Tanggal 30 Jun 2020 telah menyaksikan satu acara Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun Ke-50 Penubuhan MADA yang diadakan di Perkarangan Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, Alor Setar. Majlis yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Ahmad Tarmizi Bin Sulaiman, Pengurus Besar MADA ini telah dihadiri seramai 200 orang yang terdiri dari Ahli Lembaga Pengarah Baharu, kakitangan Ibu Pejabat MADA, kakitangan Wilayah, kakitangan PPK dan kepimpinan-kepimpinan peladang MADA.

Majlis dimulakan dengan acara nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Kedah serta bacaan Ikrar Perkhidmatan Awam yang disampaikan oleh saudara Akmal Nizam Bin Abdullah, Pegawai Ehwal Ekonomi. Majlis diteruskan dengan ucapan Pengurus Besar MADA dan ucapan oleh Yang Berhormat Pengerusi MADA.

Kata Pengerusi MADA, “Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) boleh dibanggakan sejak ditubuhkan pada 30 Jun 1970. Pada tahun ini, genaplah usianya 50 tahun, sambutan Jubli Emas pastinya dinantikan kerana MADA adalah sebahagian daripada sejarah penting industri padi negara”.

Tambah beliau lagi, “Kawasan Muda merupakan jelapang padi terbesar di Malaysia merangkumi kawasan seluas 130,282 hektar di mana 100,685 hektar merupakan kawasan penanaman padi yang terletak di negeri Kedah dan Perlis. Ia merupakan projek pertanian terbesar bawah Rancangan Malaysia Pertama (RMK1) dimulakan oleh Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Ketika itu, kerajaan mahu mengubah sistem penanaman padi kepada dua kali setahun dan menggabungkan fungsi dua agensi iaitu Jabatan Parit dan Tali Air (JPT) dan Jabatan Pertanian yang dipusatkan sebelum MADA diwujudkan”.

Matlamat menubuhkan MADA yang dirasmikan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien adalah untuk memajukan kesejahteraan hidup penduduk desa yang sebahagian besar ketika itu hidup di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan purata sekitar RM2,000 setahun. Matlamat seterusnya adalah untuk menghasilkan keperluan makanan negara dengan menyasarkan Dataran Muda sebagai tempat tersedia dengan sawah padi sebagai industri tradisi.

MADA dan petani ibarat saudara kembar, menyuap nasi kepada rakyat Malaysia. Sudah pasti saya hargai jerih perih petani kerana saya juga berasal dari keluarga petani. Walaupun golongan ini tidak sekaya ahli perniagaan namun mereka adalah nadi penggerak utama negara.

Tanpa petani siapalah kita, yang menyumbang penghasilan makanan negara. Selama 50 tahun MADA berdepan pelbagai cabaran sehingga berjaya bangunkan agensi ini dengan sistem pertanian terbaik dalam negara. Terima kasih warga MADA yang beri komitmen memperjuangkan nasib pak tani.

Majlis sambutan ini diakhiri dengan penyerahan hadiah pertandingan sudut pameran 50 tahun serta gimik pelancaran yang disempurnakan oleh YB Pengerusi MADA serta Pengurus Besar MADA.