PROGRAM PENGURUSAN EMPANGAN DAN SUMBER AIR

A. PELEPASAN AIR EMPANGAN BAGI MEMENUHI KEPERLUAN PENGAIRAN PENANAMAN PADI 2 KALI SETAHUN

MADA mengurus dan mengendali tiga (3) buah empangan iaitu Empangan Pedu, Muda dan Ahning. Tanggungjawab ini bagi memastikan bahawa pelepasan air dari empangan adalah konsisten bagi menjamin tanaman padi dua kali setahun di Kawasan Muda dapat dijalankan dan akan meningkatkan hasil pengeluaran padi untuk keperluan negara. Selain bekalan air untuk pengairan di Kawasan Muda, air dilepaskan dari empangan juga adalah untuk kegunaan domestik dan industri di kawasan Kedah Utara, Perlis Selatan dan Pulau Langkawi. Bagi menjamin kemampanan dan kelestarian sumber air empangan adalah menjadi tanggungjawab MADA untuk mengurus tasik dan kawasan tadahan dengan lebih efisien.

Tahun 2016 menyaksikan fenomena El Nino melanda negara. Kesan ketara dari fenomena ini ialah kekurangan taburan hujan dan cuaca kering. Kawasan Muda menerima taburan hujan yang rendah serta cuaca kering sepanjang tahun. Kawasan tadahan bagi ketiga-tiga empangan juga mengalami situasi yang sama.

Kesan daripada perubahan cuaca ini menyebabkan kuantiti pelepasan air bagi pengairan dan keperluan domestik dari ketiga-tiga empangan bertambah berbanding tahun sebelumnya. Manakala kuantiti aliran masuk bagi ketiga-tiga empangan turut menyusut dengan ketara.

Empangan Pedu yang merupakan sumber utama bekalan pengairan untuk tanaman padi di Kawasan Muda mencatatkan aras terendah iaitu 271.86 kaki MSL (31.5% takungan) pada 18 Julai 2016. Ini merupakan rekod terendah dalam tempoh 11 tahun. Menjelang akhir tahun 2016, takungan Empangan Pedu hamya mampu menakung sebanyak 46%.

Memandangkan situasi takungan yang kritikal, MADA telah mengambil tindakan proaktif memperkenalkan kempen tabur terus kering bagi Musim I/2017.

Susulan permohonan Kerajaan Negeri Kedah, pihak MADA telah melakukan pelepasan melalui Empangan Muda sebanyak 33Mm3 air bagi menanggani kekurangan air dalam lembangan Sungai Muda pada bulan April dan Mei 2016 khusus bagi keperluan domestic. Ini membolehkan semua Loji Rawatan Air milik SADA yang berada di sepanjang Sungai Muda beroperasi tanpa gangguan.

Sepanjang tahun 2016 kuantiti pelepasan air dari Empangan Pedu adalah sebanyak 1067Mm 3 manakala aliran masuk ke kolam takungan Pedu adalah sebanyak 577Mm3 . Perbandingan adalah seperti carta di bawah :


Kuantiti pelepasan air dari Empangan Ahning adalah sebanyak 149Mm3manakala aliran masuk ke kolam takungan Pedu adalah sebanyak 74Mm3 . Perbandingan ini seperti carta di bawah :


Sementara itu, pelepasan dari Empangan Muda adalah sebanyak 33Mm3 dan kuantiti aliran masuk ke kolam takungan Muda sepanjang tahun 2016 adalah sebanyak 74Mm3 . Perbandingan ini adalah seperti berikut :


