Hari ini sekali lagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) amat berbangga menyaksikan kejayaan 750 graduan dalam Majlis Konvokesyen TVET Pertanian Kali Ke-14 Tahun 2026 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Sewaktu menyampaikan ucapan perasmian majlis. Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut menyatakan bahawa KPKM akan sentiasa komited dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang mampu menjadi pemangkin kepada transformasi sektor agromakanan negara. Buktinya, kesemua graduan ini telah ditempa melalui 10 bidang persijilan kemahiran kritikal serta 3 persijilan utama jabatan iaitu Sijil Pertanian, Sijil Veterinar dan Sijil Perikanan di 16 institut latihan TVET Pertanian di seluruh negara. Daripada penguasaan teknologi tanaman, penternakan moden, akuakultur berdaya saing sehinggalah kepada penyelenggaraan jentera pintar, mereka merupakan generasi teknokrat muda yang bakal menerajui revolusi baharu sektor agromakanan negara berteraskan teknologi, inovasi dan kelestarian.
Lebih membanggakan, seramai 10 orang pelajar daripada MADA Rice Training Center (MRTC) turut berada dalam kalangan graduan yang diraikan pada hari penuh bersejarah ini. Kejayaan mereka bukan sekadar satu pencapaian peribadi, malah menjadi lambang kesungguhan generasi muda untuk menyahut agenda negara dalam memperkukuh keterjaminan makanan dan memastikan sektor pertanian terus menjadi bidang yang berprestij, moden serta mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Yang Berusaha Encik Zulkifli Romli, Pengurus Besar MADA turut menyatakan bahawa dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang telah diperoleh, para graduan MADA akan tampil sebagai pemimpin baharu dalam industri agromakanan, serta menjadi usahawan berjaya, tenaga mahir profesional serta pencetus inovasi yang mampu mengangkat martabat sektor pertanian ke tahap yang lebih tinggi. Tambah beliau lagi, para graduan MRTC seharusnya menjadikan kejayaan hari ini sebagai titik permulaan kepada sebuah perjalanan yang lebih besar. Teruskan melangkah dengan semangat, keberanian dan iltizam yang tinggi kerana masa depan keterjaminan makanan negara kini turut berada di tangan generasi muda.
#madamabeles #MADANIBekerja #KPKMMalaysia #CukupDanTerjamin #MAHA2026 #RoadToMAHA2026 #RealisasiReformasi
