Amanat Menteri
Majlis Amanat Tahun Baru 2007
Bertempat Di Dewan Serba Guna, Wisma
Tani, Presint 4, Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani
Malaysia.
Pada 15 Januari 2007 (Isnin), Jam 9.00
Pagi.
“MEREALISASIKAN AGENDA MEMAJUKAN SEKTOR AGRO-MAKANAN SEBAGAI
INJIN PERTUMBUHAN EKONOMI”
MUKADIMAH
1. Syukur ke hadrat Allah SWT taala kerana dengan izin-Nya, kita
dapat berjumpa sekali lagi pada hari ini sebagai membuka tirai
untuk melangkah masuk kepada tahun 2007. Sehubungan ini, kita
akan meneruskan agenda kita untuk mentransformasikan sektor agro-makanan
menjadi satu industri yang komersial, moden dan berdaya saing
sepertimana yang dirancang di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.
2. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat
Tahun Baru kepada semua warga Kementerian ini. Marilah kita berdoa
supaya perjuangan kita yang dimulakan pada tahun 2006 dan diteruskan
pada hari ini akan diberkati dengan kekuatan dan kebijaksanaan
membolehkan kita memperoleh kejayaan yang cemerlang.
3. Kita melangkah masuk tahun baru ini dengan membawa kenangan
manis dan berasa sangat gembira serta mempunyai sense of euphoria
yang amat tinggi dengan kejayaan dan kecemerlangan dalam penganjuran
MAHA 2006 baru-baru ini. Kejayaan MAHA 2006 telah mencetuskan
satu anjakan minda bahawa kegiatan agro-makanan bukan lagi satu
aktiviti ekonomi bertaraf kelas ketiga yang mundur. Sebaliknya
ia merupakan satu kegiatan ekonomi yang berupaya menjanakan kekayaan
baru dengan pencapaian nilai-ditambah dan produktiviti yang tinggi.
4. Kita perlu mengeksploitasikan perubahan minda ini dan terus
mengubah tanggapan pihak swasta dan orang awam untuk menjadi satu
gerakan anjakan minda seluruh masyarakat. Sumbangan kita yang
paling bermakna bagi menjayakan gerakan perubahan ini ialah menyedia
dan membekalkan sistem penyampaian dan khidmat sokongan yang cukup,
segera dan berkesan bagi membolehkan perubahan ini berlaku dengan
pesat. PRESTASI TAHUN 2006
5. Tanggungjawab kita bagi menyedia dan membekalkan satu sistem
penyampaian dan khidmat sokongan yang berkesan untuk menerajui
transformasi sektor agro-makanan sebenarnya amat mencabar dan
kritikal memandangkan prestasi perbelanjaan pembangunan bagi tahun
2006 yang kurang memuaskan walaupun kita diperuntukkan bajet yang
besar sebanyak RM1.7 bilion. Kita boleh memberi pelbagai alasan
mengapa keadaan ini berlaku termasuklah mismatch di antara peruntukan
dan projek-projek pembangunan yang dilaksanakan. Bajet RM1.7 bilion
melibatkan pelaksanaan projek-projek baru tetapi tidak dilaksanakan
sepenuhnya kerana butiran projek-projek baru hanya disempurnakan
selepas dokumen Rancangan Malaysia Kesembilan dibentangkan di
Parlimen pada 31 Mac 2006. Walaupun demikian, kegagalan kita untuk
membelanjakan kesemua peruntukan yang telah diluluskan mencerminkan
kekurangan di dalam kapasiti dan kesanggupan kita untuk melaksanakan
projek-projek pembangunan yang diharapkan oleh Kerajaan.
6. Justeru itu, kita perlu melangkah masuk ke dalam tahun baru
dengan membuat azam baru bagi membaiki pencapaian kita. Azam baru
ini memerlukan kita merancang dan melaksanakan tindakan susulan
bagi meningkatkan prestasi kita. Kita hanya dapat memperbaiki
prestasi dengan mengambil iktibar daripada pengalaman dan kelemahan
serta masalah yang dihadapi ketika menjalankan tugas kita pada
tahun lalu. Hanya dengan membuat penilaian ke atas diri sendiri
barulah azam baru itu akan bernyawa dengan semangat kepimpinan
efektif dan nilai keempunyaan untuk mara dan terus maju bagi merealisasikan
agenda jangka panjang ke arah mentransformasikan Pertanian Sebagai
Satu Perniagaan.
BAJET 2007
7. Tahun 2007 merupakan tahun kedua perjuangan kita untuk menjayakan
pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan. Saya menganggap tahun
2007 sebagai titik permulaan yang kritikal kerana ia merupakan
tahun pelaksanaan memandangkan segala perancangan, program dan
blueprint projek-projek pembangunan sektor agro-makanan telah
disempurnakan dalam tahun 2006. Mulai tahun ini, saya akan menilai
prestasi Jabatan-jabatan dan agensi-agensi berdasarkan tahap pelaksanaan
projek-projek dan output serta impak yang dihasilkan.
8. Saya berkeyakinan penuh bahawa dengan penyediaan Implementation
Book, kita berupaya melaksanakan projek-projek mengikut tempoh
masa yang ditetapkan bagi membolehkan Kementerian mencapai perbelanjaan
100% pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang.
9. Bajet Tahun 2007 telah memperuntukkan perbelanjaan RM1.8 bilion.
Bajet ini telah menyediakan peruntukan yang terbesar yang diagihkan
kepada Kementerian kita. Ini menunjukkan pengiktirafan bahawa
sektor agro-makanan berpotensi tinggi untuk dimajukan sebagai
pemacu pertumbuhan ekonomi negara yang baru. Lebih penting lagi,
ia memberi peluang keemasan bagi kita untuk menaikkan martabat
sektor agro-makanan ke arah kecemerlangan.
10. Sejarah perkembangan sektor pertanian di Malaysia menunjukkan
bahawa sektor agro-makanan tidak pernah mengecap era keagungan
dan kegemilangan. Apabila negara kita mencapai kemerdekaan, sektor
pertanian pada masa itu didorong oleh getah, dan hari ini, penyumbang
pertanian diterajui oleh kelapa sawit. Dalam tempoh 2003 –
2005, purata pembahagian agro-makanan kepada Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK) ialah 2.8% berbanding dengan sektor perladangan yang
menyumbangkan 6.4%. Di dalam tempoh tersebut, purata nilai ditambah
sektor agro-makanan ialah RM12.6 billion berbanding dengan sektor
perladangan yang menjanakan RM28.5 bilion. Justeru itu, kita patut
menggunakan peluang ini sepenuhnya bagi menambahkan sumbangan
sektor agro-makanan di dalam KDNK.
11. Tetapi saya ingin menegaskan di sini perjuangan kita bukanlah
satu perjuangan yang mudah. Malah peruntukan besar ini sebenarnya
mencerminkan satu tanggungjawab yang berat dan amat mencabar.
Ini adalah kerana kita perlu merancang perbelanjaan pembangunan
pada puratanya sebanyak RM4.9 juta sehari berbanding dengan RM4.7
juta sehari pada tahun 2006. Lebih penting lagi, perbelanjaan
ini wajib menghasilkan output dan impak yang ditetapkan. MENGIMBANGI
KELEMBAPAN PELABURAN ASING
12. Hari ini kemunculan emerging economies seperti China, Vietnam,
India dan negara-negara Eropah Timur sebagai destinasi baru bagi
pengeluaran kos rendah telah menjejaskan kedudukan Malaysia untuk
menarik pelaburan luar negara (FDI) untuk membolehkan sektor perkilangan
terus berkembang. Mengikut anggaran United Nations Conference
On Trade And Development, jumlah FDI pada tahun 2005 ialah US$916
bilion dan negara-negara Asia hanya menerima US$200 bilion. Dari
jumlah tersebut, pengaliran masuk FDI bersih ke Malaysia pada
tahun 2005 hanya sebanyak US$4.1 bilion.
13. Justeru itu, sektor perkilangan akan menghadapi penguncupan
dalam menjanakan pertumbuhan ekonomi dan sektor agro-makanan wajar
mengimbangi dan menampung kelembapan. Kita boleh menyumbangkan
dengan menjayakan segala perancangan yang telah dirangka bagi
memajukan sektor agro-makanan. Konsep pertanian baru yang dihuraikan
di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan yang mengutamakan aktiviti
agro-makanan yang menjanakan nilai ditambah yang lebih tinggi
di dalam rantaian nilai adalah untuk menampung kelembapan yang
dijangka itu. Malah kita memikul tanggungjawab besar untuk menjayakan
dengan Teras Pertama dalam Misi Nasional.
KUMPULAN SASAR
14. Saya ingin mengingatkan kepada kita semua bahawa sebenarnya
kita mempunyai dua kumpulan sasar iaitu masyarakat tani tradisional
dan pengusaha-pengusaha komersial. Pengalaman kita menunjukkan
bahawa pendekatan yang paling berkesan bagi meningkatkan pengeluaran
agro-makanan ialah menumpukan perhatian kita kepada pengusaha-pengusaha
agro-makanan komersial yang kini menghasilkan 60% daripada keluaran
agro-makanan.
