Berlakunya Banjir Kilat Di Sekitar Bandaraya Alor Setar

ALOR SETAR – Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan sekitar bandaraya pada Jumaat, adalah berpunca daripada turunan hujan yang lebat dalam tempoh singkat, mengakibatkan beberapa tempat di kawasan perbandaran tidak dapat menampung jumlah air untuk dialirkan keluar.

Dalam suatu kenyataan dikeluarkan Pejabat Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), memaklumkan, keadaan itu kemungkinan bertambah buruk akibat daripada keadaan saliran setempat yang tidak berfungsi pada tahap optimum.

“Berdasarkan rekod dan data, pihak Mada menolak andaian punca banjir kilat di Alor Setar yang berlaku itu disebabkan penutupan Tandop Ampang Jajar, Sungai Kedah. Mada turut simpati kepada mangsa banjir kilat dan berharap bencana ini dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, data cerapan daripada stesen-stesen berhampiran kawasan Kota Setar mendapati jumlah turunan hujan pada Jumaat adalah tinggi.

“Data menunjukkan turunan hujan adalah tinggi daripada kebiasaan, iaitu dalam julat 54 milimeter (mm) hingga 132 mm, dalam tempoh antara 9.00 hingga 11.00 malam. Jumlah turunan hujan kawasan sawah di kawasan Muda adalah sebanyak 190 mm bagi April manakala 160 mm (Mac),” katanya.

“Ini menunjukkan turunan hujan pada tempoh kejadian banjir kilat adalah luar biasa.

“Pada petang Jumaat, paras air di Ampang Jajar, Sungai Kedah telah direndahkan ke paras 3.2 kaki selepas kegunaan Temasya Sukan Sungai 2017 (4.2 kaki) sebagai persediaan menampung turunan yang dijangka berlaku pada sebelah malam, dengan satu pintu dibuka (lock gate) untuk aliran air keluar ke laut,” katanya.

Menurutnya, paras air di Tandop Ampang Jajar,  dicatatkan setiap jam dan dikawal 24jam sehari setiap hari oleh operator tandop Mada, bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku keadaan luar jangkaan.

– SinarHarian