Akuakultur Projek Akuakultur Di Kawasan Muda Projek akuakultur di Kawasan Muda dilaksanakan seawal tahun 1980an lagi dan projek-projek akuakultur tersebut telah diberikan tumpuan lebih, bermula pada tahun 2000, dimana projek-projek ternakan ikan dalam sangkar di terusan MADA dan Empangan Pedu telah dimulakan. Objektif utama projek akuakultur di kawasan Muda ialah mempelbagai sumber pendapatan usahawan MADA melalui ternakan ikan dalam taliair dan kolam tanah serta meningkatkan pengeluaran hasil ikan dan sumber makanan bagi mengurangkan import dalam Negara. Terdapat tiga program utama projek akuakultur di dalam kawasan Muda iaitu projek ternakan ikan tilapia dalam sangkar, projek ternakan ikan tradisi dalam kolam dan projek pusat pengeluaran benih ikan tilapia Ternakan Ikan Tilapia Dalam Sangkar Di Terusan MADA Projek ternakan ikan dalam sangkar di terusan MADA pada awalnya diusahakan secara komersial oleh 6 buah Pertubuhan Peladang Kawasan MADA dan sebuah Syarikat Muda Selatan. Dengan mengunakan kemudahan sumber air di tiga terusan utama MADA iaitu terusan utara, tengah dan selatan, pihak MADA telah menempatkan sebanyak 1,000 sangkar yang bersaiz 3 meter x 3 meter (sehingga 31 Disember 2007). Menjelang Mei 2010 sangkar-sangkar tersebut diserahkan pengurusannya kepada usahawan-usahawan yang terpilih. Di samping mengekalkan beberapa Pertubuhan Peladang Kawasan yang meneruskan Projek Ternakan Ikan dalam Sangkar seperti PPK A I Arau dan juga PPK D III Titi Haji Idris. Pengeluaran Ikan Tilapia Merah terkumpul daripada tahun 2006 sehingga 2011 bagi projek –projek tersebut adalah sebanyak 430.853 tan dengan nilai pengeluaran sebanyak RM2.29 juta.  Ternakan Ikan Tradisi Dalam Kolam Tanah Projek ternakan ikan tradisi dalam kolam tanah telah dirangka untuk mempelbagai dan meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan peladang bermula dari tahun 2006 sehingga 2011 sebanyak 418 buah kolam tanah telah dibaik pulih dan dimajukan dengan ternakan ikan air tawar seperti ikan keli, sepat, puyu dan lampam. Seramai 200 orang usahawan yang mengusahakan ternakan ikan air tawar secara sambilan dan pengeluaran secara kecil-kecilan di kawasan MADA. Projek ternakan ikan tradisi ini di kawasan MADA telah bermula pada RMKe 8 (2001 – 2005) dan seterusnya disambung dalam RMKe 9. Antaranya aktiviti yang dijalankan adalah seperti berikut; (i) Pengagihan benih dan makanan awal (ii) Pembaikan kolam dan penyediaan peralatan (iii) Program kursus / latihan  | Pada tahun 2006, satu program baikpulih kolam tanah telah diperkenalkan kepada usahawan-usahawan MADA. Tumpuan diberi kepada penternak yang memiliki kolam antara 3 – 4 buah (saiz kolam: 40 kaki x 80 kaki / unit). MADA telah merangka beberapa strategi ke arah peningkatan pengeluaran hasil padi dan pendapatan peladang melalui penglibatan di dalam aktiviti akuakultur, dengan memanfaatkan tanah terbiar dan kurang produktif untuk tanaman padi dengan pembinaan kolam tanah. Sepanjang program pengagihan (Dibawah RMke 8 dan RMke 9) ini dilaksanakan, seramai 518 orang peladang dengan bilangan kolam sebanyak 1193 buah kolam dapat dimajukan. Pendekatan mempelbagaikan pendapatan melalui aktiviti ternak air ini akan dapat mewujudkan peluang pekerjaan dikalangan peladang serta dapat menambahkan pendapatan peladang selain daripada padi. Ini akan menjadikan kawasan Muda sebagai salah satu sumber pengeluaran makanan utama negara. Sepanjang tahun 2007 sehingga 2011, Jumlah pengeluaran ikan tradisi di kawasan MADA adalah sebanyak 9.92 tan. | Projek Pusat Pengeluaran Benih Tilapia Usahasama MADA Memandangkan MADA sedang melaksanakan projek ternakan ikan tilapia dalam sangkar, keperluan benih kadangkala tidak mencukupi dan tidak menepati kualiti seperti yang dikehendaki. Oleh itu, MADA telah melaksanakan program pengeluaran benih tilapia untuk kegunaan projek – projek tersebut.   Projek ini diusahakan oleh PPK D-II, Tunjang dengan purata kapasiti pengeluaran benih adalah sebanyak 100,000 ekor/bulan. MADA juga telah membina Pusat pembenihan ikan di Tobiar, Pendang, Kedah.Di mana ianya dijadikan sebagai pusat latihan dan rujukan kepada usahawan-usahawan akuakultur di kawasan MADA berkenaan dengan teknik-teknik pembenihan ikan Tilapia. Pusat ini di bina pada tahun 2006 dengan keluasan 0.5ha dimana ianya terdiri daripada 26 buah kolam asuhan, 5 buah kolam induk dan sebuah pusat pengeraman aruhan (inkubator). Disamping itu juga, pusat ini dapat mengeluarkan benih ikan Tilapia yang berkualiti yang dapat menampung permintaan usahawan-usahawan di kawasan MADA, dimana pada tahun 2011 sebanyak 216,041 ekor benih ikan telah berjaya dihasilkan.   Antara peralatan yang digunakan dalam proses pembenihan ikan Tilapia:    Contoh risalah Ikan Tilapia Merah MADA 
|