PROGRAM PERKHIDMATAN DI WILAYAH

A. PROGRAM PENGEMBANGAN
i. Aktiviti Pengembangan
Pada tahun 2016, MADA memfokuskan kempen berkaitan peningkatan hasil padi kearah 7.0 tan/hektar melibatkan enam komponen utama aktiviti kempen iaitu Kempen Penggunaan Benih Padi Sah, Kempen Pematuhan Amalan Agronomi ‘Rice Check’, Kempen Pematuhan Jadual Penanaman Padi, Kempen Pengurusan Perosak Dan Penyakit, Kempen Peningkatan Kualiti Hasil Padi (pemutuan padi) dan Kempen Penubuhan Projek Estet Padi NKEA EPP 10.

Menerusi kempen-kempen yang telah dijalankan ini, MADA telah berjaya :-
a. Sebanyak 91% peladang telah mematuhi jadual tanaman padi berbanding 89% pada tahun 2015.
b. Pengurangan serangan perosak sebanyak 20% berbanding tahun 2015.
c. Peningkatan penggunaan benih padi sah.

Konsep pengembangan mengikut blok pengairan yang melibatkan pegawai pengembangan pertanian dan teknikal telah meningkatkan keberkesanan pemindahan teknologi kepada peladang dalam usaha meningkatkan hasil padi di Kawasan Muda. Bagi meningkatkan kompetensi pegawai-pegawai pengembangan di peringkat Wilayah dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), MADA telah berkerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam penyediaan rangka Pelan Strategik Pengembangan MADA. Kaedah pengembangan telah diperkukuhkan mengikut blok pengairan sawah padi.

Semua aktiviti pengembangan ini adalah usaha yang dijalankan oleh MADA dalam usaha mencapai objektif dasar-dasar kerajaan dan bagi memastikan kelestarian penanaman padi dua kali setahun di Kawasan Muda.

B. OPERASI DAN PENYELENGGARAAN
i. Operasi Pengairan
Menjadi tanggungjawab peringkat Wilayah dan Lokaliti dalam mengurus operasi pengairan dan saliran (bekalan air) bagi membolehkan aktiviti penanaman padi dua kali setahun dilaksanakan dengan jaya mengikut perancangan dan jadual yang telah ditetapkan. Wilayah akan memastikan bekalan air yang diagihkan oleh ibupejabat dapat digunakan mengikut keperluan di sawah. Semasa operasi bekalan air dijalankan, pemantauan rapi paras air di terusan primer/sekunder, pembukaan pintu struktur primer/sekunder rmengikut duti pengairan yang diperlukan serta operasi pam guna semula air saliran (recycling pump) dan booster pump diberi perhatian sepenuhnya setiap hari.

Bagi kawasan yang menghadapi masalah semasa operasi bekalan air seperti kawasan tanah tinggi atau kawasan yang jauh dari taliair, perkhidmatan pinjaman pam bergerak telah diberikan kepada peladang yang memerlukan berdasarkan kepada kriteria-kriteria dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Pam yang diberi pinjaman adalah bersaiz 100 mm (4 inci) dan 150 mm (6 inci) garis pusat berdasarkan kepada keluasan sawah yang dapat dimanfaatkan.

ii. Penyelenggaraan Infrastruktur Pengairan Dan Saliran
Penyelenggaraan infrastruktur pengairan dan saliran dilaksanakan setiap tahun bagi memastikan ianya sentiasa berfungsi dengan baik agar tanaman padi dapat dijalankan dengan jayanya. Kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan ialah pembersihan saluran air, penyelenggaraan jalan ladang dan nyah lodak saluran air.

Pembersihan tali air telah dijalankan sebanyak 3 kali setahun berjumlah 4,237 km panjang, manakala pembersihan parit sebanyak 4 kali setahun berjumlah 5,286 km panjang dengan jumlah kos sebanyak RM5.55 juta.

Kawasan Muda mempunyai kira-kira 2,000 km jalan ladang utama, sekunder dan tersier terdiri daripada jalan ladang premix, jalan ladang crusher run dan jalan ladang laterit. Penyelenggaraan jalan ladang telah dijalankan sebelum bermulanya musim penuaian padi bagi memudahkan laluan jentera pertanian/kenderaan pengangkutan untuk membawa hasil ladang. Penyelenggaraan dari semasa kesemasa juga dijalankan bagi kegunaan sosial dan kemasyarakatan di samping aktiviti pertanian. Sepanjang tahun 2016 kos penyelenggaraan jalan ladang ialah sebanyak RM7.3 juta membabitkan peruntukan Belanja Mengurus, BPSP dan NKEA.

Kerja nyahlodak (desilting) telah dijalankan di beberapa saluran air melibatkan pembuangan bahan enapan dari saluran air yang cetek serta membaikpulih profil saluran air kepada profil rekabentuk asal supaya ianya dapat berfungsi dengan lebih sempurna. Sepanjang tahun 2016 kerja nyahlodak telah dilaksanakan sepanjang 3,621 km melibatkan terusan utama, sungai, alor, tali air sekunder, parit sekunder, tali air tersier, parit tersier, tali air jari dan parit jari dengan kos sebanyak RM3.87 juta.

Accessibility
Close