Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ehsan Ribut Lekima Bulan Ogos 2019 telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Hj Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah merangkap Pengerusi MADA dan YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bertempat di Pekarangan PPK MADA A-II, Kodiang.

Satu ribut yang dinamakan Taufan Lekima telah berlaku di Kawasan Muda pada 9 dan 10 Ogos 2019. Taufan tersebut telah menyebabkan kerosakan dan kemusnahan kepada tanaman padi.

Luas kawasan yang terjejas dengan Taufan Lekima di Kawasan Muda adalah sebanyak 1,868.496 hektar melibatkan Wilayah I, II, III dan IV. Bendang-bendang tersebut telah musnah dan tidak dapat dituai.

Kawasan paling terjejas akibat taufan tersebut ialah kawasan Wilayah II, Jitra melibatkan seramai 1,001 orang meliputi kawasan seluas 891.391 hektar.

Bagi meringankan beban peladang-peladang yang terlibat, kerajaan telah membuat penilaian dan memutuskan untuk memberi bantuan kepada 2,152 peladang melibatkan sejumlah RM3,363,291.90.

Setiap peladang yang mengalami kerosakan tanaman padi akan diberikan bantuan berdasarkan luas kerosakan pada kadar RM1,800 per hektar.