PROGRAM PEMBANGUNAN ASAS TANI DAN INDUSTRI ASAS TANI

PEMBANGUNAN USAHAWAN TANI MADA
Dalam tahun 2016, pihak MADA seperti mana tahun sebelumnya meneruskan pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Tani di mana ianya meliputi usahawan yang terlibat dalam sektor asas tani dan sektor industri asas tani. Program yang telah lama dilaksanakan ini bertujuan meningkatkan tahap kemahiran usahawan tani dalam aspek operasi dan pengeluaran, pengurusan perniagaan dan pemasaran yang lebih sistematik. Di antara kategori perniagaan yang diceburi merangkumi perniagaan pemprosesan makanan ringan, minuman, kuih tradisional, kraftangan, herba, kosmetik serta projek-projek perniagaan lain seperti jahitan, projek ternakan, projek tanaman dan akuakultur.

A. PROJEK INDUSTRI ASAS TANI
Industri Asas Tani merupakan satu sektor yang sedang berkembang pesat di mana ianya melibatkan pemprosesan produk-produk hasil pertanian bagi mempelbagaikan industri hiliran berasaskan pertanian seperti tanaman, ternakan dan akuakultur di Kawasan Muda. Sepanjang tahun 2016, projek-projek industri asas tani yang telah dilaksanakan untuk meningkatkan pendapatan peladang dan usahawan dengan menggunakan kepelbagaian sumber pertanian sedia ada adalah merangkumi Program Pembangunan Usahawan Tani MADA, Program Agropreneur Muda serta Agrotourism di Kawasan Muda.

Bagi melahirkan usahawan yang cekap, kompeten dan mempunyai komitmen yang tinggi dalam menguruskan perniagaan, pihak MADA telah melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti pembangunan modal insan, peningkatan kapasiti pengeluaran dan pemodenan infrastruktur, persijilan dan akreditasi, penyelidikan dan pembangunan produk serta promosi dan pemasaran.

Justeru itu, pihak MADA telah berjaya melahirkan seramai 2,650 orang usahawan pada tahun 2016 di mana 1,300 orang merupakan usahawan industri asas tani dan 1,350 orang merupakan usahawan asas tani. Perincian bilangan usahawan yang dibimbing MADA adalah seperti berikut :-

Bilangan Usahawan Yang Dibimbing MADA


Bagi tahun 2016, nilai jualan bagi usahawan yang dibimbing oleh pihak MADA telah menunjukkan peningkatan yang positif. Produk industri asas tani usahawan bimbingan MADA telah mendapat permintaan yang tinggi pada tahun tersebut dan menyumbangkan nilai jualan yang tertinggi berbanding produk segar dan produk bukan makanan. Nilai jualan bagi keseluruhan produk telah meningkat sebanyak 13.4% iaitu daripada RM122,638,273 tahun 2015 kepada RM139,093,846 tahun 2016. Perincian Nilai Jualan Usahawan Tani MADA adalah seperti berikut :-


i.Program Agropreneur Muda
Program Agropreneur Muda bermula pada tahun 2014 bagi melahirkan usahawan muda yang progresif, berdaya saing, kreatif, inovatif dan berpendapatan tinggi di dalam sektor pertanian dan industri asas tani. Program ini berperanan untuk menarik penyertaan belia berumur 18 hingga 40 tahun untuk menceburi dalam bidang keusahawanan tani. Pendekatan program ini adalah bagi membantu dan menggalakkan penglibatan golongan belia dalam bidang keusahawanan berasaskan aktiviti pertanian merangkumi semua aktiviti di dalam rangkaian nilai industri pertanian seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani termasuk pemasaran, khidmat sokongan dan agropelancongan. Selain itu, program ini bertujuan untuk meningkatkan pendapatan agropreneur muda melalui peningkatan produktiviti pengeluaran, kualiti, teknologi dan inovasi serta pasaran yang kompetitif.

Keistimewaan program ini adalah khidmat nasihat teknikal dan latihan secara intensif melalui Program Pengembangan yang dilaksanakan oleh Jabatan/Agensi atau Syarikat Peneraju berkaitan projek yang dijalankan. Agropreneur muda yang layak juga akan mendapat bantuan geran atau sumbangan berbentuk barangan (in-kind contribution) dengan nilai had maksimum sebanyak RM 20,000 mengikut jenis projek yang dicadangkan.


ii. Projek Agrotourism Di Kawasan Muda
Projek-projek agrotourism di Kawasan Muda dilaksanakan bertujuan untuk mempromosikan industri pelancongan berasaskan pertanian kepada masyarakat umum. Dengan terlaksananya projek agrotourism, masyarakat dapat mengetahui tentang kewujudan destinasi pelancongan berasaskan pertanian di mana pengunjung yang bercuti di destinasi ini bukan sahaja dapat bercuti malah dapat mempelajari sesuatu berkaitan pertanian.

