Pada tanggal 27 Mac 1982 bersamaan 2 Jamadil Akhir, telah berlangsungnya perletakan batu asas Kompleks Ibu Pejabat MADA
yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Mahathir B. Mohammad.
Perletakan batu asas ini telah menjadi lambang pengorbanan dan sumbangan para petani negeri Kedah Darulaman kepada
keperluan beras negara. Ianya juga menjadi lambang kemegahan hasil usaha gigih serta kerjasama erat antara masyarakat
tani dengan seluruh petugas MADA bagi menjayakan tanaman dua kali setahun sejak lebih 46 tahun yang lalu.
Lambang ini telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah MADA pada 17 Ogos 1972. Biru ialah
warna air (pengairan). Bukit-bukit dan empangan menunjukkan sumbernya. Kebiruan itu
melambangkan permulaan kegiatan pembangunan. Kuning ialah warna padi masak. Kekuningan
itu melambangkan matlamat akhir pembangunan. Cantuman kedua-dua warna biru dan kuning
melambangkan percantuman Bahagian Taliair dan Bahagian Pertanian menjadi sebuah Lembaga
untuk mencapai matlamat pembangunan sosial dan ekonomi di dalam Kawasan Muda. Jentera
menunjukkan usaha petani yang perlu dimodenkan untuk mencapai matlamat tersebut.
Lingkaran buah padi di kiri kanan perkataan MADA melambangkan tanggungjawab utama
Lembaga dalam pembangunan pertanian bagi mencapai pengeluaran makanan yang bertambah
untuk keperluan Negara.
Tun Hj. Abdul Razak Husin selaku Pemangku Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengarah Gerakan
di dalam satu upacara di Bangunan Balai Besar, Alor Setar Kedah.
Turut hadir menyaksikan perasmian ini antara lainnya adalah
Y.A.B Dato’ Syed Ahmad Syahabuddin Al-Haj (Menteri Besar Kedah),
Y.A.B Datuk Syeikh Ahmad B. Hashim (Menteri Besar Perlis),
Y.B. Encik Ghazali B. Hj Rawi (Menteri Pertanian dan Syarikat Kerjasama)
serta Y.B. Tan Sri Abdul Kadir B. Yusoff (Peguam Negara).
Penubuhan MADA telah diluluskan oleh Parlimen di bawah Akta 70,
Akta Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, tahun 1972.
Mengikut Seksyen 4(1) Akta 70, Lembaga diberi kuasa :-
i. Memaju, menggalak, membantu dan mengusahakan pembangunan ekonomi dan sosial dalam Kawasan Muda.
ii. Merancang dan mengusahakan dalam Kawasan Muda apa-apa kemajuan pertanian mengikut sebagaimana
yang telah diperuntukan padanya oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi negeri Kedah dan negeri Perlis.
Dalam ucapan pembukaan mesyuarat sulung Lembaga Pengarah di Telok Chengai, Alor Setar pada 8 Julai 1970,
Yang Berhormat Tuan Syed Nahar Shahabuddin sebagai Pengerusi MADA yang pertama menyatakan harapan dengan
tertubuhnya MADA, dapatlah diadakan satu pasukan yang terdiri daripada pakar-pakar yang bukan sahaja akan
menggunakan pengetahuan-pengetahuan pakar mereka, bahkan juga pengetahuan tempatan agar dapat diarahkan
satu dasar yang
flexible untuk menjayakan Rancangan Pengairan Muda.
MADA ditubuhkan untuk mengendali dan menyenggara Rancangan Pengairan Muda, iaitu sebuah projek
pembangunan luar bandar yang terbesar dilancarkan di bawah Rancangan Malaysia Pertama dengan
kos sebanyak RM238 juta. MADA juga diberi tanggungjawab merancang dan melaksana program-program
pembangunan pertanian dan program-program peningkatan taraf hidup untuk 63,000 keluarga peladang
di dalam Kawasan Muda.
