close
qrcode
Latar Belakang: Latar Belakang 1 Latar Belakang 2 Latar Belakang 3 Latar Belakang 4 Latar Belakang Asal Saiz Tulisan: Kecilkan Teks Set Semula Teks Besarkan Teks Skema Warna Tema Asal Tema Biru Tema Hitam Tema Perang Capaian Pengguna Kurang Upaya Teks Suara Teks Suara
Hubungi Kami | Soalan Lazim | Pautan | Bantuan | Peta Laman
image image image image
Kandungan Jurnal
image

Perutusan Y. B. Datuk Seri Noh Bin Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
Sempena Perhimpunan Bulanan,
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,
Di Dewan Serbaguna, Wisma Tani,
Putrajaya.

Isnin - 11 MEI 2009

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya, kita dapat berkumpul dan bertemu dalam Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi bulan Mei 2009 ini. Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Pekerja dan Salam Perkenalan kepada semua warga Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kerana ini adalah kali pertama saya menemui saudara-saudari secara rasmi dalam majlis seumpama ini sejak berhijrah ke sini pada 9 April lalu. Dan pada saat kemasukan saya pula seluruh negara bergema dengan konsep 'Satu Malaysia, Rakyat didahulukan dan Pencapaian diutamakan’ Yang Berhormat Dato’ Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang Keenam. 

Bagi saya kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada saya untuk menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani adalah tanggungjawab dan amanah rakyat dan Negara yang wajib saya jayakan dengan baik dan sempurna. Sedikit sebanyak saya berharap untuk berkongsi pengalaman saya sepanjang di MECD dan begitu juga, tuan-tuan dan puan-puan sekalian turut memainkan peranan penting dalam membantu saya memastikan kelicinan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab kita kepada rakyat.

MENYAHUT SERUAN SATU MALAYSIA. "RAKYAT DIDAHULUKAN. PENCAPAIAN DIUTAMAKAN."

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menjelaskan bahawa beliau sengaja mahukan ia berunsur ketaksaan tanpa meletakkan sebarang had supaya ia boleh sentiasa dan terus berkembang, demi kebaikan rakyat. Kerana, akhirnya, itulah yang diutamakan yakni Rakyat. 

Pada saya, tidak perlu lagi penjelasan lanjut. Jelas sekali ia bermula dengan rakyat dan hasilnya juga dirasakan oleh rakyat, yang dicapai melalui kebersamaan dan kekitaan dalam satu keluarga yang besar. Jadi dalam konteks KPIAT yang berkeluarga besar ini, mempunyai tiga jabatan dan 10 agensi bersama dan bersama dalam setiap tindakan melaksana dan menjayakan misi dan visi yang telah ditetapkan bagi membangunkan sektor pertanian Negara. Klien kita adalah rakyat, saya dan saudara-saudari juga rakyat. Bagaimanapun secara khususnya golongan sasar kita adalah petani, penternak dan nelayan yang penting bagi memastikan bekalan makanan kita terpelihara.

KEMBALI KEPADA YANG ASAS (BACK TO BASICS)

Saya amat bernasib baik kerana mengambil alih Kementerian ini daripada seorang 'senior' yang cukup berwawasan dan berpengalaman. Sehinggakan kebanyakan perkara dasar/asas yang dimulakan oleh Yang Berhormat Dato Mustapa Mohamed dan sebelumnya Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya tidak perlu untuk saya ubah, malah saya amat berbesar hati kerana berpeluang meneruskan perjuangannya bagi memajukan sektor pertanian. 

Apa-apapun yang kita lakukan, kita perlu kembali kepada perkara-perkara yang paling asas. Di sini kita perlu ingat apakah objektif yang dinyatakan dalam Dasar Pertanian Negara:

  • MEMAKSIMUMKAN PENDAPATAN SEKTOR PERTANIAN MELALUI PENGGEMBLENGAN SUMBER-SUMBER NEGARA SECARA CEKAP DAN BERKESAN SUPAYA SUMBANGAN SEKTOR PERTANIAN KEPADA PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA DAPAT DIPERGIATKAN SEMULA.
  • MEMAKSIMUMKAN PENDAPATAN PENGUSAHA DAN PEKEBUN KECIL MELALUI PENINGKATAN DAYA PENGELUARAN SUPAYA KADAR KEMISKINAN DAPAT DIKURANGKAN DAN KUALITI HIDUP KELUARGA DIPERBAIKI.
  • MEMAJU DAN MENINGKATKAN HASIL SERTA MUTU KOMODITI YANG MEMPUNYAI POTENSI BESAR UNTUK EKSPORT ATAU BAHAN GANTIAN IMPORT DAN KOMODITI TERPILIH UNTUK BAHAN MAKANAN DAN PERINDUSTRIAN. 

Jelas bahawa fokus sepatutnya diberikan terhadap memaksimumkan pendapatan sektor pertanian dan sudah tentunya golongan sasar kita yakni petani, penternak dan nelayan dan para pengusaha industri asas tani.  

Malang sekali hakikatnya golongan ini - para petani, penternak, peladang dan nelayan - masih jauh ketinggalan dari segi pendapatan. Pelbagai masalah yang tampak remeh tapi merupakan perkara-perkara asas terpaksa dihadapi sehingga menghalang mereka daripada berjaya, seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka. Ini adalah realiti kesukaran hidup para petani kita yang sepatutnya tidak lagi dialami pada abad ke-21 ini. 

