Ternakan Itik Ternakan Itik

TERNAKAN ITIK

Projek Ternakan Itik Penelur & Pedaging Di Kawasan MADA

Pemeliharaan itik penelur (Khaki Campbell) mula diperkenalkan pada tahun 2002 bagi tujuan pengawalan pembiakan Siput Gondang Emas (Pomacea canaliculata) dan kawalan infestasi padi angin di kawasan Muda. Peladang-peladang yang terlibat dengan program ini diberi bantuan anak itik di antara 40-50 ekor seorang. Pihak MADA telah mengagihkan sebanyak 5,040 ekor anak itik kepada peladang-peladang PPK D-IV, Permatang Buloh dan PPK B-IV, Pengkalan Kundor pada musim 1/2002.

Anak itik dipelihara sehingga berumur 3-4 bulan sebelum dilepaskan ke sawah. Kebiasaannya pelepasan itik ke sawah adalah pada peringkat selepas menuai padi, permulaan putaran tanah atau sebelum menabur benih padi.

Program ternakan itik penelur (Khaki Campbell) secara komersial mula diperkenalkan kepada peladang-peladang MADA pada tahun 2003. Setiap peladang terlibat diberi bantuan anak itik diantara 250-1,000 ekor mengikut keluasan kawasan ternakan

Sehingga Disember 2010, Projek ternakan ini masih aktif beroperasi melalui usahawan ternakan itik dengan bilangan seramai 31 orang di kawasan Muda.

 

Tujuan Perlaksanaan Projek

Perlaksanaan projek ternakan itik di kawasan Muda adalah untuk mewujudkan lebih ramai usahawantani, mempelbagaikan sumber pendapatan peladang melalui ternakan itik penelur secara komersial dan meningkatkan pengeluaran telur itik di kawasan Muda serta mempergiatkan industri hiliran berasaskan telur itik.

 

Lokasi Projek

Bagi program Kawalan Pengurusan Perosak Secara Bersepadu, (IPM) tumpuan projek adalah di kawasan sawah padi yang terdapat serangan Siput Gondang Emas atau terdapat padi angin.

 

Projek Komersial

Program ternakan secara komersial pula akan diberi tumpuan kepada peladang-peladang yang memiliki keluasan kawasan yang sesuai dan berdekatan sumber air. Pemilihan peserta adalah berdasarkan ciri-ciri ialah mampu menyediakan kemudahan asas seperti reban dan kawasan kandang ternakan yang mencukupi, persekitaran yang sesuai(berdekatan kawasan sawah dan persisiran pantai yang mempunyai sumber air yang baik), melibatkan peladang-peladang daripada program IPM dan diberi latihan secukupnya dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

 

Strategi Pelaksanaan Projek

Pengagihan bantuan anak-anak itik penelur kepada penternak-penternak itik yang berpotensi dan berdaya maju serta menwujudkan kerjasama dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar, industri hiliran berasakan telur itik, rangkaian pemasaran dengan kerjasama pihak FAMA / swasta, memberi latihan dan membangunkan sumber manusia di peringkat pegawai dan penternak.

 

Pengurusan Projek

Peserta-peserta akan menerima bantuan benih daripada MADA dan menguruskan aktiviti penternakan di bawah bimbingan pegawai pengembangan MADA dengan bantuan khidmat nasihat teknikal daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Bagi memastikan semua peserta mendapat manfaat daripada projek ini, satu jawatankuasa projek peringkat Ibu Pejabat, Daerah dan PPK serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang sedia ada akan meneruskan pemantauan dan penilaian kemajuan ternakan di samping memberi cadangan-cadangan serta panduan ternakan yang sesuai.

 

Analisa Keperluan Tenaga Kerja

Berdasarkan kepada amalan biasa keperluan tenaga kerja bagi menjayakan projek ini ialah untuk ternakan komersial kurang 1,000 ekor memerlukan 2 orang tenaga kerja, ternakan 1,000-2,000 ekor memerlukan 3 orang pekerja sementara 2,000-3,000 ekor perlukan tenaga kerja seramai 4 orang.

 

Pemasaran

MADA dan FAMA dengan kerjasama pihak swasta akan terus membantu peladang-peladang yang terlibat di dalam pemasaran hasil ternakan bagi mencapai harga jualan yang kompetatif. Kedudukan harga jualan telur itik dan saluran pemasaran masa kini ialah secara borong bagi gred A adalah di antara RM 0.28-RM 0.30 sebiji manakala gred B ialah RM 0.23 sebiji. Harga jualan telur secara runcit bagi gred A adalah di antara RM 0.30-RM 0.32 sebiji manakala gred B antara RM 0.25-RM 0.28 sebiji.