Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada hari ini telah melaksanakan Majlis Solat Sunat Istisqa’ kali ke-2 bertempat di Mong Gajah, Empangan Pedu sebagai suatu ikhtiar rohani yang sarat dengan keinsafan dan penuh tawaduk, dalam memohon limpahan rahmat, keampunan serta keberkatan daripada Allah SWT bagi mendepani ujian ketiadaan hujan yang berpanjangan. Keadaan ini memberi kesan langsung kepada kawasan tadahan tiga (3) empangan utama di bawah seliaan MADA yang menjadi nadi kepada kelangsungan sektor penanaman padi dan keterjaminan makanan negara. Penganjuran majlis yang penuh signifikan ini adalah selaras dengan arahan Yang Berhormat Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), serta arahan pelaksanaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK). Inisiatif ini mencerminkan iltizam tinggi pihak kerajaan dalam mengangkat pendekatan yang menyeluruh dan seimbang, dalam menggabungkan keupayaan teknikal, strategi pengurusan sumber air yang mampan serta pengukuhan elemen ibadah sebagai asas ketaqwaan dalam menghadapi cabaran krisis air yang semakin meruncing.
Sesungguhnya, pelaksanaan solat sunat ini memperlihatkan kesedaran yang mendalam bahawa dalam setiap ujian yang mendatang, sama ada ketidaktentuan iklim mahupun tekanan terhadap sumber air, segala usaha fizikal dan perancangan strategik hendaklah disertai dengan kebergantungan mutlak kepada Yang Maha Berkuasa. Doa, munajat dan pengharapan yang tulus merupakan kekuatan rohani yang menjadi teras kepada ketahanan ummah dalam mengharungi saat-saat yang mencabar ini. Solat Sunat Istisqa’ ini telah diimamkan oleh Yang Berusaha Ustaz Umar Shamsuddin, Imam Masjid Zahir Alor Setar, dan telah disertai kira-kira 150 orang peserta yang terdiri daripada pegawai serta kakitangan MADA daripada pelbagai peringkat. Turut sama hadir ke majlis ialah Yang Berbahagia Dato’ Dr. Ismail Salleh, Pengerusi MADA; Yang Berusaha Encik Zulkifli Romli, Pengurus Besar MADA serta Yang Berusaha Tuan Ir. Nik Kun Nik Man, Timbalan Pengurus Besar (Teknikal).
Adalah menjadi harapan agar segala ikhtiar yang dilaksanakan ini diperkenankan oleh Allah SWT, seterusnya dianugerahkan hujan yang membawa rahmat dan keberkatan, memulihkan paras air di empangan ke tahap optimum serta menjamin kelestarian pengeluaran padi. Semoga usaha murni ini terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Malaysia yang berterusan.
#madamabeles #MADANIBekerja #KPKMMalaysia #CukupDanTerjamin #RealisasiReformasi
