini ialah penambahan pengeluaran produk pertanian dan kita tetapkan KPI (petunjuk prestasi utama) setiap jabatan seperti Jabatan Pertanian untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 10 peratus berbanding tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga sedang berusaha mengurangkan import produk pertanian ke dalam negara dengan menggalakkan petani luar bandar meningkatkan pengeluaran produk pertanian tempatan.

“Kita dapati banyak yang boleh dilakukan sendiri tanpa kebergantungan kepada produk luar misalnya cili, lebih 90 peratus cili diimport dari luar, sedangkan cili bukan satu tanaman sukar ditanam di negara ini,” katanya.

Mengulas mengenai mesyuarat tersebut beliau berkata tumpuan utama tahun ini ialah meminta kerajaan negeri untuk mengemukakan cadangan peruntukkan projek pembangunan pertanian bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

“Semua negeri diminta menyediakan cadangan peruntukan RMK11 bagi projek pertanian dan pembangunan di negeri masing-masing sebelum tarikh tutup pada 31 Mac depan,” katanya.

— BERNAMA

Sumber  : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1109591

Accessibility
Close