SEJARAH PENUBUHAN

Menyingkap Tabir Sejarah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda

sejarah

Seimbas Lalu Di Zaman Lampau
     Padi adalah merupakan salah satu sumber tanaman yang terpenting dalam peradaban dunia. Dalam sejarah kemajuan manusia, sudah diperlihatkan bahawa era pertanian moden telah berkembang dengan pesatnya dari zaman dahulu sehinggalah datangnya zaman millenium. Sebagai insan yang dapat membawa kebaikan kepada semua makhluk di muka bumi ini, sektor-sektor yang berkembang pada peradaban Islam memiliki banyak kelebihan yang sangat jauh dan baik daripada Barat pada masa lalu. Perkembangan peradaban dimulai dari berkembangnya ilmu pengetahuan yang digunakan untuk membantu umat manusia dalam mengelola segala urusan kehidupannya.

    Perubahan yang berlaku seharusnya boleh dijadikan contoh pada masa sekarang, di mana saat ini masyarakat mengalami ketidakstabilan dari banyak sektor yang menguruskan kehidupan. Salah satu sektor penting yang termasuk di dalam memenuhi hajat setiap manusia adalah sektor pertanian. Dalam hal ini, pertanian memiliki peranan yang utama dan penting untuk diuruskan dalam mendukung sektor kehidupan lainnya. Perubahan masa telah menunjukkan bahawa perkembangan di sektor pertanian telah jauh maju ke hadapan dengan pelbagai ilmu-ilmu serta maklumat terbaru.

Perubahan Dasar
Berikutan dengan kejatuhan harga dalam pasaran timah dan getah di dalam tahun dua puluhan. Kerajaan colonial British telah mula mengambil langkahke arah meningkatkan pengeluaran beras tempatan. Sebelum itu, kerajaan di dalam perdagangan timah dan getah hanya membuat kerajaan Kolonial British lebih mengutamakan mengimport beras daripada memajukan perusahaan padi tempatan.

Namun, sektor pertanian telah menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia di dalam era selepas merdeka dengan sumbangan kepada KDNK negara sebanyak 46% pada tahun 1957. Pada masa tersebut, aktiviti ekonomi penduduk lebih tertumpu kepada pertanian dan perlombongan. Bilangan pekerja yang menceburi sektor ini pada tahun 1966 adalah 80.3%.

Dari Dasar ke Perlaksanaan Projek
 Beras merupakan komoditi strategik kepada negara kerana ia merupakan makanan ruji hampir kesemua penduduk di Malaysia. Pada masa yang sama komoditi ini adalah penting kepada kestabilan dan pertumbuhan penduduk kerana pengguna khususnya membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatan mereka bagi membeli beras.

Bermula dari tahun 1955 dan berlanjutan sehingga beberapa tahun selepas kemerdekaan, kecukupan beras menerusi pengeluaran tempatan telah menjadi dasar utama kerajaan. Selaras dengan dasar tersebut, kerajaan telah melancarkan beberapa projek pertanian di bawah Rancangan Malaysia Pertama (1965 – 1970), yang terbesar diantara projek-projek tersebut ialah Rancangan Pengairan Muda.

Cadangan awal Projek Pengairan Muda ini telah diutarakan oleh Jabatan Parit dan Taliair Persekutuan dalam tahun 1950an. Di antara tahun 1960 hingga 1964, firma perunding Sir William Halcrow adng Partner (United Kingdom) telah diberi tugas menjalankan kajian kemungkinan terhadap pelaksanaan Projek Pengairan Muda. Laporan akhir kajian telah diserahkan kepada kerajaan dan juga Bank Dunia pada awal tahun 1965.

Seawal September 1964, kerajaan telah memohon pinjaman daripada Bank Dunia bagi membiayai sebahagian daripada kos pembinaan projek dengan sebahagian lagi ditanggung oleh kerajaan sendiri. Bank Dunia menyiapkan penilaian akhir terhadap cadangan Projek Pengairan Muda antara Februari – Mac 1965.Seterusnya pada 16 November 1965 pinjaman sebanyak US$45 juta telah diluluskan dan perjanjian ditandatangani pada hari berikutnya. Pinjaman tersebut mula berkuatkuasa pada 1 Februari 1966.

Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan dalam bulan April 1966. Pada awal tahun 1970, peringkat pertama pengairan telah dimulakan di kawasan seluas kira-kira 33,600 hektar bagi tanaman luar musim. Pengairan ke kawasan-kawasan selebihnya telah dilaksanakan dalam empat peringkat yang diselesaikan dalam tahun 1974.

Dasar Kerajaan pula telah telah berubah daripada semata-mata mengeluarkan beras yang cukup kepada satu lagi dasar bagi meningkatkan pendapatan serat kesejahteraan masyarakat tani.

Konsep Rancangan Pengairan Muda
 Di bawah Rancangan Pengairan Muda, satu sistem pengairan dan penyaliran disediakan di sebahagian kawasan daratan Barat Kedah dan Perlis bagi membolehkan penanaman padi diusahakan dua kali setahun. Punca-punca air yang ada adalah terdiri dari hujan yang turun terus di bendang, air yang mengalir dari sungai-sungai semulajadi dan air yang ditakung di kolam-kolam takungan Muda dan Pedu. Punca-punca air ini diintegrasikan ke dalam satu sistem bagi memenuhi keperluan untuk tanaman kedua-dua musim.

