Hari Peladang, Perternak & Nelayan Peringkat Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2019 yang bermula dari 24 Julai sehingga 28 Julai 2019 bertempat di Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti, Alor Setar Kedah telah menyajikan pelbagai aktiviti-aktiviti dan program-program menarik menanti para pengunjung.

Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2019 Peringkat Negeri Kedah Darul Aman ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Hj Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah bertempat di Taman Jubli Emas, Alor Setar Kedah.

Dalam pada itu, bagi kategori pertandingan sempena HPPNK 2019 berjaya dianugerahkan kepada En. Jaafar Bin Zakaria, PPK C-III Kerpan sebagai Peladang Jaya Lelaki manakala Puan Fauziah Jasni, PPK E-III Kobah sebagai PeladangNita Jaya. Unit Peladang Titi Gajah, PPK A-III Hutan Kampung turut menerima Anugerah Unit Peladang Jaya begitu juga Anugerah Pertubuhan Peladang Jaya yang dianugerahkan kepada PPK H-II Kepala Batas.

DYTM Tuanku Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin telah berkenan berangkat mencemar duli mengadakan lawatan ke Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di Taman Jubli Emas, Alor Setar bersama anakanda YTM Tunku Sulaiman Badlishah.

Semasa keberangkatan tersebut, baginda juga berkenan melawat pameran di booth MADA. Keberangkatan baginda yang diiringi oleh Exco Pertanian Negeri Kedah, YB Azman Nasruddin ke booth MADA disambut oleh Pengarah Bahagian Industri Padi MADA, Tuan Haji Kamaruddin Dahuli.

Lebih daripada 100 booth dengan pelbagai pameran, jualan dan aktiviti telah menanti para pengunjung, dan Program MADA Day yang dianjurkan oleh MADA akan turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran Ikon Usahawan HPPNK iaitu Puan Rozita Che Wan @ Che Ta dan Shukri Abdul Rahman.

Antara sukan bendang yang dipertandingkan adalah acara tangkap itik, pukul bantal, tarik tali dan bola sepak. Tujuan acara sukan bendang ini adalah untuk sama-sama membolehkan peserta dan penonton merasai serta menghayati aktiviti bendang yang selalu dilakukan oleh petani.

Sesi penyampaian hadiah telah diadakan pada waktu petang oleh Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Tuan Syed Zainuddin Bin Syed Zain kepada pemenang-pemenang acara sukan bendang yang dianjurkan oleh MADA sempena MADA DAY di Hari Peladang, Penternak & Nelayan 2019.

MADA juga memberi peluang kepada usahawan-usahawan dibawah bimbingan Industri Asas Tani untuk mempromosikan dan memperkenalkan produk-produk mereka di pasaran tempatan. Program yang dianjurkan ini ternyata memberi manfaat kepada golongan usahawan, peladang, penternak dan nelayan untuk menjana pendapatan mereka.