d
c

Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Perlis 2019 telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan Man, Menteri Besar Perlis bertempat di Stadium Tuanku Syed Putra, Perlis. Program yang diadakan selama 4 hari bermula dari 29 Ogos sehingga 1 September 2019 itu turut disertai oleh Jabatan-Jabatan & Agensi Kementerian dan Negeri Perlis. Turut serta penyertaan dari pihak swasta serta usahawan-usahawan bimbingan dari dalam dan luar.

Majlis Perasmian Hari Peladang diakhiri dengan penyerahan anugerah bagi kategori pertandingan sempena HPPNP 2019, iaitu penganugerahan kepada Encik Rosli Suhaimi Bin Noordin dari Pertubuhan Peladang Kawasan E-I, Simpang Empat sebagai penerima anugerah Peladang Jaya manakala dari Unit Simpang Sanglang telah menerima Anugerah Unit Peladang Jaya. Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Azlan Man, Menteri Besar Perlis sempat meluangkan masa melawat ke booth pameran MADA dimana beliau diberikan penerangan oleh Pengurus Besar Wilayah I Perlis, Encik Zairizal Zainon berkaitan halatuju industri padi yang bakal diberikan nafas baru oleh pihak kementerian serta MADA.

Turut sama mengiringi Menteri Besar adalah Pengarah Bahagian Pengurusan Wilayah, Encik Dzulkifli Yaakob serta Timbalan Pengurus Besar Wilayah I (Pertanian) Encik Shahrulnazri Awang.

Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan setiap tahun adalah satu pengiktirafan dan penghormatan kepada warga peladang, penternak dan nelayan di seluruh negara. Ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap usaha dan jerih payah mereka yang berusaha mengeluarkan bahan makanan dan memajukan sektor pertanian negara kita.