15. Tetapi kita mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk
membantu masyarakat tradisional ini untuk diserapkan masuk ke
dalam arus pemodenan dan proses pembangunan. Justeru itu, perbelanjaan
pembangunan kita perlu memberi keutamaan kepada kedua kumpulan
sasar yang berbeza dari segi keperluan, tahap produktiviti dan
pemodenan.
16. Bancian Pertanian Tahun 2005 telah mengenal pasti jumlah
guna tenaga pertanian di Malaysia sebanyak 816,813 orang meliputi
8.0% daripada keseluruhan guna tenaga negara seramai 10.2 juta.
Tetapi malangnya, sebahagian besar daripada masyarakat petani,
penternak dan nelayan ini belum lagi mengecap pembangunan tersebut,
seolah-olah mereka ini berada di pinggiran proses pembangunan
negara.
17. Analisis taburan guna tenaga pertanian mengikut negeri menunjukkan
bahawa Sarawak mempunyai tenaga pertanian yang paling banyak seramai
140,423 orang dan diikuti oleh Sabah sebanyak 117,724 orang, Kedah
seramai 93,839 orang, Kelantan berjumlah 93,569 orang, Pahang
seramai 88,202 orang dan Perak sebanyak 87,167 orang. Kajian yang
telah dibuat menunjukkan bahawa terdapat hubung kait di antara
masyarakat tani dan insiden kemiskinan. Sebahagian besar daripada
insiden kemiskinan terdapat di kawasan luar bandar berada di negeri-negeri
yang mempunyai tenaga pertanian yang besar. Pada tahun 2004, Sabah
mempunyai kadar kemiskinan paling besar sebanyak 23% diikuti oleh
Terengganu sebanyak 15.4%, Kelantan berjumlah 10.6% , Sarawak
sebanyak 7.5% dan Kedah sebanyak 7.0%.
18. Kita mempunyai tanggungjawab moral untuk menghapuskan kemiskinan
dan jurang kekayaan yang dialami oleh masyarakat tani. Pendekatan
yang paling berkesan ialah mengubahkan petani, penternak dan nelayan
menjadi agro-entrepreneurs. Melalui pendekatan ini, kita akan
mengubah kegiatan dan cara pengeluaran tradisional mereka dan
digantikan dengan . kapasiti dan keupayaan komersial bagi meningkat
produktiviti dan pendapatan mereka.
19. Lebih penting lagi, kita mahu masyarakat tani menjadi agro-entrepreneurs
agar mereka berdikari dan tidak sentiasa bergantung kepada Kerajaan
selama-lamanya. Melalui semangat berdikari, masyarakat tani akan
menggunakan pengalaman dan daya kreativiti serta semangat ketabahan
untuk mengatasi masalah dan cabaran perniagaan sendiri. Dalam
jangka panjang, perubahan menjadi agro-entrepreneurs akan memastikan
projek-projek yang dilaksanakan akan berdaya mapan dan tidak akan
mengalami kegagalan.
20. Walaupun kita mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk
membantu masyarakat tani, kita tidak boleh mengabaikan pengusaha-pengusaha
komersial yang lebih moden dan berproduktiviti tinggi. Pengusaha-pengusaha
komersial ini memerlukan suasana dan infrastruktur pro-perniagaan
bagi membolehkan terus berkembang dan menambahkan laluan pasaran
di peringkat global. Oleh itu, kita perlu mengadakan dialog perniagaan
dengan pengusaha-pengusaha atau persatuan-persatuan yang mewakili
kepentingan mereka bagi memahami masalah dan keperluan mereka.
Justeru itu, Kerajaan dapat merangka tindakan pro-aktif bagi memantapkan
lagi kegiatan mereka. Ini termasuklah pemberian insentif pengeluaran
dan promosi, rundingan laluan pasaran dan market intelligence.
DAYA SAING
21. Mengikut data yang dikumpulkan oleh Global Trade Atlas, import
dunia bagi keluaran agro-makanan pada tahun 2005 ialah RM1,825.9
bilion tetapi Malaysia hanya mengeksport sebanyak RM9.1 bilion
sahaja. Eksport keluaran ago-makanan kita hanya meliputi 0.5%
daripada permintaan global itu. Oleh itu, kita perlu meningkatkan
kapasiti pengeluaran agro-makanan dalam bidang yang kita mempunyai
faedah berbanding. Kita menerima hakikat bahawa kita mempunyai
faedah berbanding yang terhad dan tidak boleh terlibat di dalam
semua kegiatan agro-makanan dan bersaing dalam semua bidang dalam
pasaran global. Oleh itu, kita perlu mengenalpasti bidang-bidang
agro-makanan kita yang mempunyai kekuatan untuk berkembang dan
menambahkan syer pasaran.
