Bilangan pengunjung bagi Projek Agrotourism di Kawasan Muda pada tahun 2016, seramai 42,991 orang telah mengunjungi Projek Agrotourism MADA. Perincian pengunjung ke projek agrotourism MADA adalah seperti berikut :-


A. PROJEK PEMBANGUNAN ASAS TANI
Sepanjang tahun 2016, pelbagai program dan aktiviti peningkatan pengeluaran produkproduk asas tani telah dilaksanakan. Pelaksanaan ini adalah seiring dengan matlamat Dasar Agromakanan Negara. Pihak MADA meneruskan program pembangunan modal insan para peladang dimana ilmu pengetahuan dan kemahiran peladang ditingkatkan melalui penyertaan latihan yang dianjurkan MADA. Di antara projek-projek asas tani yang telah diberi keutamaan pada tahun 2016 terbahagi kepada dua sektor iaitu Produk Segar dan Produk Bukan Makanan.

PRODUK SEGAR
i. Projek Tanaman
Projek penanaman mempelam merupakan projek tanaman yang diberikan fokus utama di Kawasan Muda selepas tanaman padi memandangkan kebanyakan peladang menjalankan aktiviti tanaman mempelam. Peladang-peladang yang terlibat dalam projek kelompok mempelam ini adalah berperanan sebagai “out growers” kepada Ladang Mempelam MADA, Tobiar Pendang di mana hasil-hasil pengeluaran mereka turut dikumpulkan dan dijual kepada Ladang Mempelam Mada.

Projek Ladang Mempelam MADA merupakan projek penanaman mempelam secara komersial dengan keluasan 42 hektar. Sebagai sebuah ladang berskala komersial, ladang ini memainkan peranan yang penting di mana ianya menjadi sebuah Pusat Pemindahan Teknologi Tanaman Mempelam, Pusat Latihan Amali Tanaman Mempelam serta Pusat Pengumpulan, Penggredan dan Pemprosesan buah mempelam di Kawasan Muda.

Klon mempelam yang ditanam adalah dari jenis Chok Anan (MA224) dan bagi meningkatkan nilai produk, buah mempelam ini dijenamakan atas jenama Tobiar Gold sempena mengambil nama kawasan ladang penanamannya. Ladang ini juga telah berjaya memperolehi persijilan dan akreditasi Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).

ii. Projek Akuakultur
Bagi mempelbagai dan menjana pendapatan sampingan peladang, projek akuakultur khususnya ternakan ikan tilapia dalam sangkar merupakan salah satu daripada aktiviti yang dilaksanakan dengan menggunakan sumber air di terusan MADA. Selain daripada ternakan ikan tilapia di dalam sangkar, peladang turut menjalankan projek ternakan ikan tradisi dalam kolam tanah, jenis-jenis ikan yang diternak adalah ikan keli, puyu dan sepat. iii. Projek Ternakan Projek ternakan turut diberikan penumpuan memandangkan industri ternakan di Kawasan Muda masih berskala kecil namun berpotensi untuk dikembangkan bagi menyumbang kepada pengeluaran bekalan makanan negara. Selain dapat memupuk nilai-nilai usahawantani di kalangan masyarakat peladang dalam sektor ternakan, aktiviti ini telah menjana pendapatan sampingan mereka selain tanaman padi. Projek ternakan yang diusahakan oleh peladang-peladang merangkumi Projek Ternakan Kambing, Ternakan Lembu dan Ternakan Itik Penelur.

PRODUK BUKAN MAKANAN
i) Projek Jerami
Di dalam aktiviti penanaman padi, proses penuaian padi akan menghasilkan bahan buangan dari pokok padi khususnya jerami. Sejak dulu lagi aktiviti pembakaran jerami dilakukan untuk menghapuskan bahan buangan tersebut dan sebagai langkah untuk menghapuskan jangkitan penyakit, serangan perosak selain dapat menguatkan lagi struktur tanah. Namun begitu ianya mengundang masalah pencemaran alam sekitar di mana pembakaran jerami padi dilakukan secara terbuka boleh mengganggu kualiti udara serta penduduk sekitar.

Justeru itu, sehingga tahun 2016 pihak MADA telah membangunkan 7 buah projek pusat pengumpulan jerami padi yang beroperasi sepenuhnya di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) D-I, PPK B-II, PPK H-II, PPK A-III, PPK E-III, PPK B-IV dan PPK F-IV.

Sepanjang tahun 2016, pelaksanaan Projek Pembangunan Asas Tani di Kawasan Muda telah menjana pendapatan keseluruhan sebanyak RM6,182,243. Pendapatan ini menurun 35.9% daripada tahun sebelumnya. Faktor penurunan ini adalah disebabkan oleh fenomena el-nino. Perincian pencapaian bagi Projek Pembangunan Asas Tani adalah seperti berikut :-

Pages: 1 2 3 4 5