d
c

[Back]

MADA Sasar Jadi Agensi Lengkap Lonjak Industri Padi (15 Julai 2010)


MADA Sasar Jadi Agensi Lengkap Lonjak Industri Padi

ALOR SETAR 15 Julai – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyasarkan menjadi sebuah agensi pertanian yang serba lengkap dalam tempoh 10 tahun akan datang selepas berjaya melonjakkan industri padi negara dan kehidupan para pesawah pada tahap membanggakan sepanjang 40 tahun penubuhannya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Padi, Datuk Mohd. Johari Baharom berkata, lembaga berkenaan bakal berubah menjadi rangkaian nilai industri padi negara yang mempunyai segala keperluan termasuk menghasilkan benih, menggunakan teknologi tinggi dan memiliki kilang baja serta beras menjelang 2020.

Katanya, sasaran itu adalah selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi seperti yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Usaha ini adalah untuk memodenkan MADA yang merayakan 40 tahun penubuhannya pada tahun ini. Ia bakal melalui fasa lonjakan kedua dengan berdiri di atas kaki sendiri selain terus menjadi penyumbang terbesar kepada pengeluaran beras negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Hari Kualiti, Inovasi dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlangan MADA 2010 di ibu pejabat lembaga itu di Ampang Jajar di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi MADA, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengurus Besar lembaga itu, Datuk Rahim Salleh.

Mohd. Johari berkata, sejak ditubuhkan pada 30 Jun 1970, MADA telah melalui fasa perubahan yang memberangsangkan apabila berlaku peningkatan daripada pelbagai aspek seperti keahlian, modal saham, harta, isi padu perniagaan, penggunaan teknologi pertanian dan pendapatan pesawah.

Sebagai contoh, katanya, pada awal penubuhannya dianggarkan sebanyak 72 peratus pesertanya berada di bawah paras kemiskinan tetapi selepas 40 tahun beroperasi dengan pelbagai program yang bermatlamat kepada aspek komoditi dan kemanusiaan, kadar kemiskinan dapat dikurangkan kepada satu peratus.

Begitu juga, kata beliau, kejayaan MADA meningkatkan hasil pengeluaran padi di dalam kawasannya dari 3.2 tan per hektar kepada 6.17 tan per hektar pada masa ini.

Menurutnya, lembaga berkenaan akan meneruskan program-program utama untuk sektor padi tetapi bakal menambah nilai kepada aspek lain termasuk pembangunan modal insan, peningkatan pengeluaran dan pemodenan pemprosesan produk serta pemasaran.