d
c

Bismillahirrahmanirrahim,Assalamualaikum W.B.T & Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, saya panjatkan rasa syukur kehadrat Ilahi di atas segala limpah kurnia dan rahmatNya yang tidak pernah putus sehingga ke hari ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhamad SAW, ahli keluarga dan para sahabat Baginda sekalian.

Terlebih dahulu saya mewakili seluruh warga kerja Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ingin mengucapkan terima kasih kerana sudi melayari laman sesawang rasmi agensi ini.

Saya mengambil ruang dan peluang untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja MADA di atas komitmen, keazaman dan kerja keras berpasukan yang ditunjukkan dalam melaksana segala tugas yang telah diamanahkan sepanjang tahun 2019.

Kedatangan tahun 2020 sudah tentunya akan memberi cabaran baharu kepada seluruh warga kerja MADA. Oleh itu, saya menyeru kepada seluruh warga kerja MADA untuk terus mengamalkan budaya kerja yang berprestasi tinggi dalam melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dan mengamal serta membudayakan amalan kerja yang cemerlang dan berintegriti tinggi agar agenda utama MADA pada tahun 2020 dapat dilaksanakan dengan jayanya selaras dengan aspirasi kerajaan.

Pelaksanaan agenda MADA bagi tahun 2020 akan dirancang dengan strategi yang lebih kreatif dan inovatif bagi mencapai misi dan visi agensi ini. Ianya sangat penting agar segala tindakan yang dilalukan akan lebih sistematik, teratur dan membentuk halatuju yang jelas dan seterusnya memberi faedah kepada masyarakat terutamanya peladang-peladang di Kawasan Muda. Pelaksanaan agenda 2020 yang berjaya perlu diteruskan serta ditambah baik manakala kelemahan yang dikenalpasti perlu diperbaiki dan kegagalan dijadikan teladan sebagai panduan pada masa hadapan.

Saya berkeyakinan bahawa warga kerja MADA dapat menerima cabaran ini dan sentiasa bersiap siaga bagi sama-sama menumpukan segala usaha, tenaga dan fikiran bagi melaksanakannya dengan cara terbaik. Laksanakanlah tanggungjawab dengan penuh amanah dan mudah-mudahan suatu hari nanti segala amalan mulia yang kita lakukan akan menjadi bekal ketika bertemu dengan Allah Azza Wa Jalla.

YBhg. Dato’ Fouzi Bin Ali,
Pengurus Besar
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA)