[Back]
  • OTHMAN (kiri) dan Fouzi (dua dari kiri) menujukkan padi yang dihasilkan oleh MADA.

    OTHMAN (kiri) dan Fouzi (dua dari kiri) menujukkan padi yang dihasilkan oleh MADA.

  • GOLONGAN wanita mengambil bahagian mengukur kelapa

    GOLONGAN wanita mengambil bahagian mengukur kelapa

  • PEMERIKSAAN kesihatan percuma

    PEMERIKSAAN kesihatan percuma

  • AKTIVITI membajak bendang

    AKTIVITI membajak bendang

  • PERTANDINGAN menangkap itik

    PERTANDINGAN menangkap itik

Lebih 2,000 pengunjung membanjiri pekarangan Masjid Kampung Pulau Tengah, Mukim Padang Kerbau, Pendang, Kedah sempena Program Jom Turun Bendang 2016, baru-baru ini.

Program anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengadakan pelbagai aktiviti berunsurkan kemasyarakatan dan permuafakatan.

Ia termasuk sukaneka rakyat, ceramah agama, demonstrasi teknologi bagi putaran kering dan basah, sukan kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan secara percuma, servis peralatan pertanian secara percuma dan banyak lagi.

Selain itu, pameran dari jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) turut diadakan dalam memeriahkan program berkenaan.

Pengunjung khususnya golongan petani turut mendapat maklumat dan nasihat berkenaan industri pertanian negara terutama tanaman padi.

Pengerusi MADA Datuk Othman Aziz berkata, tujuan Program Jom Turun Bendang diadakan untuk memberi peringatan dan makluman kepada peladang di dalam Kawasan Muda bahawa mereka boleh memulakan aktiviti penanaman padi bagi Musim 1/2016.

Beliau berkata, program itu juga dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan peladang betapa pentingnya mematuhi Jadual Penanaman Padi dan Jadual Bekalan Air.

“Saya menyeru kepada peladang di Kawasan Muda supaya mematuhi jadual yang ditetapkan supaya penggunaan air dapat dioptimumkan dan untuk mengelakkan pembaziran air.

“Peladang juga hendaklah sepakat dan berbincang untuk menjalankan aktiviti di bendang seperti membajak dan menabur bagi mengelak adanya segelintir peladang yang gagal mematuhi jadual.

“Ia bagi mengelak ada peladang yang menjalankan aktiviti bendang selepas tamatnya jadual bekalan air,” katanya selepas merasmikan program berkenaan.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Datuk Paduka Md Rozai Shafian, Ahli Parlimen Pendang Datuk Othman Abdul, Pengurus Besar MADA Fouzi Ali dan Timbalan Pengurus Besar MADA Datuk Hor Tek Lip.

Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1 berkata, Kampung Pulau Tengah dipilih sebagai lokasi bagi Program Jom Turun Bendang kerana ia antara kawasan MADA Baru.

“Ia juga antara kawasan pinggir MADA apabila sistem pengairan dan pengembangan kawasan ini bakal diselia sepenuhnya pihak MADA dengan keluasan kawasan pertanian seluas 720 hektar membabitkan 570 petani.

“Misi dan matlamat MADA dalam mencapai sasaran hasil padi tujuh tan per hektar antaranya mentransformasikan industri padi ke tahap moden, cekap, mapan dan kreatif.

“Membantu dalam meningkatkan hasil pengeluaran padi, memperkemaskan program pengembangan pertanian dan pemindahan teknologi baru,” katanya.

Menurutnya, MADA juga melaksanakan aktiviti tanaman padi di Kawasan Muda selain merancang serta melaksanakan program peningkatan hasil padi 10 tan sehektar menjelang tahun 2020.

Artikel Penuh: http://www.hmetro.com.my/node/195843
© Harian Metro @ myMetro