a. Homestay MADA Kg. Jeruju
Homestay MADA Kg. Jeruju berasal daripada sebuah kampung penempatan yang dibina semula disebabkan hakisan pantai. Homestay ini menjadi tarikan kerana penempatan terancangnya dan pengeluaran produk industri asas tani berasaskan sumber perikanan seperti ikan kering, udang kering dan belacan.

b. Homestay MADA Pulau Pisang
Homestay MADA Pulau Pisang menawarkan pakej pelancongan menarik yang berjaya menarik golongan pelancong dalam dan luar Negara. Di antara pakej yang diberikan ialah Pakej Mini Zoo, Dusun Buah-buahan Tempatan, Pakej Memancing dan Barbeque, Pakej Menaiki Trem mengelilingi kampung serta Pakej “Campsite” untuk para pelajar.

c. Homestay MADA Pantai Jamai
Homestay MADA Pantai Jamai merupakan perkampungan yang penuh dengan nilai-nilai tradisional dan kemelayuan, memberikan peluang kepada pengunjung menerokai budaya sejarah perkampungan yang menarik serta turut merasai keseronokan kehidupan yang penuh dengan tradisi.

d. Muda Resort
Muda Resort merupakan salah satu destinasi agrotourism yang diselia dan dikendalikan oleh MADA. Sehingga kini, Muda Resort sangat terkenal dan berpotensi untuk menjadi salah sebuah destinasi agrotourism pilihan yang amat sesuai untuk aktiviti kekeluargaan mahupun berkumpulan.

e. Ladang Nipah Kipli, Kuala Sanglang
Ladang Nipah Kipli sebuah ladang nipah yang dipenuhi lebih 3,000 pokok nipah. Suasana yang nyaman dan segar di bawah rimbunan pelepah nipah serta minuman nira nipah telah menjadi daya penarik kepada ladang ini untuk dikunjungi dan menjadi salah satu projek agrotourism yang berpotensi.

f. Ladang Nipah Ismail Che Kaq
Ladang Nipah Ismail Che Kaq merupakan ladang nipah berkonsepkan riadah dan santai. Pengunjung berpeluang untuk bersantai di bawah rimbunan pokok nipah di samping menikmati minuman nira segar, jeli nira dan laksa.

g. Ladang Mempelam MADA
Ladang Mempelam MADA terletak di Tobiar Pendang di mana kawasannya dikelilingi oleh ladang yang terbentang luas saujana mata memandang membuatkan suasana segar dan nyaman dapat dinikmati oleh pengunjung. Dengan keluasan ladang seluas 42 hektar sudah semestinya memberi jaminan kepada pegunjung untuk merasai keenakan mempelam segar dari ladang.

h. Pusat Kraftangan Dan IAT MADA
Pusat Kraftangan Dan IAT MADA memasarkan produk kraftangan hasil kreativiti dan inovasi usahawan di dalam kawasan MADA dengan menggunakan semula bahan pertanian terbuang seperti jerami padi, mengkuang pandan dan rotan sehingga terhasilnya beg, bingkai gambar, beg duit, kotak, buku nota dan pelbagai lagi cenderahati yang unik dan menarik untuk di bawa pulang. Sepanjang tahun 2016, Projek Agrotourism di Kawasan Muda telah menjana pendapatan sebanyak RM565,457. Nilai pendapatan bagi tahun 2016 ini menunjukkan penurunan daripada tahun sebelumnya ekoran berlakunya penurunan nilai matawang ringgit Malaysia berbanding tahun sebelumnya walaupun bilangan pengunjung bertambah. Disamping itu faktor kepada perubahan cuaca khususnya fenomena el-nino sedikit sebanyak merencatkan pertumbuhan kepada sasaran industri ini. Perincian pendapatan bagi Projek Agrotourism di Kawasan Muda adalah seperti berikut :-


Bilangan pengunjung bagi Projek Agrotourism di Kawasan Muda pada tahun 2016, seramai 42,991 orang telah mengunjungi Projek Agrotourism MADA. Perincian pengunjung ke projek agrotourism MADA adalah seperti berikut :-


A. PROJEK PEMBANGUNAN ASAS TANI
Sepanjang tahun 2016, pelbagai program dan aktiviti peningkatan pengeluaran produkproduk asas tani telah dilaksanakan. Pelaksanaan ini adalah seiring dengan matlamat Dasar Agromakanan Negara. Pihak MADA meneruskan program pembangunan modal insan para peladang dimana ilmu pengetahuan dan kemahiran peladang ditingkatkan melalui penyertaan latihan yang dianjurkan MADA. Di antara projek-projek asas tani yang telah diberi keutamaan pada tahun 2016 terbahagi kepada dua sektor iaitu Produk Segar dan Produk Bukan Makanan.

