Adakah aku tetamu Ramadhan ?

     Ramadhan dari sudut istilah membawa maksud panas yang menyengat. Allah SWT memilih bulan Ramadhan sebagai satu ruang masa untuk melimpahkan nikmat yang besar dan teragung kepada para hambanya iaitu dengan menurunkan Al-Quran sebagai mukjizat yang memiliki kesucian dan keistimewaan yang terulung.

Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah yang bermaksud :-
“beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan sembilan permulaan. Al-quran sebagai petunjuk bagi manusia dan bermacam-macam keterangan yang merupakan petunjuk, antara yang benar dan yang batil”.

 

 

Diantara keistimewaan bulan Ramadhan itu ialah :-

  1. Bulan yang terpilih untuk melakukan ibadah puasa sebagai tanda kesyukuran kepada Sang Pencipta di atas nikmatNya.
  2. Bulan yang telah dipilih oleh Allah SWT lalu diberikan satu malam di dalamnya kerahmatan dan kenikmatan seribu bulan yang teragung iaitu malam “Lailatul Qadar”.

Sabda Rasulullah SAW :-
“Carilah malam Lailatul Qadar di (malam ganjil) pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan”

  1. Bulan yang dituntut supaya melakukan sebanyak-banyaknya ibadah seperti membaca Al-Quran, memperbanyakkan solat sunat, berzikir serta memperbanyakkan berdoa. Bulan Ramadhan juga merupakan satu bulan yang dimustajabkan doa.

     Namun begitu, terdapat segelintir manusia yang melihat bahawa kedatangan bulan Ramadhan ini sebagai satu persepsi. Ada dikalangan mereka yang melihat bulan Ramadhan ini sebagai tempat persinggahan sebelum kedatangan Syawal. Ada juga yang melihat bulan Ramadhan ini sebagai syurga membeli makanan di “bazaar ramadhan” dan memborong barang-barang keperluan rumah. Namun, tidak kurang juga masih wujud mereka yang melihat Ramadhan sebagai bulan ibadah yang perlu direbut dengan memperbanyakkan amal ibadah.

     Walau apapun persepsi manusia terhadap bulan Ramadhan ini, ianya tetap akan datang dengan seribu satu fadhilat dan manfaat seperti yang telah dijanjikan oleh Allah SWT dan RasulNya. Telah diriwayatkan dari Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda :-

Apabila tiba malam bulan Ramadhan, maka syaitan akan dirantai, ditutup pintu-pintu neraka dan tiada satupun yang terbuka, dibukakan pintu-pintu syurga dan tiada satupun yang tertutup. Dan menyerulah penyeru : “Wahai yang mengharapkan kebaikan, bersegeralah (kepada ketaatan), wahai yang mengharapkan keburukan, berhentilah (kepada kemaksiatan)”. Allah memiliki hamba-hamba yang selamat dari api neraka pada setiap malam di bulan Ramadhan”. (Hadith Riwayat Imam At-Tirmizi)

    

     Beruntunglah mereka yang untung, dan rugilah mereka yang rugi di dalam bulan Ramadhan ini. Untuk memastikan kita di kalangan mereka yang untung, maka terdapat beberapa perkara yang mesti dilakukan antaranya :-

  1. Tidak Berharap Ramadhan Segera Habis

Pada hakikatnya, terdapat segelintir dari kalangan umat Islam yang masih tidak bersedia dengan kedatangan bulan Ramadhan. Golongan inilah yang sangat cepat untuk meradang walaupun dengan sebab yang sangat kecil dan tidak mampu menjaga mulutnya daripada mengeluarkan perkataan yang tidak baik sehinggakan boleh mengurangkan pahala berpuasa.

     Ini bersalahan dengan amalan para sahabat dan generasi awal Islam. Mereka sangat gembira dan menanti-nantikan kedatangan Ramadhan kerana mereka meyakini bahawa segala bentuk amalan ibadah samada kecil ataupun besar akan mendatangkan pahala yang tiada batasan. Ramadhan adalah anugerah dari Allah SWT dan mereka bergembira dengan berlumba-lumba melakukan amal soleh bagi meraih fadhilat yang Allah sediakan.

 
Firman Allah SWT di dalam Surah Yunus yang bermaksud :-
Katakanlah Wahai Muhammad, “Dengan kurnia Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan”.

  1. Berpuasa Bukan Kerana Taqlid dan Adat

     Mereka yang berpuasa kerana (taqlid) ini  adalah mereka yang berpuasa tanpa ilmu pengetahuan dan tidak mendalami ilmu feqah yang berkaitan dengannya. Orang lain berpuasa, maka mereka juga berpuasa. Bagi mereka puasa itu hanyalah sekadar tidak makan dan tidak minum, itu sahaja sebagai adat puasa. Sedangkan kita wajib melaksanakan ibadah puasa ini dengan penuh keimanan dan muhasabah. Selain yang wajib, yang sunat juga perlu dilakukan, manakala pantang larangnya daripada yang makruh dan haram hendaklah ditinggalkan. Berpuasa juga bermaksud membesarkan syiar agama.

Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW pernah bersabda :-
“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan menghitung diri, maka diampunkan untuknya dosa yang telah lalu”.
(Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari)

Wanita adalah salah satu makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT beserta dengan segala keistimewaannya. Setelah diciptakan wanita maka mereka tidak dibiarkan begitu sahaja malah terdapat beberapa peraturan-peraturan khusus dari wahyu Allah yang perlu diikuti. Peraturan-peraturan ini bukanlah untuk mengekang dan membuat kaum hawa terpenjara tetapi ianya adalah untuk memuliakan wanita itu sendiri.

Firman Allah di dalam Surah Al-A’raf yang bermaksud :-
“Hai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik”.

Dan diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda :-
“Ada dua golongan ahli neraka yang belumku lihat sekarang, iaitu kaum yang membawa cemeti seperti ekor sapi untuk memukul manusia dan wanita yang berpakaian tetapi telanjang, yang berlenggang lenggok dan condong rambutnya seperti kelasa unta (sanggul) yang condong. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, padahal bau syurga itu dapat tercium dari perjalanan sejauh ini dan ini”.

Di dalam Al-Quran juga ada menyebutkan bahawa manusia itu mempunyai 2 penyakit iaitu penyakit ragu-ragu dan syahwat. Diantara penyakit syahwat itu adalah kesukaan lelaki melihat kepada wanita-wanita sehingga timbulnya keghairahan, sehinggakan ada di kalangan para lelaki yang mengganggu dengan secara sengaja. Oleh yang demikian, peliharalah mata dari melakukan dosa-dosa dan maksiat kerana baginda Nabi SAW pernah mengingatkan kita di dalam sabdanya :-

“Barangsiapa memandang wajah wanita lain (bukan mahram) dengan syahwat, maka pada kedua matanya akan dituangkan tembaga panas di hari kiamat”.

Mereka yang berpuasa dengan penuh keimanan dan menghitung diri akan pahala puasanya, mereka inilah manusia yang redha dan tenang, berlapang dada, merasa gembira dengan puasanya dan sentiasa bersyukur kepada nikmat yang sedikit ataupun banyak. Tidak nampak sedikit pun riak di wajahnya kegelisahan, kemurungan dan keluhan di sepanjang bulan Ramadhan.

  1. Tidak Meninggalkan Sunnah

Mereka berpuasa tanpa mengambil berat tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan sunnah Nabi SAW. Mereka melaksanakan kewajiban ibadah puasa tetapi ketika tiba waktu berbuka mereka langsung tidak mengikut sunnahnya. Mereka tidak mengambil peduli untuk memulakan berbuka puasa dengan buah tamar atau air kosong sebagaimana yang Nabi SAW amalkan. Sebaliknya mendahulukan menu lain yang mungkin lebih kelas dan menarik warnanya. Walaupun tidak salah tetapi ia tidak menepati amalan Nabi SAW.

Hadith yang diriwayatkan daripada Anas Bin Malik RA bahawasanya :-
“Nabi SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutob (kurma yang telah masak) sebelum solat, jika tiada maka dengan beberapa biji tamar (kurma yang kering), dan jika tiada maka baginda minum beberapa teguk air”. (Hadith Riwayat Imam Abi Daud dan At-Tirmizi)

Di samping itu, terdapat juga mereka yang tidak menyegerakan berbuka puasa tanpa sebarang keuzuran. Hal ini juga tidak menepati sunnah Nabi SAW. Menyegerakan berbuka itu mendatangkan kebaikan. Jika melewatkannya tanpa keuzuran maka ia menunjukkan hilangnya kebaikan untuk dirinya.

Diriwayatkan daripada Sahal Bin Sa’d bahawa Nabi SAW bersabda :-
Sentiasalah manusia itu dalam kebaikan selagi mana menyegerakan berbuka puasa.
(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain itu, terdapat juga mereka yang bukan sahaja tidak melewatkan bersahur bahkan mereka langsung tidak bersahur. Mereka memberikan alasan bahawa mereka tetap mampu berpuasa walaupun tanpa bersahur. Mereka menganggap bahawa bersahur hanyalah seperti sarapan untuk mendapatkan sedikit tenaga. Mereka lupa tentang fadhilat dan keberkatan yang bakal di raih jika bersahur walaupun hanya dengan seteguk air.

Diriwayatkan daripada Anas Bin Malik bahawa Nabi SAW bersabda :-
“Bersahurlah,  sesungguhnya di dalam bersahur itu ada keberkatan”.
(Hadith Riwayat Imam Bukhari)

  Terdapat banyak lagi amalan sunnah yang perlu ditekankan dan diamalkan sepanjang bulan Ramadhan seperti membaca Al-Quran, bersedekah, solat tarawih, memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dan sebagainya.

  1. Tidak Berdusta dan Berbohong

Wujud segolongan manusia yang berpuasa tetapi masih berbohong kepada orang lain. Ini bermakna lidahnya tidak berpuasa. Sedangkan salah satu daripada maksud puasa itu ialah menahan lidah daripada berkata pada perkara yang fasid (membinasakan) sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al-Qurtubi di dalam tafsir Surah Al-Maryam ayat 26 yang bermaksud :-

“Maka makan dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. kemudian jika engkau melihat seseorang, maka katakanlah : Sesungguhnya aku bernazar puasa (diam) kerana (Allah) Al-Rahman ; maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini”.

Begitu juga berdusta dari segi perbuatan di bulan Ramadhan. Meskipun kudrat badan kita tidak mampu untuk menampung kerja seharian namun kita masih lagi berada di bawah amanah dan iqrar majikan. Adakah boleh untuk melepaskan urusan kerja kepada orang lain sedangkan amanah itu milik kita. Tepatilah masa dan waktu bekerja meskipun ianya sukar untuk dilaksanakan. Perintah amanah di dalam pekerjaan adalah wajib sebagaimana perintah-perintah yang lain seperti solat, puasa dan sebagainya. Amanah adalah cabang keimanan, seseorang yang beriman mempunyai sifat amanah dan sebaliknya pula orang tidak amanah itu menandakan kekurangan imannya.

Sabda Rasullullah S.A.W yang bermaksud:-
“Ketahuilah ! Tidak beriman bagi sesiapa yang tiada amanah”. (Riwayat Imam Ahmad)

Bagi mereka yang berpuasa tetapi masih tetap berdusta terhadap orang lain, maka sia-sialah puasanya. Orang seperti ini akan mendapat kerugian kerana puasanya tidak lagi mendatangkan kebaikan untuknya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :-
Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan mengamalkannya, maka Allah SWT langsung tidak berhajat terhadap apa yang ditinggalkannya daripada makan dan minum. (Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari)

Semoga peringatan ringkas ini mampu untuk mengubah diri kita supaya menjadi insan yang lebih baik. Sebagaimana yang disuruh dan dituntut bahkan dititik beratkan, maka begitulah juga pantang larangnya yang wajib untuk kita hindari. Ini penting agar matlamat untuk meningkatkan ketakwaan kita akan tercapai.

Imam Ibnu Kathir di dalam kitabnya Tafsir Al-Quran Al-Azim menyebut :-
“Puasa adalah merupakan pendidikan, pembersihan dan penyucian jiwa daripada percampuran yang buruk dan akhlak yang hodoh”.

 

Mari kita renung sejenak kepada sirah junjungan mulia Baginda Nabi SAW mengenai peperangan pertama yang diberi nama Ghuzwatul Badar Al-Kubra (Perang Badar). Peperangan yang berlangsung pada tanggal 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijriah bersamaan 624 Masihi adalah peperangan yang pertama semenjak baginda Nabi diangkat menjadi Rasul.

Padanan kekuatan pada peperangan ini sesungguhnya tidak seimbang. Ini kerana tentera muslimin hanyalah seramai 313 orang yang terdiri dari kaum Muhajirin, Al-Aws dan juga Al-Khazraj. Berbanding tentera kafir quraish yang berjumlah 1000 orang yang kesemuanya lengkap bersenjata. Meskipun disyariatkan untuk berpuasa ketika peperangan itu, namun atas dasar keimanan dan ketakwaan pada Allah Azza Wa Jalla, kedua-dua tentera ini bersemuka di tanah sumur lembah Badar.

Maka keesokan harinya berkecamuklah peperangan yang dahsyat, lemparan lembing tombak dan gemertak pedang yang beradu memenuhi medan Badar. Meskipun tentera muslimin sedang berpuasa dan berpotensi untuk mengalami kekalahan, namun berkat kesabaran dan tunjang keimanan itulah yang memisahkan diantara lapar dan dahaga mereka. Akhirnya peperangan tamat dengan kekalahan yang teruk bagi pihak musyrikin quraish dan kemenangan bagi pihak muslimin.

Begitulah juga dengan diri kita yang sedang di dalam perjalanan untuk melawan hawa nafsu yang telah mendidik selama 11 bulan. Tiada pedang yang perlu dihunuskan, tiada perisai yang boleh menahan, tiada darah yang perlu dititiskan, hanya kesungguhan di dalam mencari keampunan sahaja yang mampu memadamkan dosa-dosa noda dan kemurkaan. Anggaplah bahawa ini adalah seperti Ramadhanmu yang terakhir.

Sabda Rasulullah SAW, “Bekerjalah seakan-akan kamu akan hidup selamanya, dan beribadahlah kamu seakan-akan kamu akan mati esok hari.

Andai ini adalah bulan Ramadhan terakhir bagi kita, tentunya inilah kesempatan terakhir kita untuk menjalani bulan suci ini dengan sebaik-baiknya. Inilah kalimah yang harus di ungkapkan oleh kita, agar ianya tidak menjadi sebuah penyesalan sekiranya kita tidak dapat bertemu dengan Ramadhan yang akan datang.

Disediakan oleh : Cawangan Komunikasi Korporat MADA