Bismillahirrahmanirrahim,
Assalammualaikum W.B.T

Salam Sejahtera & Salam 1Malaysia,

Alhamdulillah, dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) saya dengan rasa sukacitanya dapat menyampaikan sedikit tinta kata di Laman Web MADA bagi tahun 2018 ini.

Di kesempatan ini, elok sekiranya saya mulakan tinta kata ini dengan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada seluruh kakitangan MADA di atas usaha gigih kalian di dalam menjalankan ibadah kerja dengan penuh kesungguhan dan tanggungjawab demi memastikan peningkatan taraf hidup peladang-peladang serta peningkatan hasil padi berada di tahap yang cemerlang di sepanjang tahun 2017 yang telah pun berlalu.

Tahun 2017 telah menyaksikan MADA terus berusaha untuk merealisasikan matlamat utamanya iaitu meningkatkan taraf hidup dan sosio-ekonomi peladang di Kawasan Muda dan melebihkan hasil untuk keperluan negara. Dalam usaha memenuhi matlamat ini, MADA telah melaksanakan pelbagai program pembangunan samada dalam sektor padi, asas tani dan industri asas tani.

Kini kita telah pun memasuki tahun 2018. Dan saya menjangkakan tahun ini adalah merupakan 365 hari yang penuh mencabar. Memetik satu ucapan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, di mana beliau telah mengingatkan agar penjawat awam dapat menjaga rahsia kerajaan dengan baik dan sempurna. Penjawat awam adalah merupakan sebahagian dari kepimpinan negara kerana setiap seorang daripadanya telah mengangkat sumpah untuk setia berkhimat demi untuk kepentingan negara. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga menggariskan perkara yang perlu ditumpukan oleh penjawat awam bagi memastikan kelestarian serta kelangsungan pentadbiran kerajaan yang lebih berkesan dan memelihara kesejahteraan dan keselamatan rakyat; antara perkara tersebut adalah berfikir secara kreatif dan inovatif dalam melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan.

Apa yang dimaksudkan dengan melaksanakan tugas secara kreatif dan inovatif itu adalah kita perlu menggunakan segala potensi, keupayaan dan kepakaran untuk menjayakan sesuatu tugas dengan cemerlang dan sekali-kali tidak mengambil jalan mudah. Oleh itu, saya menyeru kepada semua warga MADA supaya bersedia menambah serta mempertingkatkan ilmu, kepakaran dan profesionalisme, agar kita sentiasa bersiap siaga sepenuhnya demi menempuh segala cabaran di dalam tugas dan tanggungjawab kita sebagai anggota-anggota MADA.

Saya amat berharap, segala kejayaan yang telah dikecapi pada tahun-tahun sebelum ini akan dapat dipertingkatkan lagi ke satu tahap yang lebih cemerlang dan mampu dibanggakan oleh semua warga MADA.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh Ahli-Ahli Lembaga Pengarah MADA, Yang Berbahagia Pengurus Besar MADA & Kumpulan Pengurusan, Pegawai-Pegawai serta Kakitangan MADA yang telah memberikan komitmen yang hebat serta bersungguh-sungguh di dalam menyelaras dan melaksanakan program-program pembangunan di dalam Kawasan Muda.

Setinggi-setinggi perhargaan juga dititipkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Agensi-agensi Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Kedah, Kerajaan Negeri Perlis dan semua rakan-rakan MADA yang bekerjasama dalam memajukan sektor pertanian dan industri asas tani di dalam Kawasan Muda.

Sekian.

Yang Berhormat Dato’ Wira Othman Bin Haji Aziz,
Timbalan Menteri Kewangan 1 merangkap Pengerusi MADA.

 

Accessibility
Close