Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menggalakkan petani di kawasannya mengusahakan tanaman kelapa daripada varieti bermutu tinggi seperti Matag dan Careca bagi meningkatkan pendapatan mereka selain mengusahakan tanaman padi.
Pengerusinya, Dato’ Wira Othman Aziz berkata, MADA akan bekerjasama dengan Jabatan Pertanian bagi mendapatkan bekalan benih kelapa varieti berkenaan bagi diagihkan kepada petani yang berminat mengusahakan tanaman ini.
“Sasaran MADA adalah untuk memastikan petani mampu meraih pendapatan tambahan selain daripada menanam padi sahaja” – kata Dato Wira Othman Aziz, Timbalan Menteri Kewangan 1 Merangkap Pengerusi MADA selepas menghadiri program Transformasi Nasional 2050 anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada 18 November 2017.
Program tersebut disertai kira-kira 200 petani muda dari seluruh negeri Kedah dan Perlis. Menyentuh tentang program itu, jelas beliau, ia merupakan salah satu program bagi mendapatkan aspirasi daripada petani terutama kalangan jenerasi muda dalam membentuk dasar TN50.
“Sehingga kini lebih 50 aspirasi dikumpul daripada program berkenaan,” katanya.