PROGRAM PERKHIDMATAN PENGAIRAN DAN SALIRAN

Sepanjang tahun 2016, Bahagian Perkhidmatan Pengairan dan Saliran telah memberi perkhidmatan pengairan dan saliran kepada wilayah MADA sepertimana tahun-tahun sebelumnya.

A. AKTIVITI PENANAMAN PADI MUSIM 2/2015 DAN MUSIM 1/2016
Dalam menjamin kemapanan industri penanaman padi di Kawasan Muda, pengurusan dan penyeliaan perkhidmatan pengairan serta pembangunan sistem pengumpulan data (pengairan dan pertanian) amat dititikberatkan oleh Bahagian ini (Bahagian Perkhidmatan Pengairan dan Saliran) bagi membolehkan pengurusan air yang lebih tepat, cekap dan berkesan.

Ini adalah selaras dengan fungsi utamanya untuk memberikan segala perkhidmatan pengairan dan saliran air kepada MADA dalam menjamin kesinambungan penanaman padi dua (2) kali setahun di Kawasan Muda.

Bagi mencapai tujuan tersebut, salah satu tindakan yang diambil adalah dengan merancang, menetap (bersama peladang) dan melaksanakan jadual penanaman padi sebelum permulaan sesuatu musim (Musim Pertama – Feb/Mac; Musim Kedua – Julai/Ogos) setiap tahun. Dengan adanya jadual penanaman padi, air dapat dibekalkan secara efisien dan teratur mengikut kepada fasa penanaman padi serta peringkat pertumbuhan padi (mengikut keperluan tumbesaran pokok padi).

Dalam membuat perancangan untuk menentukan jadual penanaman padi bagi musim pertama di Kawasan Muda, beberapa faktor perlu diambil kira iaitu kedudukan takungan empangan, ramalan punca air, ramalan pencapaian aktivti musim yang lepas serta beberapa faktor lain.

Jadual Penanaman Padi Musim 2/2015
Susulan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) Peringkat Ibu Pejabat yang telah diadakan pada 7 Ogos 2015, setelah mengambilkira kedudukan takungan empangan, ramalan keadaan punca air tahunan serta aspek-aspek penting yang lain, MJBAPP Peringkat MADA yang diadakan pada 10 September 2015 telah memutuskan Jadual Penanaman Padi Musim 2/2015 adalah seperti berikut :


Pelan bagi Fasa Penanaman Padi di Kawasan Muda dapat ditunjukkan seperti carta di bawah :


Jadual Penanaman Padi Musim 1/2016
Susulan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Bekalan Air dan Penanaman Padi (MJBAPP) Peringkat Ibu Pejabat yang telah diadakan pada 13 Januari 2016, setelah mengambilkira kedudukan takungan empangan, ramalan keadaan punca air tahunan serta aspek-aspek penting yang lain, MJBAPP Peringkat MADA yang diadakan pada 21 Februari 2016 telah memutuskan Jadual Penanaman Padi Musim 1/2016 adalah seperti berikut :


Pelan bagi Fasa Penanaman Padi di Kawasan Muda dapat ditunjukkan seperti carta di bawah:


Persediaan Pra-Musim 2/2015 dan Musim 1/2016

Bagi membolehkan pelaksanaan penanaman padi Musim 2/2015 dan Musim1/2016 pelbagai aktiviti telah dijalankan di semua peringkat dengan tujuan untuk memastikan aktiviti penanaman padi serta pengairan dan saliran dapat dilakukan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Operasi kemasukan air masin ke dalam saliran adalah satu langkah yang diambil bagi meminimakan serangan siput gondang emas. Operasi ini telah dijalankan oleh pihak Bahagian Perkhidmatan Pengairan dan Saliran. Operasi ini telah dilaksanakan pada 14 hingga 29 Februari 2016 iaitu pada tempoh antara musim sejurus selepas selesai Musim 2/2015.

Lokasi operasi ini adalah dari Tandop Ampang Jajar di Ibu Pejabat MADA sehingga Pantai Johor (Sungai Anak Bukit) dan Tanjung Bendahara (Sungai Kedah). Hasil daripada operasi ini menunjukkan kuantiti siput dan pokok kemelin adalah berkurangan di dalam parit-parit. Dari segi kualiti air sungai bertambah baik dari Kelas IV kepada Kelas II dan impak sosial boleh dilihat dengan sambutan yang baik dan positif daripada kalangan peladang dan orang ramai.

Selain daripada itu, kerja-kerja pembersihan taliair sekunder dan parit sekunder turut dijalankan di Wilayah-wilayah serta kerja nyahlodak di terusan-terusan dalam memastikan kelancaran aktiviti pengairan di Kawasan Muda. Pihak Wilayah telah melaksanakan kerja – kerja pembersihan taliair dan parit sekunder mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan di dalam prosedur kualiti MADA iaitu 3 kali kekerapan setahun bagi taliair sekunder dan 4 kali kekekrapan setahun bagi parit saliran. Bagi taliair dan parit yang melalui laluan protokol kekerapan yang telah dilaksanakan adalah sebanyak 6 kali setahun.