Isu-isu yang memerlukan perhatian dan penekanan adalah perkara-perkara yang telah lama menjadi bahan rintihan mereka- harga baja dan racun, masalah tenaga kerja - semuanya memberi kesan terhadap produktiviti mereka. Perkara-perkara ini, mungkin nampak remeh pada kita tetapi bagi mereka yang memang mengalami tekanan seharian seperti itu, ia bukannya satu perkara gurauan. 

Dalam kita menuju ke arah 'Satu Malaysia' perlulah kita memberikan fokus kepada masalah-masalah asas ini. Jika asasnya goyah, maka apa jua yang dilaksanakan akan turut roboh dan tidak bertahan lama. Apapun yang kita lakukan, biarlah mengukuhkan konsep bahawa rakyat perlu sentiasa diutamakan. Ia bukan setakat isu KPI kita, tetapi sejauh manakah keprihatinan, kemanusiaan dan empati kita, selain betapa seriusnya kita memegang tanggungjawab dalam menyalurkan bantuan kepada mereka, terutama dalam keadaan kemelut ekonomi yang kini berlaku. 

Saya juga telah banyak kali menekankan bahawa, bantuan yang disediakan untuk golongan sasar kita ini juga perlu diwar-warkan supaya mereka mengetahui yang kita sebenarnya sedar dan prihatin. Di sinilah saya memerlukan bantuan tuan-tuan dan puan-puan sekalian untuk memastikan golongan sasar yang merupakan pelanggan kita ini berpuas hati dengan bantuan dan layanan kita kepada mereka.

MENDEKATI RAKYAT

Tidak dapat dinafikan, mindset atau corak pemikiran turut memainkan peranan. Jadi bagaimana untuk kita mengubah mindset pemikiran sedemikian? Jawapannya adalah, dengan terus mendekati rakyat secara langsung dan peribadi. 

Saya amat bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri bahawa cara terbaik untuk mengetahui masalah rakyat adalah dengan mendekati mereka secara peribadi. 

Disebabkan itulah saya memang dari dulu lebih suka menemui rakyat kerana hanya dengan cara inilah kita mampu merasai sedikit daripada apa yang mereka alami, dan seterusnya lebih mudah untuk kita membantu apabila kita sendiri memahami kesusahan mereka. Dan saya amat gembira apabila mengetahui itu juga pendekatan yang diambil oleh mantan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato' Mustapa Mohamed. Kata orang, 'great minds think alike'. 

Pada saya juga, jika Perdana Menteri sendiri sanggup 'turun padang' dan melakukan tinjauan mesra untuk melihat masalah rakyat, apatah lagi kita semua. Memetik kata-katanya, "We must understand our stakeholders in order to be able to deliver what they require", Kita mesti memahami pelanggan kita untuk membolehkan kita memberikan apa yang mereka kehendaki. Maka dengan itu, kita perlu turun padang menemui golongan sasar kita, memahami kehendak dan keperluan mereka dahulu sebelum kita menyedia dan memberikan sesuatu kepada mereka. Umpamanya, dalam menjayakan sesuatu program contohnya kita masuk perkampungan nelayan dengan hasrat untuk menggalakkan mereka menceburi bidang pertanian dan kerajaan menyediakan kawasan ladang yang luas untuk mereka bertani. Mungkin program ini kurang mendapat sambutan atau tidak mendapat sambutan langsung kerana cara dan budaya hidup mereka tidak sesuai dengan program berkenaan. Kita perlu menyesuaikan dengan kehendak mereka yang sudah sebati dengan suasana laut. Maka program yang perlu kita anjurkan adalah mengubah cara mereka bekerja daripada nelayan tempatan kepada sesuatu yang lebih baik, umpamanya ternakan ikan dalam sangkar. Hadirin yang saya hormati sekalian, 

Kita perlu juga ingat bahawa Kementerian ini, serta jabatan-jabatan dan agensi-agensi di bawahnya, adalah satu keluarga yang besar. Kata orang, cubit peha kanan, peha kiri pun terasa juga. Kekurangan atau kesilapan daripada satu badan mungkin memberi kesan atau tanggapan negatif terhadap reputasi keseluruhan organisasi. 

Bagaimanapun setelah kira-kira sebulan lebih saya disini, saya melihat di Kementerian ini, memang ada keakraban hubungan kekeluargaan. Namun tidak salah untuk kita terus menggilap hubungan dan komunikasi di kalangan kita semua. 

Saya mempunyai blog saya sendiri, iaitu nohomar dotkom dan saya mengalu-alukan sekiranya ada antara tuan-tuan dan puan-puan yang mempunyai sebarang pandangan, maklumat ataupun sekadar luahan yang ingin diketengahkan secara langsung kepada saya. Percayalah bahawa saya tidak akan memandang remeh isu-isu yang diketengahkan kerana kadang-kadang perkara yang nampak remeh itu sebenarnya boleh memberi kesan yang mendalam. 

Akhir kata, saya sekali lagi memohon kerjasama yang erat daripada saudara-saudari sekalian dan berharap kita dapat bekerja sebagai satu keluarga yang dinamik dan komited dalam mencapai cita-cita untuk mengangkat martabat petani, penternak, peladang dan nelayan selaras dengan konsep 'Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'. Sekian, wassalamu’alaikum warahmatullahi wabaratuh.

Dipetik daripada Laman Web Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

 

 
 
Bookmark and Share
  • image
  • image
  • image
  • image