PRODUK SEGAR
i. Projek Tanaman
Projek penanaman mempelam merupakan projek tanaman yang diberikan fokus utama di Kawasan Muda selepas tanaman padi memandangkan kebanyakan peladang menjalankan aktiviti tanaman mempelam. Peladang-peladang yang terlibat dalam projek kelompok mempelam ini adalah berperanan sebagai “out growers” kepada Ladang Mempelam MADA, Tobiar Pendang di mana hasil-hasil pengeluaran mereka turut dikumpulkan dan dijual kepada Ladang Mempelam Mada.

Projek Ladang Mempelam MADA merupakan projek penanaman mempelam secara komersial dengan keluasan 42 hektar. Sebagai sebuah ladang berskala komersial, ladang ini memainkan peranan yang penting di mana ianya menjadi sebuah Pusat Pemindahan Teknologi Tanaman Mempelam, Pusat Latihan Amali Tanaman Mempelam serta Pusat Pengumpulan, Penggredan dan Pemprosesan buah mempelam di Kawasan Muda.

Klon mempelam yang ditanam adalah dari jenis Chok Anan (MA224) dan bagi meningkatkan nilai produk, buah mempelam ini dijenamakan atas jenama Tobiar Gold sempena mengambil nama kawasan ladang penanamannya. Ladang ini juga telah berjaya memperolehi persijilan dan akreditasi Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).

ii. Projek Akuakultur
Bagi mempelbagai dan menjana pendapatan sampingan peladang, projek akuakultur khususnya ternakan ikan tilapia dalam sangkar merupakan salah satu daripada aktiviti yang dilaksanakan dengan menggunakan sumber air di terusan MADA. Selain daripada ternakan ikan tilapia di dalam sangkar, peladang turut menjalankan projek ternakan ikan tradisi dalam kolam tanah, jenis-jenis ikan yang diternak adalah ikan keli, puyu dan sepat. iii. Projek Ternakan Projek ternakan turut diberikan penumpuan memandangkan industri ternakan di Kawasan Muda masih berskala kecil namun berpotensi untuk dikembangkan bagi menyumbang kepada pengeluaran bekalan makanan negara. Selain dapat memupuk nilai-nilai usahawantani di kalangan masyarakat peladang dalam sektor ternakan, aktiviti ini telah menjana pendapatan sampingan mereka selain tanaman padi. Projek ternakan yang diusahakan oleh peladang-peladang merangkumi Projek Ternakan Kambing, Ternakan Lembu dan Ternakan Itik Penelur.

PRODUK BUKAN MAKANAN
i) Projek Jerami
Di dalam aktiviti penanaman padi, proses penuaian padi akan menghasilkan bahan buangan dari pokok padi khususnya jerami. Sejak dulu lagi aktiviti pembakaran jerami dilakukan untuk menghapuskan bahan buangan tersebut dan sebagai langkah untuk menghapuskan jangkitan penyakit, serangan perosak selain dapat menguatkan lagi struktur tanah. Namun begitu ianya mengundang masalah pencemaran alam sekitar di mana pembakaran jerami padi dilakukan secara terbuka boleh mengganggu kualiti udara serta penduduk sekitar.

Justeru itu, sehingga tahun 2016 pihak MADA telah membangunkan 7 buah projek pusat pengumpulan jerami padi yang beroperasi sepenuhnya di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) D-I, PPK B-II, PPK H-II, PPK A-III, PPK E-III, PPK B-IV dan PPK F-IV.

Sepanjang tahun 2016, pelaksanaan Projek Pembangunan Asas Tani di Kawasan Muda telah menjana pendapatan keseluruhan sebanyak RM6,182,243. Pendapatan ini menurun 35.9% daripada tahun sebelumnya. Faktor penurunan ini adalah disebabkan oleh fenomena el-nino. Perincian pencapaian bagi Projek Pembangunan Asas Tani adalah seperti berikut :-


C. PROGRAM AZAM TANI

Pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) telah banyak mendatangkan impak yang positif kepada rakyat. Tahun 2016 merupakan tahun keenam pelaksanaan program bantuan kepada golongan berpendapatan rendah melalui komponen AZAM Tani. Pada tahun 2016, berdasarkan Makmal Penetapan GTP 3.0 beberapa KPI telah ditetapkan oleh pihak Unit Pengurusan Prestasi Dan Pelaksanaan (PEMANDU) sebagai KPI Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani dan MADA. Jadual di bawah menunjukkan senarai dan pencapaian KPI tersebut.