22. Daya saing pengeluaran agro-makanan ditentukan oleh produktiviti.
Kayu pengukur daya produktiviti ialah total factor productivity.
Penemuan kajian terkini oleh MARDI yang membandingkan prestasi
total factor productivity kegiatan dan pengeluaran tanaman, ternakan
dan perikanan pada tahun 2000 dan 2004 menunjukkan kemerosotan
pencapaian produktiviti. Penemuan kajian ini menimbulkan beberapa
persoalan yang perlu dikaji dan ditinjau oleh kita bagi menjelaskan
kenapa ia tidak mencapai keberkesanan yang diharapkan.
23. Pertama, kita perlu mengkaji sama ada penggunaan input tambahan
kini menghadapi kekangan akibat hukum pulangan bertambah kurang
atau law of diminishing returns. Kedua, kita perlu mengkaji semula
sama ada andaian dan pendekatan yang digunakan dalam merangka
perancangan masih lagi boleh diguna pakai bagi program dan projek-projek
pembangunan yang telah dilaksanakan dan akan diteruskan lagi dalam
Rancangan Malaysia Kesembilan. Ketiga, kita perlu membuat perbandingan
terperinci di antara projek yang berjaya dengan projek yang gagal
untuk mengenal pasti angkubah-angkubah yang mendorong kejayaan
dan menghalang pencapaian. Saya berharap kajian semula dan perbandingan
yang dibuat akan dapat membantu memperkemaskan lagi usaha untuk
meningkatkan produktiviti.
SASARAN TAHUN 2007
24. Tahun 2007 mempunyai agenda pelaksanaan yang akan menentukan
kejayaan dasar dan hala tuju pembangunan agro-makanan. Kita telah
merangka strategi dan program bagi beberapa projek-projek berwajaran
besar yang akan mencetuskan impak dan perubahan ke atas usaha
jitu kita bagi memodenkan sektor agro-makanan dan menjanakan pertumbuhan
agro-makanan. Projek-projek berwajaran besar ini termasuklah:
a. Pelancaran Zon Industri Akuakultur (ZIA) di Sungai Como di
Terengganu pada 30 Januari 2007 merupakan projek perintis
pengeluaran akuakultur yang akan dilaksanakan di bawah pendekatan
anchor company. Kejayaan pelaksanaan projek
akuakultur ini diharapkan akan mencetuskan pembangunan pesat dalam
ternakan ikan akuakultur yang merupakan
kegiatan masa depan yang amat berpotensi;
b. Pengoperasian Pelabuhan Bersepadu Perikanan Laut Dalam di Tanjong
Manis, Sarawak bermula pada 1 April 2007 akan
memenuhi aspirasi kita untuk menjadikan tangkapan ikan laut dalam
sebagai sumber pertumbuhan baru. Pelabuhan
baru ini akan menjanakan pertumbuhan di kawasan pendalaman yang
boleh mencetuskan pembangunan industri
laut dalam secara besar-besaran berlandaskan pertumbuhan cluster;
c. Pelaksanaan Pusat Fidlot Kebangsaan pada pertengahan tahun
2007 akan menjayakan program untuk menambahkan pengeluaran
daging lembu bagi mencapai tahap sara hidup 35% menjelang tahun
2010. Kejayaan projek ini akan mengurangkan
bil import bagi daging lembu dan kambing yang amat besar;
d. Pelaksanaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan bermula dengan
pelancaran projek pertama di bawah Rancangan Malaysia
Kesembilan di Lanchang, Pahang pada Jun 2007 akan menambahkan
pengeluaran tanaman sayur-sayuran dan
buah-buahan tropika;
e. Pelaksanaan projek pembangunan asas tani bagi melahirkan 10,000
usahawan asas tani menjelang tahun 2010;
f. Pembelian tanah di bawah konsep land bank bagi menambahkan
kawasan tanaman agro-makanan akan bantu mengatasi
masalah kekurangan tanah pertanian yang baik dan sesuai;
g. Penubuhan MAQIS bagi menguruskan pengeksportan dan pengimportan
keluaran agro-makanan yang berkualiti dan selamat;
dan
h. Meningkatkan kapasiti portal AgriBazaar bagi membolehkan bayaran
on-line dibuat di atas transaksi penjualan dan pembelian
yang dihasilkan dalam cyber-market.
25. Secara spesifik, setiap agensi di bawah Kementerian ini mendukung
tanggongjawab untuk melaksanakan program-program terperinci bagi
melengkapkan transformasi sektor agro-makanan. Fokus dan penumpuan
agensi-agensi termasuklah seperti berikut:
i. Lembaga Pembangunan Nanas Malaysiaa.
