d
c

[Back]

Majlis Perhimpunan Bersama YB Menteri (18 Julai 2010)


Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama YB Menteri Bertempat di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA Ampang Jajar, Alor Setar, Kedah

Tarikh: 18 Julai 2010, 12.00 Tengahari

Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah diadakan pada 18 Julai 2010, di Dewan Syed Nahar, Ibu Pejabat MADA. Inilah julung-julung kali perhimpunan bulanan peringkat kementerian diadakan di kawasan utara. Semua Ketua-Ketua Pengarah, Pegawai-Pegawai Kanan, Pengarah jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Negeri Kedah hadir di majlis tersebut.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, YB Datuk Seri Noh Omar dalam ucapannya di majlis tersebut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada MADA, Jabatan dan agensi di bawah kementerian ini yang telah berjaya memberi komitmen penuh dalam menjayakan dasar-dasar kerajaan dan kementerian. Beliau berharap usaha ini berterusan selaras dengan 4 tunggak utama yang menjadi hala tuju kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri YAB Dato Mohd. Najib Tun Hj. Abdul Razak.

4 tonggak utama yang dimaksudkan tersebut ialah pendekatan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Program Tranformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi dan Perlaksanaan Rancangan Malaysia Ke 10 (RMK 10).

Beliau menekankan betapa pentingnya semua warga kementerian memberi perhatian kepada pendekatan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Justeru itu pegawai kerajaan perlu mengambil berat masalah rakyat dari akar umbi, responsif terhadap aspirasi dan perihatin terhadap denyut nadi rakyat. Jabatan dan agensi diminta melaksanakan Program Tranformasi Kerajaan dengan pantas, tepat dan berkesan.

Menyentuh tunggak Model Baru Ekonomi dan Pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke 10 (RMK 10), beliau meletakkan pelaksanaan tersebut sebagai satu cabaran kepada pegawai supaya bekerjasama dengan lebih erat, melakukan pendekatan berhemah dengan rakyat serta peka terhadap masalah kumpulan sasar. Beliau menyerankan supaya satu sistem penyampaian maklumat yang cekap dan berkesan dalam menggerakkan pertumbuhan ekonomi sektor pertanian iaitu dengan menggunakan kaedah seperti bioteknologi, nanoteknologi, teknologi hijau dan lain-lain yang berkejuruteraan tinggi

Beliau meminta seluruh warga kementerian mengambil pendekatan secara peribadi dalam usaha menyalurkan bantuan, subsidi dan insentif kepada masyarakat tani, selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan penghasilan produk pertanian negara dan mengurangkan kadar kemiskinan golongan sasar.

Dalam sidang akhbarnya YB Datuk Seri Noh Omar meminta orang ramai supaya tidak terkeliru dengan daging yang diimport dari India sebagai daging lembu kerana ia sebenarnya adalah daging kerbau. Beliau berkata daging tersebut yang dilabelkan sebagai “Indian beef” atau lebih dikenali di Malaysia sebagai “daging kotak” dijual dengan harga yang lebih murah berbanding daging lembu tempatan menyebabkan ia menjadi pilihan ramai pengguna.

Menurut beliau Malaysia mengimport kira-kira 80,000 metrik tan daging dari India setiap tahun. Permit import (AP) bagi mengimport daging dan ayam terutama bagi musim perayaan akan dihadkan kepada tiga bulan sahaja dan selepas itu perlu diperbaharui.

Majlis berakhir pada jam 2.00 petang dengan penuh kemesraan dan keazaman tinggi untuk berusaha meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan jabatan dan agensi masing-masing.

Fisal b. Abd Aziz