Bagi persediaan Musim 2/2015 dan Musim 1/2016, Program Pemulihan Tanah Jerlus telah selesai dilaksanakan bagi kawasan yang terlibat masalah tanah jerlus seluas 8,107 hektar serta kemasukan Kawasan Pinggir MADA sebagai Kawasan Muda seluas 4,127 hektar sudah dimulakan pada 2015. Justeru itu, keluasan Kawasan Muda keseluruhannya yang akan menjalankan aktiviti penanaman padi Musim 2/2015 dan Musim 1/2016 adalah seluas 100,685 hektar.

Aktiviti Penanaman Padi
Penyediaan Tanah
Penyediaan tanah yang sempurna merupakan asas kepada penapakan benih yang seragam dan mampu mengurangkan pertumbuhan rumpai.Agihan air pengairan juga akan seragam dan mengikut bekalan air yang dipohon oleh pihak Wilayah. Penyediaan tanah secara putaran (bajak) basah lazimnya diamalkan oleh peladang-peladang di Kawasan Muda.

Aktiviti penyediaan tanah bagi Musim 2/2015 telah bermula pada 16 September 2015serentak dengan ramalan. Secara keseluruhannya, keseluruhan Kawasan Muda menjalankan aktiviti penyediaan tanah lebih pro aktif dan lebih cepat dari ramalan bermula minggu pertama musim iaitu 23 September 2016. Hujan yang agak banyak pada permulaan musim telah menjayakan aktiviti tersebut dengan kebanyakan peladang di Kawasan Muda membuat penyediaan tanah dalam tempoh tersebut.

Bagi Musim 1/2016 telah bermula pada 24 Februari 2016 berbanding ramalan iaitu pada 2 Mac 2016. Secara keseluruhannya, terdapat kelewatan dalam aktivti penyediaan tanah pada permulaan musim di antara bulan April hingga Mei disebabkan oleh faktor cuaca kering luar biasa yang berlaku (Super El-Nino) di mana kebanyakan bendang dalam keadaan kering serta tidak mudah untuk dibajak dan semua kawasan memulakan aktiviti serentak yang mengakibatkan kekurangan mesin pembajak yang boleh digunakan. Walaubagaimanapun, aktiviti ini mencapai kemuncaknya pada Mei 2016, di mana bekalan air dapat disalurkan ke seluruh kawasan bendang yang kering dan kebanyakan peladang di Kawasan Muda membuat penyediaan tanah dalam tempoh tersebut.

Bagi Musim 2/2015, kaedah putaran (bajak) basah menjadi amalan utama peladang-peladang dalam penyediaan tanah kerana kebiasaannya musim ini turunan hujan agak banyak dan para peladang lebih cenderung untuk menjalankan penyediaan tanah secara basah.

Namun, kaedah putaran (bajak) basah bagi Musim 1/2016 masih menjadi amalan utama peladang-peladang dalam penyediaan tanah dengan 50.7% kawasan (51,090 hektar) dari keseluruhan Kawasan Muda menjalankan kaedah ini.

Walaubagaimanapun, amalan kaedah putaran kering hampir menyamai kaedah putaran basah dengan peratusan 49.2% (49,537 hektar) kawasan menjalankan kaedah ini. Ini adalah disebabkan peladang-peladang di kawasan terlibat mengambil inisiatif untuk menyediakan tanah (secara putar kering) tanpa menunggu air dibekalkan (mengikut jadual) dalam mempercepatkan aktivti mereka.

Kaedah tanaman Sepanjang Musim 2/2015 dan Musim 1/2016

Penanaman padi bagi Musim 2/2015 bermula pada 23 September 2015 dan mencapai kemuncaknya pada 28 Oktober 2015 di mana sebanyak 66% (66,703 hektar) dari keseluruhan Kawasan Muda telah ditanam. Berbanding dengan ramalan aktiviti yang dirancang, pencapaian sebenar aktiviti penanaman padi sangat baik dan lebih cepat daripada ramalan dengan peladang sangat bersemangat dalam menjalankan penanaman mengikut jadual yang ditetapkan setelah kawasan bendang mereka telah dipulihkan daripada masalah tanah jerlus.

Kaedah tanaman bagi Musim 2/2015 dapat diringkaskan seperti carta berikut:


Berdasarkan carta di atas, amalan tabur terus basah masih menjadi amalan utama peladangpeladang di Kawasan Muda bagi Musim 2/2015.