Pembinaan dua buah empangan di hulu Sungai Muda dan hulu Sungai Pedu, iaitu kira-kira 80 km ke Timur kawasan projek, telah membentuk kolam-kolam takungan Muda dan Pedu. Air dari Kolam Muda dialirkan ke Kolam Pedu melalui Terowong Saiong yang dibina dibawah tanah sepanjang kira-kira 7.2 km. Air dilepaskan dari Empangan Pedu ke Sungai Pedu dan mengalir melalui Sungai Padang Terap sehingga sampai di Alator Pelubang. Di Alator Pelubang aliran air dipecahkan kepada dua saluran, iaitu Terusan Besar Utara dan Terusan Besar Selatan. Air dari terusan ini pula akan memasuki terusan-terusan cabang dan ke taliair-taliair agihan sekunder sebelum memasuki kawasan sawah. Selain daripada itu sistem perparitan, jalan-jalan ladang, permatang-permatang pantai disamping berbagai binaan lain yang berkaitan juga telah dibina. Keseluruhan projek telah menelan belanja sebanyak kira-kira $238 juta.

Detik-detik Kelahiran MADA
Di peringkat awal pelaksanaan, Rancangan Pengairan Muda adalah sebagai projek kejuruteraan semata-mata. Tanggapan umum dikala itu ialah pembangunan yang berasaskan pertanian akan tercetus dengan sendirinya dengan adanya kemudahan-kemudahan asas yang disediakan oleh kerajaan. Tiada perancangan yang teliti dibuat untuk menyelaraskan secara terperinci peranan yang perlu dimainkan oleh beberapa Jabatan Parit dan Taliair serta Jabatan Pertanian.

Pada pertengahan tahun 1967, iaitu setelah kerja-kerja pembinaan berjalan selama satu setengah tahun, barulah disedari tentang ketidaklengkapan perancangan awal. Ekoran daripada itu sebuah Pejabat Pegawai Penyama Projek telah ditubuhkan di bawah Kementerian Pertanian pada bulan Ogos 1967 dan ditadbirkan di Kuala Lumpur. Oleh kerana pejabat ini tidak dapat berperanan dengan berkesan, pentadbiran pejabat ini telah berpindah ke Alor Star pada tahun 1969. Sungguhpun demikian, program pembangunan tidak dapat dirancang dan dilaksana dengan sempurna kerana kuasa eksekutif yang ada pada Pegawai Penyama adalah terbatas disebabkan perbezaan bidang kuasa yang wujud di antara beberapa Jabatan Negeri dan Persekutuan. Sementara itu pula, kedua-dua Kerajaan Negeri Kedah dan Perlis menghadapi kesulitan untuk menanggung perbelanjaan pembangunan serta perbelanjaan operasi dan penyenggaraan projek.

Oleh itu, kerajaan telah mengambil keputusan untuk menubuhkan sebuah badan berkanun bagi menggantikan Pejabat Pegawai Penyama Projek. Pada 30 Jun 1970 lahirlah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda di bawah satu dekri darurat dengan nama mula iaitu Pihak Berkuasa Kemajuan Pertanian Muda. Perasmiannya telah dilakukan oleh Allahyarham Tun Hj. Abdul Razak Hussein selaku Pemangku Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengarah Gerakan di dalam satu upacara di Bangunan Balai Besar, Alor Star, Kedah Darul Aman.

Penubuhan MADA telah diluluskan oleh Parlimen di bawah Akta 70, Akta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Tahun 1972. Dibawah Akta tersebut, tugas-tugas MADA telah digariskan seperti berikut :-

  Memaju, menggalak, membantu dan mengusahakan projek pembangunan ekonomi dalam Kawasan Muda.
  Merancang dan mengusahakan dalam Kawasan Muda apa-apa Kamajuan Pertanian mengikut sebagaiman                   yang diperuntukkan kepadanya oleh pihak berkuasa negeri bagi negeri Kedah dan Perlis.

Dua matlamat utama dibentuk oleh MADA, yang diasaskan kepada aspek-aspek kemanusiaan dan komoditi. Matlamat-matlamat tersebut ialah:

Memajukan kesejahteraan hidup sebilangan besar penduduk desa.

 Melebihkan hasil untuk keperluan Negara

Struktur Organisasi
Peranan utama yang dimainkan oleh MADA ialah mendorong, menggerak dan menyatukan petani-petani ke dalam satu masyarakat yang dinamis dan progresif. Merekalah yang akan mencetuskan pembangunan pertanian, ekonomi dan sosial di mana akan sentiasa berlaku proses keperluan serta peluang-peluang baru. Struktur organisasi MADA telah dibentuk menggabung perkhidmatan-perkhidmatan pentadbiran, kejuruteraan, pertanian dan latihan ke dalam satu pengurusan yang fleksibel.

Perancangan yang bersepadu yang menggabung tenaga kepakaran dari dalam dan luar jabatan telah menjadi amalan utama bagi mencari kata sepakat terhadap menentukan program yang terbaik untuk dilaksana. Menerusi konsep Pembangunan Kawasan, Kawasan Muda telah dibahagikan kepada 27 lokaliti pembangunan yang pengawasannya dikendalikan menerusi pejabat-pejabat di empat daerah MADA. Di setiap lokaliti pula didirikan kompleks geraktani yang juga menjadi pusat gerakan pertubuhan peladang kawasan.

Accessibility
Close