Pengeluaran nanas diunjurkan berkembang sebanyak 22.1% dalam tempoh
Rancangan Malaysia Kesembilan. Justeru itu, sebagai menyahut sasaran
ini. Lembaga Pembangunan Nanas Malaysia perlu mensasarkan untuk
membangunkan kawasan seluas 10,000 ekar bagi penanaman nanas pada
tahun 2007 termasuklah seluas 3,770 ekar merupakan kawasan tanaman
semula. Di samping itu, LPNM juga akan mengembangkan operasinya
ke Negeri Sabah dan Sarawak dan sebagai permulaan, kawasan seluas
900 ekar akan dibangunkan di kedua negeri ini.
ii. MADA
b. Sebagai jelapang padi utama, saya yakin MADA akan menjadi penandaras
dalam mencapai produktiviti padi yang tinggi. Sehubungan ini,
MADA perlu meningkatkan kawasan pengeluaran padi yang mencapai
pengeluaran 10 tan bagi setiap hektar kepada 25,000 hektar berbanding
dengan keluasan 15,000 hektar sedia ada. Selain dari itu, sebagai
agensi peneraju untuk memajukan Projek Industri Berasaskan Beras,
saya berharap projek ini dilaksanakan pada tahun 2007 dan kejayaan
projek ini akan mencetuskan pembaharuan di dalam industri asas
beras.
iii. LPP
c. Saya menganggap peranan LPP amat penting dalam usaha kita menjadikan
pertanian sebagai satu peniagaan. Oleh itu, LPP hendaklah memberi
keutamaan dan menfokuskan kepada pembangunan modal insan di peringkat
grassroot bagi melahirkan peladang yang progresif, maju, moden
dan berdaya saing serta berdikari. Transformasi peladang ini perlu
diusahakan berlandaskan penubuhan gerakan koperasi di peringkat
unit peladang untuk terlibat di dalam kegiatan industri asas tani
dan pengeluaran bahan makanan.
d. Saya berharap usaha untuk membolehkan peladang memiliki jentera
kecil di diperhebatkan lagi pada tahun 2007 dengan pelancaran
Skim Pemilikan Jentera dan Peralatan Kecil. Melalui skim ini,
peladang-peladang boleh memiliki jentera sendiri dengan pembiayaan
matching grant iaitu pembiayaan 50% ke atas harga jentera dan
peralatan tetapi tidak melebihi kos maksimum RM 5,000.
iv. FAMA
e. Peranan FAMA adalah amat penting bagi meningkatkan laluan pasaran
dan menambahkan syer eksport negara kita. Usaha ini penting bagi
menampung keluaran pemprosesan hiliran oleh 10,000 usahawan asas
tani yang memerlukan pasaran luar negara. Tetapi dengan mengambil
kira, persaingan sengit di dalam pasaran global, saya berpendapat
kita perlu menumpukan kepada pasaran halal sebagai niche market.
Justeru itu, FAMA perlu merangka program-program galakkan pasaran
di beberapa negara yang terpilih seperti Iran, Timur Tengah dan
Asia Timur.
v. MARDI
f. Isu kegagalan kita untuk mengkomersialkan penemuan-penemuan
kajian sering dibangkitkan dan saya ingin melihat MARDI mengambil
tindakan susulan untuk memperhebatkan lagi aktiviti pemindahan
dan pengkomersialan teknologi kepada kumpulan sasar. Sehubungan
ini, peruntukan Techno Fund wajar digunakan sepenuhnya untuk menjayakan
pengkomersialan penem,uan R & D. Selain daripada itu, MARDI
juga perlu menumpukan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan
kepada menjana teknologi frontier bagi menghasilkan teknologi
yang dapat meningkatkan daya saing industri agro-makanan.
vi. BANK PERTANIAN MALAYSIA
g. Saya berharap pengkorporatan Bank Pertanian Malaysia akan dimuktamadkan
pada tahun 2007. Pengkorporatan ini memberi wajah baru kepada
Bank Pertanian Malaysia bagi menyahut cabaran baru dan keadaan
semasa untuk menjadikan pertanian satu perniagaan. Ia membolehkan
Bank Pertanian Malaysia menjadi institusi perbankan yang ulung
dalam memajukan sektor agro-makanan.
vii. LKIM
h. Selain dari Dana Nelayan dan e-diesel, LKIM perlu mengambil
tindakan susulan yang jitu bagi menjadikan Pelabuhan Perikanan
Bersepadu Tg. Manis sebagai pelabuhan tangkapan ikan laut dalam
unggul di rantau ini. Usaha ini melibatkan pengilkanan dan promosi,
pembinaan infrastruktur tambahan, penyediaan insentif dan penetapan
caj yang kompetitif bagi menarik lebih banyak vesel perikanan
menggunakan pelabuhan tersebut.
