Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam Sejahtera & Salam 1Malaysia,

Terlebih dahulu, saya ingin melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T di atas perkenan dan izin-Nya, kerana masih lagi memberikan nikmat tubuh badan yang sihat serta dipanjangkan umur bagi membolehkan saya untuk menyampaikan sedikit ucapan di Laman Web Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi tahun 2018.

Tahun 2017 telah berlalu dengan penuh ujian dan cabaran, saya menzahirkan rasa syukur dan bangga kepada seluruh warga kakitangan MADA kerana dapat menyahut segala cabaran yang dihadapi. Saya dengan juga ini mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga MADA kerana telah berusaha untuk mencapai Misi dan Visi MADA pada tahun 2017.

Kita seringkali mendengar keluhan bahawa suasana kerja kita saban tahun semakin mencabar, kompleksiti yang semakin meningkat dan ekspektasi pelanggan yang semakin tinggi dan seterusnya memberikan tekanan kerja yang tinggi kepada kita. Namun itulah hakikat yang perlu kita terima bahawa pergerakan di era globalisasi ini sentiasa pantas dan memerlukan reaksi dan keputusan yang tepat serta berkesan.

Bagi tahun 2018 pula, saya berharap semoga para petani dapat mengekalkan semangat dan juga momentum kerja agar matlamat kita untuk mencapai sasaran hasil padi pada tahun ini berjaya. Pihak MADA juga berharap agar para peladang dapat bersama-sama menyertai Projek Estet Padi Pengurusan Berpusat (NKEA). Pelaksanaan NKEA Pertanian melakarkan banyak kejayaan mahupun cabaran selain menggariskan pengajaran penting untuk dipelajari dan langkah seterusnya yang perlu diambil untuk mencapai status Negara maju.

Bersesuaian dengan cabaran semasa, seluruh kakitangan MADA haruslah melipat gandakan usaha dengan turun ke kawasan bertemu dengan para peladang. Adalah penting bagi kita untuk menyahut seruan serta hasrat kerajaan dalam mentrasformasikan sektor pertanian kerana ianya merupakan cabaran yang besar. Lebih-lebih lagi ia melibatkan perubahan dari segi pendekatan, amalan dan penggunaan teknologi moden dalam bidang pertanian.

Dengan sokongan yang padu dari seluruh warga MADA, saya yakin bahawasanya kita akan dapat melaksanakan tugas dengan baik dan sempurna demi untuk mencapai matlamat dan kejayaan dalam membangunkan industri pertanian di seluruh kawasan Muda.

Justeru, saya menyeru kepada semua warga MADA agar kita sentiasa dapat menanamkan sikap yang positif, budaya kerja yang positif, menerima cabaran dengan hati yang terbuka agar kita sentiasa dapat membentuk budaya kerja yang seronok dan seterusnya membuahkan hasil seperti yang kita harapkan. Dan ingatlah, adalah penting untuk kita merapatkan saf perjuangan kita bagi melaksanakan agenda kerajaan di dalam memastikan rakyat dan peladang dapat menerima apa jua perancangan yang telah direncanakan untuk mereka.

Sekian,

Yang Berbahagia Dato’ Fouzi Bin Ali,
Pengurus Besar MADA.

Accessibility
Close