Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada hari ini telah melaksanakan Solat Sunat Istisqa’ bertempat di Mong Gajah, Empangan Pedu sebagai suatu ikhtiar rohani yang penuh tawaduk, memohon limpahan rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT dalam mendepani ujian ketiadaan hujan yang berpanjangan, khususnya di kawasan tadahan tiga (3) empangan di bawah seliaan MADA. Pelaksanaan solat sunat ini mencerminkan kesedaran mendalam bahawa dalam setiap cabaran yang melanda, termasuk ketidaktentuan cuaca dan tekanan terhadap sumber air, usaha fizikal dan perancangan strategik perlu disertai dengan kebergantungan yang sepenuhnya kepada Yang Maha Berkuasa. Sesungguhnya, doa dan munajat adalah kekuatan spiritual yang menjadi tunjang ketahanan ummah dalam menghadapi saat-saat getir.
Solat Sunat Istisqa’ ini telah diimamkan oleh Yang Berusaha Tuan Syeikh Mohd Naim Haji Ahmad, Imam Besar Masjid Zahir merangkap Pegawai di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dan turut disertai kira-kira 90 orang pegawai serta kakitangan MADA daripada pelbagai peringkat. Kehadiran pegawai-pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut sama hadir menzahirkan sokongan terhadap penganjuran ini memperlihatkan semangat kebersamaan dan solidariti antara agensi dan badan pertahanan keselamatan dalam mendukung usaha memelihara kesejahteraan rakyat serta kelangsungan sektor pertanian negara. Semoga ikhtiar yang dilaksanakan ini dikurniakan penerimaan oleh Allah SWT, seterusnya dianugerahkan hujan yang membawa rahmat, memulihkan paras empangan dan menjamin kelestarian pengeluaran padi demi keterjaminan makanan negara. Turut sama hadir ke majlis ini Yang Berusaha Tuan Ir. Nik Kun Nik Man, Timbalan Pengurus Besar (Teknikal), Pengarah-Pengarah Bahagian serta Pengurus-Pengurus Wilayah MADA.
#madamabeles #MADANIBekerja #KPKMMalaysia #CukupDanTerjamin #RealisasiReformasi
