Program Kecergasan & Kecemerlangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, MOA Games 2019 telah melabuhkan tirainya dengan majlis penutupan serta penyampaian hadiah yang telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Yang Berbahagia Dato’ Seri Dr. Ismail Bakar bertempat di Stadium Azman Hashim, UTM Skudai, Johor.
Apa yang lebih membanggakan adalah pasukan MADA telah memperolehi kejayaan apabila pasukan Esport PES telah berjaya menempa sejarah menjadi Johan yang pertama dalam acara sukan baharu yang dipertandingankan pada MOA Games 2019. Acara bola sepak, perbarisan, ping pong, batu seremban dan congkak juga cukup membanggakan apabila berjaya menjadi naib johan dengan membawa pulang pingat perak sekali gus mengharumkan nama MADA. Tidak kurang hebatnya atlet-atlet wanita MADA seperti pasukan bola tampar wanita, futsal wanita dan larian kampus bagi kategori veteran wanita telah berjaya mendapat tempat ketiga dengan membawa pingat gangsa.
Sebanyak manapun kejayaan yang diperolehi namun ianya tidak dapat dibandingkan dengan persahabatan yang terjalin diantara pegawai sesama agensi kerana itulah erti sebenar matlamat dan tujuan MOA Games diadakan dan ianya adalah untuk menyemai benih persahabatan dan mengeratkan hubungan diantara pegawai sesama agensi dan kementerian. Namun apa yang lebih manis lagi adalah acara yang dipertandingkan sepanjang kejohanan berlangsung akan terus terpahat di ingatan.
Kontinjen MADA merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di atas kejayaan menjadi tuan rumah bagi edisi kali ini. Acara sukan dwi tahunan MOA Games akan kembali semula pada tahun 2021 dengan tanggungjawab yang telah diberikan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sebagai tuan rumah.