Pada hari Isnin, 22 September 2020 yang lalu, Yang Berhormat Tuan Ahmad Tarmizi Bin Sulaiman selaku Pengerusi MADA telah mengadakan Sesi Libat Urus bersama peladang-peladang sempena Mesyuarat Agung Tahunan PPK MADA C-I Kangar Perlis kali ke-50.
Meskipun negara masih di dalam Perintah Kawalan Pergerakkan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember 2020, namun Mesyuarat Agung Tahunan PPK MADA masih dapat dijayakan dengan mematuhi (SOP) serta norma baharu yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
YB. Pengerusi MADA di dalam ucapannya menekankan tentang ujian dan cabaran yang sentiasa dilalui oleh warga PPK dalam mendepani misi dan visi bagi memastikan peladang-peladang di Kawasan Muda dapat meningkatkan hasil tanaman padi serta meningkatkan ekonomi mereka.
Bersesuaian dengan cabaran semasa, seluruh kakitangan PPK haruslah melipat gandakan usaha dengan turun ke kawasan bertemu dengan para peladang. Adalah penting bagi kita untuk menyahut seruan serta hasrat kerajaan dalam mentrasformasikan sektor pertanian kerana ianya merupakan cabaran yang besar. Lebih-lebih lagi ia melibatkan perubahan dari segi pendekatan, amalan dan penggunaan teknologi moden dalam bidang pertanian.
Mesyuarat Agung Tahunan ini merupakan satu platform penting untuk PPK menyusun semula strategi-strategi bagi memperkukuhkan pergerakan PPK agar ianya dapat membantu menjana ekonomi peladang-peladang serta ekonomi negara.