Majlis Pelancaran Konvensyen Kebangsaaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC 2022) yang dirasmikan oleh YB Datuk Seri Haji Ahmad Bin Hamzah, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I bertempat di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA.

NAFEC 2022 merupakan anjuran bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda – MADA dan Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE) bertemakan “Teknologi Lestari Menjamin Sekuriti Agromakanan” akan membincangkan mengenai kejuruteraan lepas tuai dan makanan, mekanisasi dan automasi pertanian, IR 4.0 dalam pertanian, air, tanah dan sumber asli, pengurusan bahan buangan, persekitaran dan pengembangan pertanian.

Objektif NAFEC adalah untuk mengemaskini status dan keperluan masa hadapan bidang mekanisasi dan automasi bagi bidang kejuruteraan pertanian dan makanan serta menyediakan platform di kalangan ahli akademik, penyelidik, penggubal dasar dan ahli industri agromakanan negara untuk membincangkan penambahbaikan dasar bidang kejuruteraan pertanian dan makanan bagi meningkatkan kualiti penyelidikan kejuruteraan pertanian dan makanan.

NAFEC 2022 yang berlangsung selama 3 hari berturut-turut bermula 20 hingga 22 Mac 2022 di Ibu Pejabat MADA, Alor Setar akan disertai oleh 64 orang pembentang dan 156 peserta. Turut hadir YBhg Dato’ Haslina binti Abdul Hamid, Ketua Setiausaha MAFI, YB Ahmad Tarmizi bin Sulaiman, Pengerusi MADA dan Prof Ts. Dr. Rosnah Shamsudin, President Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE).