[Back]

Hujan lebat sejak akhir-akhir ini di Hutan Kampung membolehkan petani melakukan teknik tanaman tabur terus basah yang diamalkan seperti sebelum ini.

ALOR SETAR – Hujan lebat sejak akhir-akhir ini di sekitar Hutan Kampung memberi rahmat kepada petani di situ kerana dapat melakukan teknik tanaman tabur terus basah seperti yang diamalkan sebelum ini.

Sebelum ini, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) mengarahkan semua petani mengamalkan teknik tanaman tabur terus kering kerana masalah bekalan air yang dihadapi sejak tahun lalu.

Abd Razak Bahari, 60, berkata, arahan itu sudah pun dituruti petani di situ selepas sawah mereka dibajak dan terus melakukan teknik yang dihendaki oleh pihak berkenaan.

“Memang teknik tabur terus kering menimbulkan masalah kerana selepas melakukannya, jarak benih padi yang tumbuh sangat mengecewakan terlalu jauh di antara satu sama lain. Ini menyebabkan ramai di kalangan petani mengambil keputusan terpaksa menaburnya sekali lagi.

“Bagaimanapun hujan lebat sejak akhir ini menyebabkan sawah mereka mula dipenuhi dengan air. Ini merupakan petanda baik kepada petani supaya dapat menukar kembali teknik tanaman seperti dahulu,” katanya.

Menurutnya, teknik tanaman tabur terus kering memberi risiko kepada petani kerana semasa menabur benih padi itu belum lagi keluar tunasnya.

“Ini menyebabkan banyak dari benih padi itu tidak tumbuh dan petani terpaksa membelinya semula.

“Berbanding dengan benih teknik tabur terus basah, benih disemai dahulu beberapa hari. Apabila petani menaburnya sudah pasti benih padi itu akan tumbuh dan ini tidak memberi risiko tinggi kepada petani,” katanya.

Nazri Jalani, 56, pula berkata, petani di situ sangat bersyukur kerana tidak perlu lagi mengharapkan air dari Mada.

Katanya, pada awalnya dia turut melakukan teknik tanaman seperti disyorkan  oleh Mada tetapi beberapa hari kemudian semua benihnya rosak ditenggelami air hujan.

“Mungkin tahun ini musim kemaraunya agak singkat. Bagaimanapun hujan lebat itu membolehkan kami melakukan teknik seperti sebelum ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/hujan-lebat-bawa-rahmat-1.659444
© Sinar Harian