viii. KADA
i. KADA perlu mengambil tindakan susulan segera untuk menyediakan
infrastruktur bagi membolehkan tanah pertanian yang sedia ada
diusahakan sepenuhnya. Ia dapat mengatasi masalah tanah pertanian
yang tidak diusahakan kerana tidak mempunyai akses kepada inffastruktur
asas. Penggunaan tanah pertanian secara optimum oleh KADA dapat
menyumbangkan kepada mencapai sasaran tahap diri sebanyak 90%
bagi padi.
MENGHASILKAN PELAKSANAAN CEMERLANG
26. Saya ingin mengingatkan bahawa faktor utama bagi menjayakan
segala perancangan dan pembangunan agro-makanan di dalam Rancangan
Malaysia Kesembilan adalah kita sendiri. Kita adalah perancang
dan pelaksana yang menentukan pengagihan sumber bagi setiap projek
dan program, dan kejayaan atau kegagalan perancangan yang dirangka
adalah terletak di bahu kita.
27. Kita bertanggungjawab untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat
tani untuk melepasi mereka daripada belenggu kemiskinan. Kita
bertanggungjawab untuk meningkatkan kesejahteraan hidup mereka
dengan mengubah cara pengeluaran tradisional yang berproduktiviti
rendah kepada pengeluaran komersial yang berdaya maju dan moden.
Kita bertanggungjawab untuk memajukan kegiatan pemprosesan hiliran
dan industri asas tani bagi menambahkan kekayaan di kalangan masyarakat
tani.
28. Saya berpendapat kunci utama yang akan menjayakan agenda
ini ialah pelaksanaan yang cemerlang dan key success factors yang
mendorong kejayaan ini ialah kepimpinan yang efektif, budaya kerja
yang kreatif dan inovatif, struktur organisasi yang mantap, modal
insan yang terlatih dan nilai keempunyaan.
a. Kepimpinan Efektif
29. Saya berpendapat kepimpinan efektif di peringkat Ketua Pengarah
adalah amat penting dan kritikal bagi mencapai kejayaan. Ini adalah
kerana penglibatan aktif daripada Ketua Pengarah memberi satu
isyarat mengenai komitmen terhadap perancangan dan pelaksanaan
dari segi keberkesanan kos, jadual pelaksanaan, output dan impak
ke atas kumpulan sasaran. Walaupun semua peringkat dikehendaki
menampilkan kepimpinan efektif, tetapi kepimpinan efektif yang
dijalankan oleh Ketua Pengarah adalah amat penting dalam menentukan
kejayaan di dalam pelaksanaan.
30. Kepimpinan Ketua Pengarah dalam menghasilkan pelaksanaan
yang cemerlang melibatkan tanggungjawab untuk memantapkan core
processes di dalam pelaksanaan itu jelas. Pertama, Ketua Pengarah
hendaklah menetapkan matlamat dan keutamaan yang jelas. Ia membolehkan
Jabatan-jabatan dan agensi-agensi memfokuskan kepada beberapa
keutamaan yang nyata dan kritikal supaya sumber kewangan dan tenaga
yang terhad dapat digunakan secara optimum. Tanpa matlamat dan
keutamaan yang jelas dan nyata, pegawai-pegawai dan kakitangan
teknikal akan hilang arah tuju dan tidak fokus kepada tugas utama
yang kritikal.
31. Kita perlu mengakui bahawa sumber perbelanjaan adalah terhad
dan Kerajaan tidak berupaya menyediakan kesemua keperluan dalam
sistem penyampaian dan perkhidmatan sokongan. Oleh itu, melalui
penetapan matlamat dan keutamaan, kita perlu mengadakan analisis
bagi menentukan infrastruktur atau perkhidmatan yang paling mustahak
disediakan kepada pelanggan kita. Melalui analisis ini, penggunaan
sumber terhad dan tenaga serta kepakaran kita hanya disalurkan
kepada menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan yang kritikal
yang amat diperlukan dengan cekap dan berkesan.
32. Kedua, Ketua Pengarah mesti membuat tindakan susulan. Ini
adalah kerana hanya menetapkan matlamat dan keutamaan yang jelas
tidak akan memberi apa-apa makna jika pegawai-pegawai dan kakitangan
tidak mengambil tindakan susulan yang betul, cepat dan tepat.
Kegagalan untuk mengambil tindakan susulan dengan betul, cepat
dan tepat merupakan punca utama menjejaskan pencapaian yang berkesan.
