Program Pengeluaran Benih Padi Sah MADA
Pengenalan
Penggunaan benih padi sah merupakan salah satu faktor yang menyumbang ke arah peningkatan hasil padi. Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani telah mewajibkan semua peladang menggunakan benih padi sah bermula pada tahun 2009 dimana pengeluaran benih padi sah akan diterajui oleh lima entiti iaitu FELCRA, BERNAS, Kejora Desa, PPK Lahar Bubu dan MADA.
Berdasarkan keluasan tanaman padi di Kawasan Muda seluas 97,000 hektar dan kadar penggunaan benih padi sebanyak 140 kg sehektar, pihak MADA memerlukan sebanyak 28,000 tan metrik benih padi sah setahun. Keperluan penggunaan benih padi akan bertambah apabila peladang mengamalkan kaedah penanaman tabur terus dalam air (water seeding) bagi mengatasi masalah padi angin dengan kadar penggunaan benih sebanyak 200 kg sehektar.
Bagi memenuhi keperluan benih padi sah di Kawasan Muda, pihak MADA telah merangka strategi dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) iaitu di bawah Program Pengeluaran Benih Padi Berkualiti MADA.
Objektif Projek
Objektif utama projek ini dijalankan adalah untuk:
 | Memenuhi keperluan benih padi sah terutamanya di Kawasan Muda selaras dengan arahan kerajaan yang mewajibkan penggunaan benih padi sah mulai tahun 2009. |
 | Menyumbang ke arah peningkatan hasil purata pengeluaran padi di Kawasan Muda daripada 5.48 tan sehektar pada tahun 2006 kepada 6.85 tan sehektar menjelang tahun 2010 melalui penggunaan benih padi sah. |
 | Menggalakkan peladang-peladang menggunakan benih padi yang tulen untuk mengawal padi angin daripada merebak. |

Benih Padi
Kaedah Pelaksanaan Program
Pelaksanaan program melibatkan 5 komponen utama iaitu seperti berikut :
 | Penyediaan Tapak Semaian Padi |
| | 4 tapak semaian padi diwujudkan di Kawasan Muda dan dinaiktaraf daripada semasa ke semasa untuk menghasilkan anak semaian bagi keperluan Skim Ladang Benih yang dikelolakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA. Tapak semaian ini diurus sepenuhnya oleh PPK MADA dan turut menyediakan perkhidmatan mekanisasi untuk aktiviti penanaman padi. PPK yang terlibat ialah PPK B-I Kayang, PPK D-II Tunjang, PPK C-III Tajar dan PPK E-IV Bukit Besar. |

 | Pengeluaran benih padi mentah |
| | Pengeluaran padi benih akan dilaksanakan oleh PPK MADA bersama dengan peserta-peserta Skim Ladang Benih. Pada musim penanaman II/2007, seluas 590 hektar Skim Pengeluaran Benih Padi di Kawasan Muda yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian telah diambilalih oleh PPK MADA. Pengambilalihan ini adalah sejajar dengan pelepasan fungsi Jabatan Pertanian sebagai pengeluar benih padi sah mulai tahun 2008. Pengurusan Skim Ladang Benih MADA adalah mengikut amalan pertanian baik (GAP) dan berdasarkan piawaian yang ditetapkan dalam Skim Pengesahan Benih Padi Jabatan Pertanian. Amalan dan piawaian ini akan memastikan kualiti padi benih yang akan dituai dan seterusnya diproses terjamin. Urusan penuaian dan penghantaran padi benih ke loji akan diuruskan oleh PPK MADA. Peruntukan kewangan berbentuk geran daripada MADA telah disalurkan kepada PPK yang terlibat dengan Skim Ladang Benih untuk tujuan modal pusingan pembelian padi benih. |
 | Pengambilalihan Loji Pemprosesan Benih Padi |
| | Sejajar dengan pelepasan fungsi Jabatan Pertanian sebagai pengeluar benih padi sah mulai tahun 2008, MADA telah diberi tanggungjawab untuk mengambilalih Loji-loji Pemprosesan Benih Padi Jabatan Pertanian. Operasi pengambilalihan loji telah dilaksanakan mulai musim penanaman II/2007. Pengambilalihan ini membolehkan MADA terlibat dalam pemprosesan dan pengeluaran benih padi sah. Pelan pengambilalihan loji adalah seperti berikut : |
FASA | AKTIVITI | RAKAN KONGSI |
1 | Pengambilalihan Loji Telok Chengai Pengambilalihan Loji Lundang Pengambilalihan Loji Ajil | SPPM PPK Bakat Baru, KADA Paddytech Resources |
2 | Pengambilalihan Loji Bumbong Lima Pengambilalihan Loji Titi Gantong | SPPM SPPM |
3 | Pengambilalihan Loji Sungai Burong | SPPM |

 | Pengurusan Loji |
| | Pengurusan loji-loji pemprosesan benih padi yang diambilalih oleh MADA dilaksanakan oleh Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn. Bhd. (SPPM) dan rakan niaga dimana SPPM menjalankan operasi pemprosesan di loji Telok Chengai, Kedah; Bumbong Lima, Pulau Pinang dan Titi Gantong, Perak. Manakala operasi pemprosesan di loji Lundang dan Ajil dikendalikan oleh PPK Bakat Baru KADA dan Syarikat Paddytech Resources Sdn. Bhd. Setiap rakan niaga yang terlibat bertanggungjawab menyedia kakitangan operasi loji serta menanggung kos operasi. |
 | Pemasaran Benih Padi |
| | Penyelarasan pengedaran benih padi antara rakan niaga akan dikendalikan oleh SPPM dan dilaksanakan mengikut kawasan penanaman dan musim. Walau bagaimanapun, urusan pemasaran benih padi sah akan dijalankan oleh setiap rakan niaga melalui rangkaian pemasaran PPK (yang sedia ada) bagi semua kawasan tanaman padi di seluruh negara. Pada peringkat awal, keutamaan pemasaran benih padi adalah untuk Projek Peningkatan Hasil Padi dan selanjutnya akan diperluaskan ke kawasan padi di seluruh negara. |
