ternakan kambing ternakan kambing

TERNAKAN KAMBING

Aktiviti penternakan kambing telah lama diusahakan oleh penternak di negara kita, perusahaan ini diadakan secara kecil-kecilan, sebagai aktiviti sampingan, mengawal rumpai dan juga sebagai sumber protein haiwan bagi keperluan keluarga. Sifatnya yang suka merayau dan memilih makanan, terutamanya pucuk-pucuk tumbuhan boleh menentukan ianya memperolehi zat makanan yang cukup. Industri ternakan kambing dapat menyumbang bekalan daging kambing / berbiri antara 12-15% bagi keperluan Negara. Lebih dari 95% kambing yang dipelihara adalah bagi tujuan pengeluaran daging, sementara bakinya adalah untuk pengeluaran susu.

MADA telah mengenalpasti terdapat kawasan di sekitar rumah peladang, kawasan tanah terbiar, kawasan pinggir yang sesuai dengan ternakan kambing dan penternak-penternak yang telah menjalankan aktiviti untuk memajukan lagi projek ini di kawasan Muda. Matlamat utama projek ini adalah untuk mempelbagai aktiviti ekonomi peladang melalui menternak kambing bagi menambah pendapatan disamping mengujudkan peluang pekerjaan dikalangan peladang.

Projek ternakan berbiri telah dimulakan di kawasan MADA pada tahun 1989 di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Kelima (RM Ke 5), yang melibatkan sebanyak 89 orang peladang.

 

Projek ini diteruskan dalam RMKe 6, melalui kaedah sistem pawah MADA mengikut syarat-syarat yang tercatat dalam surat perjanjian antara penternak dengan pihak MADA. Pada tahun 1992 seramai 49 orang peserta telah mendapat bantuan berjumlah 294 ekor iaitu 49 ekor kambing jantan dan 245 ekor kambing betina.

Setiap peserta diberi induk jantan berumur antara 1-2 tahun dan lima ekor induk betina antara 3/4-1 tahun. Penternak perlu menyediakan semua kemudahan asas yang diperlukan seperti kandang yang bersesuaian, sumber makanan kambing, sistem pengairan dan perparitan yang baik.

Di dalam Rancangan Malaysia Ke Lapan (RM ke 8), projek ternakan kambing ini masih lagi diteruskan dengan penumpuan kepada bantuan baka kambing kacukan mengunakan sistem pawah seperti yang diamalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan. Pada tahun 2004 seramai 49 orang peserta telah mendapat bantuan berjumlah 294 ekor iaitu 49 kambing jantan dan 245 kambing betina.

Setiap peserta diberi induk jantan berumur antara 1-2 tahun dan lima ekor induk betina antara 3/4 -1 tahun. Manakala pada tahun 2005 ini sebanyak 50 ekor kambing jantan adan 1000 ekor kambing betina akan diagihkan lagi kepada penternak-penternak di kawasan Muda.

Penternak yang terlibat di dalam projek ini disyaratkan mengikuti kursus pengurusan penternakan kambing bagi memastikan pelaksanaan projek ini lebih berjaya dan berdaya maju. Tujuan pemeliharaan kambing yang disyorkan adalah untuk pengeluaran daging bagi kegunaan pasaran tempatan. Disamping itu tumpuan juga diberi kepada sistem membiak dan jual hidup untuk menambahkan pendapatan penternak.

 

 

 

Dua sistem pengurusan pemeliharaan kambing yang disyorkan kepada peladang-peladang iaitu:

(i)
Sistem Separa Berkurung (Separa Insentif) - di mana pemeliharaan kambing dijalankan secara melepaskan kambing pada siang hari dan dikurung di dalam kandang pada malam hari. Sistem yang disyorkan ini adalah sesuai bagi penternak yang memiliki kawasan yang luas seperti di pinggir kawasan MADA.
(ii)
Sistem Berkurung (Insentif) - dimana pemeliharaan kambing dijalankan secara sistem reban/kandang melalui pembinaan kandang yang sempurna dan kambing tidak dilepas untuk meragut rumput. Sistem ini sesuai diamal oleh penternak yang tidak mempunyai kawasan ragut. Makanan dan minuman seperti konsentrat, rumput dan garam jilat dibekal kepada kambing di dalam kandang sahaja.

 

Bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan sempurna pihak MADA dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Haiwan memberi khidmat nasihat dan sokongan teknikal kepada semua penternak yang terlibat. Tumpuan utama adalah untuk meningkatkan kecekapan pengurusan penternakan kambing dan berbiri dalam aspek pemilihan baka dan pembiakan, pengurusan pemakanan/minuman, pembinaan kandang dan kemudahan asas yang lain, kawalan penyakit dan kesihatan dan kerja-kerja penjagaan harian. Ianya dilakukan melalui lawatan berjadual pegawai-pegawai Jabatan Perkhidmatan Haiwan Daerah bersama-sama dengan pegawai-pegawai MADA.