33. Ketiga, Ketua Pengarah hendaklah menetapkan akauntabiliti
bagi setiap pelaksanaan. Ini adalah kerana pelaksanaan memerlukan
sistem akauntabiliti di mana pegawai-pegawai dan kakitangan memahami
peranan dan tanggungjawab mereka. Malah kerap kali keputusan yang
dibuat dalam mesyuarat tidak dilaksanakan kerana Ketua Pengarah
tidak mengenal pasti pegawai dan kakitangan untuk mengambil tindakan
susulan ke atas keputusan tersebut.
34. Keempat, Ketua Pengarah hendaklah terlibat secara langsung
dalam kerja-kerja pemantauan. Komponen yang amat penting dalam
pelaksanaan ialah penglibatan secara langsung dan aktif oleh Ketua-ketua
jabatan/Agensi dalam memastikan program dan projek pembangunan
dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Ini akan membolehkan
Ketua-ketua Pengarah memahami isu pelaksanaan dan masalah yang
berkaitan dan mengambil tindakan pro-aktif mengatasinya. Pendekatan
ini nescaya akan dapat mengelakkan kelewatan pelaksanaan program
dan projek yang dirancang.
b. Budaya Kerja Kreatif Dan Inovatif
35. Kita mesti mengamalkan budaya kerja organisasi yang mengutamakan
prestasi cemerlang dan tingkah laku yang etika dan bermoral tinggi.
Sebaliknya kita mesti mengelakkan daripada terperangkap budaya
kerja selesa yang mengutamakan nilai kerja NATO – No Action
Talk Only! Sehubungan ini, sama ada kita mempunyai budaya kerja
yang mengutamakan prestasi cemerlang atau NATO bergantung kepada
Ketua Jabatan. Ini adalah kerana budaya kerja setiap organisasi
dibentuk daripada wawasan dan inspirasi Ketua-ketua organisasi.
36. Kita memerlukan Kementerian dan jabatan-jabatan menjadi organisasi
yang kreatif dan inovatif yang didorong oleh budaya kerja yang
memupuk pemikiran kreatif yang menjanakan idea-idea baru dan inovatif.
Kita memerlukan budaya kerja yang kreatif dan inovatif untuk mencari
penyelesaian alternatif dan pembaharuan untuk mengatasi banyak
kekangan seperti ketidakcukupan tanah yang subur, dan penggunaan
teknologi kurang moden serta produktiviti yang rendah.
c. Struktur Organisasi Yang Mantap
37. Struktur organisasi yang berkesan menetapkan proses dan sistem
komunikasi, pelaporan dan kawalan bagi memastikan pegawai-pegawai
dan kakitangan dapat melaksanakan tanggungjawab dan peranan mereka
dengan berkesan dan cekap. Bagi melicinkan proses kerja seharian
ini, Kementerian dan jabatan-jabatan perlu sentiasa menyemak semula
tatacara peraturan dan prosedur pentadbiran yang sudah usang dan
menimbulkan kerenah birokrasi yang melambatkan proses pelaksanaan
dan memudarkan semangat kreativiti dan inovasi di kalangan pegawai
dan kakitangan Kementerian.
d. Modal Insan Yang Terlatih
38. Aset yang paling penting di dalam sesebuah organisasi ialah
modal insan yang terlatih. Kita bukan sahaja perlu mempunyai bilangan
kakitangan yang mencukupi tetapi dilengkapi dengan kemahiran dan
kepakaran teknikal serta kecekapan pengurusan. Di samping itu,
kita perlu memastikan bahawa kita menempatkan the right person
bertanggungjawab untuk melaksanakan sesuatu projek atau tugas.
Kebanyakan masalah kegagalan dalam pelaksanaan projek dan program
berpunca daripada pengurusan atasan meletakkan the wrong person
untuk mengendalikannya.
e. Nilai Keempunyaan
39. Akhir sekali, setiap Ketua Pengarah, pengurusan pertengahan
dan pelaksana di peringkat bawahan mesti mempunyai nilai keempunyaan.
Ini adalah kerana kita tidak akan mencapai akauntabiliti tanpa
nilai keempunyaan. Keempunyaan bermakna pegawai-pegawai dan kakitangan
teknikal menerima tanggungjawab dengan hati terbuka tugasan yang
diberi dan mengambil tindakan susulan segera.
40. Apabila kita mempunyai dan mengamalkan nilai keempunyaan
kita akan komited terhadap kejayaan program atau projek yang dilaksanakan.
Malah nilai keempunyaan merupakan pendorong yang akan menentukan
sejauh mana kita akan membuat tindakan susulan yang cepat, memantau
dengan teliti dan menyeluruh, dan berakauntabiliti ke atas tindakan
dan pengurusan yang telah diberi. Hanya dengan nilai keempunyaan,
kita mencari penyelesaian kepada masalah dan isu berkaitan dengan
perancangan dan pelaksanaan pembangunan sektor agro-makanan demi
untuk kumpulan sasar kita.
AGENDA YANG PERLU DISEMPURNAKAN
41. Sudah lama kegiatan ekonomi agro-makanan beroperasi di dalam
keadaan pinggiran, diselubungi kemunduran dan berteknologi rendah,
dan produktivitinya adalah ibarat padi secupak tidak akan menjadi
segantang. Akibatnya, sudah lama masyarakat petani, penternak
dan nelayan hidup menderita di dalam kemiskinan memperoleh rezeki
sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sudah
lama masalah ini merupakan agenda yang belum diselesaikan yang
wajar disempurnakan oleh kita dalam tempoh Rancangan Malaysia
Kesembilan.
42. Saya ingin mengingatkan bahawa kita mempunyai tempoh selama
empat tahun lagi untuk menjayakan segala pelaksanaan program dan
projek di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Tempoh masa ini
sebenarnya amat singkat kerana pelaksanaan program dan projek
pembangunan pada tahun 2006 hanya tertumpu kepada projek sambungan
sahaja, dan kita hanya akan melaksanakan projek-projek baru mulai
tahun 2007.
43. Kita mempunyai tempoh masa yang singkat untuk melaksanakan
dan menunaikan janji-janji kita yang termaktub di dalam perancangan
bagi memodenkan sektor agro-makanan. Masalah yang kita hadapi
sekarang ialah harapan atau expectations masyarakat umum amnya
dan masyarakat tani khasnya adalah tinggi untuk kita melaksanakan
apa yang telah dijanjikan.
44. Wawasan YAB Perdana Menteri bagi memajukan sektor agro-makanan
dan komitmennya dalam menyediakan peruntukan siling yang lebih
besar di dalam Rancangan Malaysia Sembilan telah mencetuskan harapan
ini. Dulu sektor agro-makanan dianggap sebagai satu kegiatan yang
masa depannya mundur dan amat gelap sekali. Hari ini Kerajaan
kita komited untuk menjadikan sektor agro-makanan sebagai sumber
pertumbuhan ekonomi negara. Kita memikul tanggungjawab amat berat
untuk menjayakan komitmen Kerajaan ini.
45. Kita tidak boleh gagal dalam merealisasikan agenda ini. Kalau
kita gagal, kita akan menghancurkan impian masyarakat tani yang
sudah lama menunggu peluang untuk memperbaiki nasib mereka. Kalau
kita gagal, kita akan mensia-siakan segala harapan Kerajaan untuk
memajukan sektor agro-makanan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi
yang baru. Kalau kita gagal, kita akan menguburkan selama-lamanya
peluang keemasan yang diberikan kepada kita untuk merancang pembangunan
sektor agro-makanan.
46. Justeru itu, kita mesti mempunyai struktur jentera pelaksanaan
dan pemantauan yang cekap dan berkesan supaya dapat menghasilkan
pelaksanaan cemerlang. Kita perlu memantapkan pengurusan organisasi
dan pengurusan pelaksanaan. Ini memerlukan kita mengkaji semula
amalan pengurusan utama dalam organisasi yang melibatkan kajian
semula ke atas budaya kerja, struktur organisasi dan pemantauan
serta keperluan modal insan yang cukup dan mahir yang meliputi
asas-asas bagi menguruskan dan menjalankan tugas-tugas utama kita
dengan baik.
PENUTUP
47. Hari ini kita meneruskan perjalanan untuk menunaikan wawasan
bagi memajukan sektor agro-makanan untuk memenuhi potensi sebagai
injin pertumbuhan ekonomi baru. Saya mengakui perjalanan ini bukanlah
satu perjalanan yang senang yang membolehkan kita sampai ke destinasi
kita dengan cepat dan mudah. Tetapi saya berkeyakinan penuh bahawa
dengan pengalaman, kemahiran dan kebijaksanaan serta komitmen
yang ada di kalangan Ketua-ketua Jabatan, pegawai-pegawai dan
kakitangan teknikal serta sokongan, kita berupaya memikul tanggungjawab
ini untuk melaksanakan program dan projek-projek pembangunan yang
dirancang dengan cemerlang. Insya-Allah, kita akan mencapai kejayaan
yang cemerlang di dalam menunaikan janji kita.
Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa, Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani.
Dipetik daripada laman
web http://agrolink.moa.my