Hari ini telah menyaksikan lawatan kerja Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Mohammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah Darul Aman ke Seri Mahawangsa Boat House, Tasik Pedu Padang Terap. Seri Mahawangsa Boat House yang merupakan destinasi agropelancongan serta usahawan di bawah bimbingan MADA adalah berkonsepkan rumah bot yang dikelilingi hutan, flora dan fauna.

Perjalanan yang bermula dari Jeti Charok Batang Padi ini mengambil masa selama 10 minit untuk tiba ke destinasi boat house dan ianya telah dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Yang Berusaha Tuan Haji Kamarudin Dahuli, Pengurus Besar MADA. Turut sama hadir ke lawatan kerja ini iaitu Yang Berhormat Ahmad Tarmizi Sulaiman, Pengerusi MADA serta Yang Berbahagia Dato’ Sheikh Zakaria Othman, CEO Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Pada keesokan harinya, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Mohammad Sanusi bin Md Nor, Menteri Besar Kedah mengakhiri lawatan kerjanya di Empangan Pedu, Padang Terap bagi mendengar penerangan dan taklimat mengenai pembangunan empangan dan sumber air di Empangan Pedu.

Beliau juga berkesempatan meninjau struktur Empangan Pedu yang merupakan nadi penanaman padi bagi mengairi Kawasan Muda. Turut hadir sama adalah Yang Berhormat Ahmad Tarmizi Sulaiman, Pengerusi MADA, Yang Berhormat Tuan Azman Nasrudin, EXCO Pertanian dan Industri Makanan Negeri Kedah, Yang Berhormat Encik Muhammad Yusof @ Munir Zakaria, ADUN Kuala Nerang, Yang Berbahagia Dato’ Sheikh Zakaria Othman, CEO Lembaga Zakat Negeri Kedah serta Yang Berbahagia Tuan DSP Mulkiaman Manzan, Ketua Polis Padang Terap.

Pihak MADA sangat berbesar hati di atas kesudian Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah kerana sudi mengadakan lawatan kerja ke Empangan Pedu di permulaan awal tahun 2022.