Berdasarkan kepada jumlah kuantiti pelepasan air sebanyak 1249Mm3 dari Empangan Pedu, Muda dan Ahning bagi tahun 2016, MADA telah berjaya memastikan bahawa pelepasan air dari empangan adalah konsisten bagi menjamin tanaman padi dua kali setahun dapat dijalankan di Kawasan Muda serta bekalan air mentah untuk domestik dan industri di Kedah Utara, Perlis selatan dan Pulau Langkawi dapat dipenuhi. Daripada kuantiti pelepasan tersebut, sebanyak 1067Mm3 adalah untuk keperluan pengairan bagi Kawasan Muda, manakala 182Mm3 adalah untuk kegunaan domestik dan industri. Perincian kuantiti pelepasan air pada tahun 2016 adalah seperti berikut :


Pada tahun 2016, isipadu takungan maksimum dan minimum bagi kolam takungan Pedu adalah seperti carta di bawah :


Pada tahun 2016, isipadu takungan maksimum dan minimum bagi kolam takungan Ahning adalah seperti berikut :


Pada tahun 2016, isipadu takungan maksimum dan minimum bagi kolam takungan Muda adalah seperti yang tertera di carta :


B. PROGRAM PEMBANGUNAN SUMBER AIR (PEMBENIHAN AWAN)
Operasi Pembenihan Awan (OPA) antara pihak MADA dengan Jabatan Meterorlogi Malaysia (JMM) di dalam kawasan tadahan adalah merupakan salah satu langkah proaktif yang dijalankan bagi meningkatkan isipadu takungan untuk menjayakan tanaman padi di Kawasan Muda.

Berdasarkan rekod, OPA bagi mendapatkan turunan hujan tiruan telah dilaksanakan di kawasan tadahan Empangan Pedu dan Muda semenjak tahun 1978. OPA dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kaji Cuaca (pada ketika itu) dan didapati telah membantu meningkatkan isipadu takungan air di ketiga-tiga empangan.

Sepanjang tahun 2016, Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) telah menjalankan OPA menggunakan hygroscopic flare selama tiga (3) kali operasi bermula dari bulan April 2016 sehingga November 2016. OPA kali pertama bermula 13 April 2016 sehingga 25 Mei 2016, OPA kali kedua bermula 29 Ogos 2016 sehingga 8 September 2016 dan OPA kali ketiga bermula 11 November 2016 sehingga 17 November 2016.

Hasil daripada OPA kali pertama mendapati beberapa kawasan empangan milik MADA seperti Empangan Pedu, Muda dan Ahinng telah dituruni hujan selama 16 hari di sepanjang OPA dijalankan dan telah menyebabkan berlakunya peningkatan kepada paras air takungan. Walau bagaimanapun, paras takungan tersebut masih berada pada tahap kurang 50% disebabkan oleh operasi pelepasan air yang dijalankan bagi memenuhi permintaan bekalan untuk penanaman padi Musim 1/2016.

Hasil daripada OPA kali kedua mendapati beberapa kawasan tadahan empangan milik MADA seperti Empangan Pedu, Muda dan Ahning telah dituruni hujan selama 9 hari. Walau bagaimanapun, kadar hujan yang turun adalah sangat rendah dimana paras takungan empangan masih berada pada tahap kurang 50%.

Hasil daripada OPA kali ketiga mendapati aras takungan Empangan Pedu telah meningkatkan sebanyak 0.10%, Empangan Muda 7.14% dan Empangan Ahning 0.12% bersamaan 10,120 ekar kaki. Pihak MADA juga telah membantu menyediakan peruntukan untuk kos operasi tersebut sebanyak RM119,606.16.

RUMUSAN OPA
Peningkatan ini masih lagi rendah kerana turunan hujan bergantung kepada keadaan awan, kelembapan udara dan pergerakan angin semasa OPA. Keadaan ini juga dipengaruhi oleh fenomena El-Nino yang sedang melanda. Pergerakan angin telah mempengaruhi corak taburan hujan terhadap kawasan tadahan menyebabkan turunan hujan yang rendah di kawasan tadahan. Oleh yang demikian, OPA perlu diteruskan lagi sehingga keberkesanan dan peningkatan aras takungan dapat dicapai.