Indikator yang paling penting bagi mengukur impak program adalah dari segi bilangan peserta yang telah keluar daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Hal ini adalah bagi melihat samada program bantuan yang telah dijalankan mampu membawa peserta meningkatkan kehidupan kepada satu tahap yang lebih baik. Jadual di bawah menunjukkan bilangan peserta yang telah keluar daripada PGK akan dipantau melalui sistem e-Kasih di mana pendapatan bulanan telah dikemaskini secara berkala di dalam sistem tersebut seterusnya kedudukan peserta tersebut akan di’auto generated’ oleh sistem.


D. PROGRAM PROMOSI DAN PEMASARAN PRODUK ASAS TANI DAN INDUSTRI ASAS TANI MADA
Elemen pembangunan produk, promosi dan pemasaran memainkan peranan yang penting dalam memangkin pengeluaran produk yang berkualiti dan berdaya saing. Oleh yang demikian, pada tahun 2016 pihak MADA telah menumpukan program pemasaran yang merangkumi aktiviti pembangunan produk, pembangunan pusat pengumpulan produk usahawan serta promosi dan jualan. Aktiviti ini dilaksanakan bagi membolehkan produk usahawan bimbingan MADA berdaya saing serta mampu menembusi pasaran global.

i. Pembangunan Produk
Pada tahun 2016, sebanyak 31 jenis produk telah terlibat dalam aktiviti pembangunan produk dan ianya telah memberikan manfaat kepada 31 orang usahawan bimbingan MADA. Aktiviti pembangunan produk yang disediakan kepada usahawan dengan kerjasama badan penyelidikan yang terpilih adalah merangkumi fakta nutrisi asas dan analisa kimia dan fizikal. Sementara itu, sebanyak 6 jenis produk telah terlibat dalam pembangunan pembungkusan dan peningkatan kualiti produk iaitu memberi manafaat kepada 6 orang usahawan. Pencapaian aktiviti bagi pembangunan produk adalah seperti berikut :-


ii. Pembangunan Pusat Pengumpulan Produk Industri Asas Tani MADA
Pusat pengumpulan produk usahawan terbahagi kepada dua (2) kategori iaitu Pusat Pengumpulan yang dijenamakan di atas jenama Peladang Mart Shoppe (PMS) dan Pusat Pengumpulan Produk MADA (PP).

Peladang Mart Shoppe (PMS) merupakan rangkaian pusat pengumpulan produk yang diuruskan oleh usahawan pemasar MADA yang berdaya saing. Sehingga 2016, terdapat 7 buah PMS di dalam Kawasan Muda. Sementara itu, Pusat Pengumpulan Produk MADA (PP) merupakan sebuah pusat jualan produk usahawan yang diuruskan oleh anak syarikat MADA dan PPK. Sehingga 2016, terdapat 7 buah PP di dalam Kawasan Muda.

Pada tahun 2016 pusat pengumpulan dan jualan Agrobazaar Rakyat 1Malaysia (ABR1M) telah dilaksanakan dalam kawasan MADA. Sebanyak 10 unit ABR1M telah diwujudkan dan diuruskan oleh usahawan pemasar MADA.

Secara keseluruhannya, nilai jualan terkumpul bagi keseluruhan Pusat Pengumpulan Produk pada tahun 2016 ialah sebanyak RM13,927,156 . Maklumat terperinci bagi pencapaian Pusat Pengumpulan Produk IAT adalah seperti carta di bawah :-


iii. Promosi Peringkat Domestik dan Antarabangsa
Aktiviti promosi yang merangkumi peringkat domestik dan antarabangsa dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun 2016 bagi membantu usahawan memasarkan produk mereka. Program promosi ini menjadi medan bagi usahawan memperkenalkan produk-produk mereka sekaligus menjadi platform untuk bertemu dengan usahawan pemasar yang berminat untuk memasarkan produk mereka secara berskala besar.

Berakhir tahun 2016, pihak MADA telah menyertai 83 kali program promosi peringkat domestik dan 6 kali program misi perdagangan luar Negara anjuran Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani Malaysia (MoA) sekaligus telah menjadikan keseluruhan bilangan promosi yang disertai oleh pihak MADA ialah 89 kali. Secara keseluruhannya, usahawan yang menerima manfaat sepanjang pelaksanaan program ini adalah sebanyak 338 orang. Perincian adalah seperti jadual di bawah :

Accessibility
Close