Bagi Musim 1/2016, penanaman padi bermula pada 27 April 2016 dan mencapai kemuncaknya pada 25 Mei 2016 di mana sebanyak 70% (70,081 hektar) dari keseluruhan Kawasan Muda telah ditanam. Berbanding dengan ramalan aktiviti yang dirancang, pencapaian sebenar aktiviti penanaman padi sangat baik dan mengikut ramalan namun pada permulaan penanaman berlaku sedikit kelewatan kerana pencapaian pratepuan agak lambat disebabkan oleh kejadian cuaca yang sangat kering Super El-Nino.

Amalan Agronomi bagi Musim 1/2016 dapat diringkaskan seperti carta yang tertera di bawah :


Berdasarkan carta di atas, Musim 1/2016 menyaksikan amalan tabur terus basah masih menjadi amalan utama peladang-peladang di Kawasan Muda.

Kepadatan Penanaman Padi Sepanjang Musim 2/2015 dan Musim 1/2016
Musim 2/2015 menyaksikan sejumlah 100,636 hektar dari keseluruhan Kawasan Muda (100,685 hektar) berjaya ditanam dengan kepadatan tanaman musim adalah 99.9%. Sejumlah 49 hektar kawasan tidak dapat ditanam iaitu di kawasan Fasa II dan III bagi Wilayah I,Perlis, Wilayah II, Jitra dan WIlayah III, Pendang.

Bagi Musim 1/2016 menyaksikan sejumlah 100,602 hektar dari keseluruhan Kawasan Muda (100,685 hektar) berjaya ditanam dengan kepadatan tanaman musim adalah 99.9%. Sejumlah 83 hektar kawasan tidak dapat ditanam iaitu di kawasan Fasa I dan II, Wilayah I,Perlis dan WIlayah III, Pendang.

Antara masalah-masalah utama yang menyebabkan penanaman padi tidak dapat dijayakan di kawasan tersebut adalah disebabkan masalah tanah dalam, perubahan guna tanah daripada tanah pertanian kepada tanah pembangunan dan masalah hakmilik tanah iaitu proses wasiat tanah kepada anak – anak peladang.

Kemajuan Aktiviti Penanaman Padi / Penuaian sepanjang Musim 2/2015 dan Musim 1/2016
Secara keseluruhannya, sepanjang Musim 2/2015 kemajuan aktiviti penanaman padi menampakkan kemajuan yang memberangsangkan dengan para peladang mematuhi jadual yang ditetapkan di mana kemajuan sebenar sama dengan ramalan yang dianalisis. Faktor sumber air sediada iaitu turunan hujan yang banyak pada permulaan musim memang banyak memainkan peranan dalam pematuhan kemajuan aktiviti penanaman padi yang dijalankan. Status ketiga – tiga empangan di Kawasan Muda pada tahap yang selesa dengan Empangan Pedu mempunyai 86% takungan (752,810 ekar kaki), Empangan Muda mempunyai takungan sebanyak 82.5% takungan (103,080 ekar kaki) dan Empangan Ahning mempunyai sebanyak 81.4% takungan (181,527 ekar kaki) pada permulaan musim iaitu 28 September 2015. Namun, terdapat kelewatan dalam aktiviti penanaman padi bagi Musim 1/2016 di Kawasan Muda iaitu lewat seminggu dari tarikh mula bekalan di dalam Jadual Penanaman Padi, ini adalah disebabkan kejadian cuaca kering luar biasa (Super El-Nino). Kebanyakan takungan di Malaysia pada masa itu, pada tahap yang kritikal. Empangan Beris mempunyai takungan yang kritikal pada ketika itu di mana air tidak dapat dilepaskan untuk mengairi kawasan Kedah Selatan. Namun begitu, ketiga – tiga empangan di Kawasan Muda masih pada tahap yang selesa. Pada permulaan musim iaitu 23 Mac 2016, Empangan Pedu mempunyai 84.5% takungan (739,680 ekar kaki), Empangan Muda mempunyai takungan sebanyak 33.2% takungan (41,530 ekar kaki) dan Empangan Ahning mempunyai sebanyak 80.8% takungan (222,070 ekar kaki).

Peratusan aktiviti penanaman di Kawasan Muda berjaya mencapai 90% pada minggu ke-8 (11 November 2015) berbanding ramalan pada 2 Disember 2015, menyaksikan para peladang komited dalam melaksanakan aktiviti penanaman padi mengikut jadual yang ditetapkan bagi Musim 2/2015.

Bagi Musim 1/2016, peratusan aktiviti penanaman di Kawasan Muda berjaya mencapai 90% pada minggu ke-10 (1 Jun 2016) berbanding ramalan pada 8 Jun 2016, menyaksikan para peladang komited dalam melaksanakan aktiviti penanaman padi mengikut jadual yang ditetapkan. Oleh kerana kejadian cuaca kering luar biasa (Super El- Nino) sepanjang musim penanaman, berlaku kelewatan pada peringkat permulaan penanaman kerana kesukaran mencapai pratepuan pada tempoh yang ditetapkan.

