Program Jerayawara Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani ini telah berlangsung khas di Ibu Pejabat MADA dengan kerjasama dari AKRAB MADA. Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan MADA, Yang Berbahagia Encik Zulkifli Bin Romli dengan penyertaan seramai 64 orang yang terdiri dari Rakan Pembimbing AKRAB MADA bersama – sama Pembantu Tadbir Kanan (Gred N26).

Program ini diadakan bertujuan untuk memberi panduan khas kepada Fasilitator AKRAB MADA di dalam melaksanakan sesi bimbingan serta memberi keyakinan dan kekuatan kepada peserta dalam melaksanakan bimbingan kelompok berasaskan pengalaman dan pembelajaran Pra AKRAB.

Bimbingan berkelompok ini dipecahkan kepada 4 kumpulan dengan membincangankan isu bertemakan “Perkongsian Pengalaman Dalam Kehidupan”, dimana peserta boleh berkongsi serta meluahkan perasaan dan masalah yang terpendam disebabkan oleh tekanan berterusan kehidupan di pejabat mahupun di rumah.

Puan Siti Mastura, Pegawai Psikologi MOA berkata, “Sifat suka memendam perasaan dan tiada masa berkongsi masalah dengan keluarga mahupun rakan menjadi antara faktor wanita lebih cenderung menghidap masalah mental berbanding lelaki. Dengan adanya program sebegini, ianya dapat mendorong mereka (kakitangan kerajaan) untuk meluahkan masalah dan mengurangkan tekanan yang dihadapi”.

Katanya lagi, “perkara ini dilihat sebagai faktor menyebabkan wanita lebih berisiko untuk menghidap masalah mental berbanding lelaki. Tanda-tanda penghidap adalah suka menyendiri, tidak mahu bercakap dan termenung”.

Manakala seorang lagi Pegawai Psikologi MOA, Encik Nordin juga menjelaskan bahawa, kesihatan mental bermaksud kebolehan mengekalkan hubungan harmoni dengan orang lain, kebolehan mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebolehan menyumbang kepada masyarakat.

Bagi memastikan kakitangan MADA sihat mental, Agensi ini melalui AKRAB MADA akan sentiasa memperbanyakkan program – program bersifat keagamaan dan kaunseling kerohanian bagi mendidik jiwa dan pemikiran supaya dapat menjadi modal insan yang kuat serta tabah menghadapi ujian duniawi.