Yang Berbahagia Dato’ Dr. Ismail Salleh, Pengerusi MADA telah berkesempatan menyantuni dua (2) orang pelajar cemerlang penerima Anugerah Khas Pengerusi MADA bersempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Yayasan Pelajaran Pertubuhan Peladang MADA, sebagai manifestasi komitmen berterusan MADA dan Kerajaan dalam memperkasa pendidikan anak-anak peladang. Anugerah tersebut telah diberikan kepada Adik Dayana, pelajar lepasan STPM yang membuktikan kecemerlangan akademik melalui usaha dan ketekunan tinggi, seterusnya berjaya melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, Terengganu. Turut diraikan ialah Adik Aqilah Auni, pelajar cemerlang SPM yang kini meneruskan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampung Dato’ Razali Ismail, Terengganu, sebagai simbol kejayaan generasi muda peladang yang berdaya saing dan berpotensi besar.
Kejayaan kedua-dua pelajar ini bukan sahaja mencerminkan kesungguhan serta komitmen tinggi mereka dalam menuntut ilmu, malah menjadi bukti jelas bahawa sokongan pendidikan yang tersusun dan berterusan mampu melahirkan modal insan berkualiti daripada kalangan keluarga peladang. Seiring dengan aspirasi Kerajaan dalam memperkukuh agenda pembangunan modal insan, MADA sentiasa komited menyokong pembangunan pendidikan anak-anak peladang sebagai satu pelaburan strategik jangka panjang. Usaha ini diyakini mampu melahirkan generasi masa depan yang berilmu, berkemahiran, berdaya saing serta berupaya menyumbang secara signifikan kepada pembangunan masyarakat, sektor pertanian dan negara secara keseluruhan.
#madamabeles #MADANIBekerja #KPKMMalaysia #CukupDanTerjamin #RealisasiReformasi
BERITA LAIN