Perutusan Pengurus Besar
 |
Dato' Haji Abdul Rahim bin Saleh
Pengurus Besar MADA |
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam
Sejahtera,
Syukur ke-hadrat Ilahi dengan rahmat-Nya MADA telah menyambut
ulangtahun penubuhannya yang ke-37 pada tahun ini. Alhamdulillah
sepanjang tempoh itu pelbagai pencapaian telah MADA kecapi dalam
membantu mengubah senario tanaman padi di Negara kita khususnya
di kawasan utara tanah air. Hasilnya pengeluaran padi telah dapat
ditingkatkan melalui penanaman padi dua kali setahun di samping
mengubah taraf hidup peladang-peladang ke tahap yang lebih baik.
Kerajaan telah menetapkan supaya sasaran Tahap Sara Diri Beras
Negara dilonjakkan daripada 73% pada tahun 2006 kepada 90% menjelang
tahun 2010. Sebagai organisasi peneraju dalam pembangunan industri
padi Negara, MADA bertanggungjawab dalam mendukung hasrat kerajaan
supaya ianya dapat direalisasikan. Untuk peningkatan produktiviti
yang berterusan, maka kita harus mempunyai perancangan dan strategi
disulami dengan teknologi yang mampu membuahkan hasil yang lebih.
Selain itu, Skim-skim Bantuan Harga Padi dan Baja serta juga Peningkatan
Hasil Padi yang ditawarkan oleh kerajaan kepada para peladang
haruslah dimanfaatkan secara optimum.
Suatu ketika dahulu, sektor pertanian dilihat sebagai sektor yang
mundur dan tidak mendatangkan pulangan yang lumayan. Namun kini,
persepsi itu harus diubah dan ianya perlu dilihat dengan kanta
baru, keyakinan baru, azam baru, semangat baru dan agenda baru
agar corak pertanian dapat dilarik ke arah yang lebih kompetetif.
Kita juga disarankan dan digalakkan agar melibatkan diri dengan
keseluruhan rantaian nilai (total value chain) supaya
hasil pengeluaran sektor pertanian dapat dimaksimakan. Ianya secara
tidak langsung mendatangkan hasil sampingan kepada para peladang
dan seterusnya membuka peluang kepada para peladang untuk menceburi
bidang keusahawanan.
Sebagai agensi peneraju untuk memajukan Projek Industri Berasaskan
Beras, maka kita perlu memastikan ianya dapat dijayakan melalui
penggemblengan tenaga kerja secara bersepadu, rangka kerja yang
teratur dan pemantauan yang berterusan. Ianya perlu agar output
yang dihasilkan berlandaskan piawaian yang ditetapkan dan berkualiti.
Kejayaan projek ini diharap dapat mencetuskan suatu pembaharuan
di dalam industri asas beras.
Kita sedar bahawa kejayaan suatu projek memerlukan pengorbanan
dan tidak boleh dicapai dalam jangkamasa yang singkat. Pelbagai
dugaan dan persepsi negatif pelbagai pihak haruslah ditangani
secara bijak dan positif. Sebagai pihak yang bertanggungjawab,
kita perlu peka dengan keadaan persekitaran semasa dan pantas
memberikan respon yang positif dengan mengambil tindakan penyesuaian
terhadap perubahan keadaan.
Kejayaan dalam memajukan industri beras Negara bergantung sepenuhnya
kepada kualiti tenaga kerja yang terlibat. Oleh itu, agenda pembangunan
modal insan harus diterapkan selari dengan pembentukan program
pembangunan agar kejayaan sesuatu projek itu turut mencerminkan
kejayaan modal insan itu sendiri.
Dengan kemajuan teknologi maklumat dan pengaliran maklumat yang
pantas, kita dapat menyalurkan maklumat kepada umum dan menerima
respon daripada umum secara efektif. Mekanisme penyampaian maklumat
ini perlu di pertingkatkan selari dengan arena semasa. Kita tidak
nafikan bahawa ICT memainkan peranan yang penting dalam mempertingkatkan
keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan ataupun delivery
system tersebut. Oleh itu, para peladang diharap dapat menggunakan
teknologi maklumat secara aktif dengan mengakses maklumat seperti
pengurusan air, teknologi tanaman, jadual tanaman padi dan berita
terkini dari semasa ke semasa.
Dengan wujudnya laman web ini sebagai suatu mekanisma penyampaian
maklumat, ianya diharap dapat digunakan secara optimum sebagai
medan komunikasi antara masyarakat umum dan pihak MADA untuk meningkatkan
lagi keberkesanan sistem penyampaian maklumat demi kepentingan
semua pihak.
Sekian, terima kasih.
Dato' Hj. Abdul Rahim Bin Saleh
Pengurus Besar,
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda
|