Usaha-usaha kempen melalui anjuran Program Jom Turun Bendang Musim 1/2016, ‘Mobile Unit’ oleh pihak Wilayah dan penyampaian melalui khutbah Jumaat telah dijalankan dan disampaikan sebagai makluman dan peringatan kepada para peladang untuk mempercepatkan aktivti penanaman padi.

Keseluruhan kawasan yang ditanam pada Musim 2/2015 berjaya dituai pada minggu ke-23 (24 Februari 2016) berbanding ramalan iaitu pada 30 Mac 2016.Walaupun, banjir yang berlaku pada bulan Oktober 2015 di mana ketika itu banjir merah sedang melanda kawasan pantai timur tidak menjejaskan aktiviti penuaian bagi Musim 2/2015 kerana hujan yang turun sesuai pada tumbesaran padi yang sedang memerlukan air. Keseluruhan kawasan yang ditanam berjaya dituai pada minggu ke-26 (21 September 2016) berbanding ramalan iaitu pada 5 Oktober 2016. Walaupun, banjir yang berlaku pada bulan Julai 2016 tidak menjejaskan aktivti penuaian bagi Musim 1/2016 kerana air laut pasang besar yang mengakibatkan kawasan padi tenggelam berhampiran persisiran pantai di mana air hujan yang banyak tidak dapat disalir keluar ke laut. Namun keluasan yang terlibat hanya seluas 1,338 hektar dengan umur padi antara 20 – 100 hari di Wilayah III, Pendang dan Wilayah IV, Kota Sarang Semut.

Hidrologi dan Pengurusan Air
Dalam menghadapi cabaran ketidakstabilan sumber air, pengurusan yang cekap dan berkesan adalah penting dalam menjamin kesinambungan perlaksanaan tanaman padi dua (2) kali setahun yang secara langsung meningkatan hasil pengeluaran. Pengurusan air pengairan meliputi tugasan pengagihan, penyelarasan dan pemantauan terhadap sumber air (turunan hujan, bekalan empangan, aliran tak terkawal, pengendalian pam gunasemula) di Kawasan Muda.

Sumber Air Musim 2/2015
Sumber air bagi Musim 2/2015 (September – Februari) dapat diringkaskan seperti carta 19 berikut:


Berdasarkan carta tersebut, bagi Musim 1/2016 Kawasan Muda mengoptimumkan turunan hujanyang direkodkan iaitu 56%. Ini adalah disebabkan kejadian hujan lebat yang turun sepanjang musim tersebut bagi membolehkan peladang-peladang melakukan aktiviti mereka (menakung semula air selepas menabur dan penyediaan tanah) serta kesesuaian masa tumbesaran padi yang sedang memerlukan air.

Sumber Air Musim 1/2016
Sumber air bagi Musim 1/2016 (Mac – Ogos) dapat diringkaskan seperti berikut :


Berdasarkan carta tersebut, didapati penggunaan pam gunasemula bagi Musim 1/2016 adalah sangat tinggi direkodkan iaitu 14% berbanding dengan purataiaitu 8%. Ini adalah disebabkan kejadian kemarau dan cuaca kering yang luar biasa (Super El-Nino) pada musim ini lebih-lebih lagi pada permulaan musim di mana pihak MADA terpaksa melepaskan bekalan air dari empangan dan memaksimakan penggunaan pam bagi membolehkan peladang-peladang melakukan aktivti mereka (menakung semula air selepas menabur dan penyediaan tanah).

Kecekapan Penggunaan Sumber Air
Jadual di bawah menunjukkan jumlah sumber/ penggunaan air di Kawasan Muda bagi Musim 2/2015 dan 1/2016.


Kecekapan penggunaan sumber air adalah perbandingan antara keperluan air bagi tanaman dengan jumlah sumber/ penggunaan air bagi tujuan penanaman padi.

Tahun 2016 menyaksikan kecekapan dalam penggunaan air adalah 65%.

Secara kesimpulannya, penanaman padi bagi tahun 2016 dapat dijalankan dengan jayanya. Kepadatan tanaman di Kawasan Muda bagi musim ini adalah 99.9% dengan majoriti para peladang menggunakan varieti MR 220 CL2. Purata hasil kasar bagi tahun 2016 adalah 6.20 tan sehektar.

Sepanjang tahun 2016 menunjukkan kelancaran dan keberkesanan pengurusan air. Pihak MADA berjaya mengoptimumkan sumber air sediada untuk melaksanakan dan menjayakan aktiviti penanaman padi bagi tahun 2016 walaupun kejadian Super El-Nino dan Air Laut Pasang Luar Biasa dan banjir berlaku sepanjang tahun 2016.