Memetik ucapan perasmian oleh Allahyarham Tun Abdul Razak katanya, “Oleh sebab kawasan Rancangan
Pengairan Muda ini luas maka mustahak ianya dijagai dan ditadbir dengan sempurna dan kehendak
peladang-peladang di dengari. Saya dapati pekerjaan ini, tidak akan dapat dijalankan dengan licin
jikalau pentadbiran kawasan ini dikelolakan di Kuala Lumpur melalui Kementerian Pertanian dan Syarikat
Kerjasama. Jadi amat mustahaklah kuasa-kuasa pentadbiran kawasan ini diberikan kepada satu badan yang
bertanggungjawab yang mempunyai Ibu Pejabatnya di Alor Setar. Dengan itu, saya telah memutuskan iaitu
mustahak ditubuhkan satu perbadanan atau
Authority yang mempunyai seorang Pengerusi daripada Negeri Kedah”.
Pergerakan Persatuan-Persatuan dan Pertubuhan-Pertubuhan Peladang memainkan peranan yang mustahak
ke arah pencapaian matlamat Rancangan Pengairan Muda. Dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab, MADA
sentiasa melibatkan pemimpin-pemimpin peladang mengikut masa dan keadaan. Persatuan Peladang yang
pertama ditubuhkan di dalam Kawasan Muda adalah Persatuan Peladang Kubang Sepat. Ianya ditubuhkan
pada 27 Julai 1968 di bawah Akta Persatuan Peladang Tahun 1967.
Pada tahun itu hanya 215 orang yang menjadi ahli. Sekarang terdapat 27 buah Persatuan/Pertubuhan
Peladang di dalam Kawasan Muda dengan jumlah ahli seramai 26,976 orang dan modal saham sebanyak RM2.96
juta. Pergerakan Persatuan Peladang ini telah menjadi bertambah kukuh dan lebih berkesan dengan
penubuhan Majlis perunding dan Jawatankuasa Penyelaras Persatuan Peladang MADA serta Syarikat
Perniagaan Peladang (MADA) Sdn. Bhd. pada pertengahan tahun 1970 an.
Bagi mencapai cita-cita penubuhan seperti yang terkandung dalam ucapan perasmian oleh Allahyarham Tun
Abdul Razak, struktur organisasi MADA telah disusun menggabungkan peranan beberapa jabatan yang penting
yang berkaitan secara langsung dengan pelaksanaan Rancangan Pengairan Muda. Jabatan Parit dan Taliair
serta Jabatan Pertanian di dalam Kawasan Muda masing-masing diserap menjadi Bahagian Kejuruteraan MADA
dan Bahagian Pertanian MADA.
Melalui percantuman ini perkhidmatan-perkhidmatan kejuruteraan, pertanian dan pergerakan Persatuan
Peladang telah dapat diselaraskan di bawah satu organisasi yang kukuh seperti mana yang telah ditegaskan
oleh Pengurus Besar MADA yang pertama, Encik Mohd Tamin B. Yeop dalam taklimat pembukaan kepada mesyuarat
sulung Ahli-ahli Lembaga Pengarah MADA di Telok Chengai, Alor Setar pada 8 Julai 1970.
Satu kawasan seluas 43 ekar di Ampang Jajar Pasang Surut, Lencong Barat, Alor Setar kini telah berdiri
dengan kukuh dan megah serta ianya diberi nama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda. Ianya dijadikan kawasan
kompleks Ibu Pejabat MADA seperti yng ditunjukkan dalam Pelan Tataletak.
Serentak dengan pertukaran Pejabat Pegawai Penyama Projek kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda pada
30 Jun 1970, bangunan sementara Pejabat Pegawai Penyama Projek di Telok Chengai yang diperbuat daripada
kayu itu telah menjadi Ibu Pejabat MADA. Ianya menempatkan Pejabat Pengurus Besar, Pejabat Pentadbiran
dan Pejabat Ketua Bahagian Pertanian.
Pejabat-pejabat tersebut (kecuali Pejabat Ketua Bahagian Pertanian yang telah berpindah ke satu bangunan
sementara yang lain di Ampang Jajar) masih lagi menggunakan bangunan sementara yang lama itu sehingga
ke hari ini setelah 46 tahun MADA ditubuhkan. Pejabat Ketua Bahagian Kejuruteraan MADA telah menumpang
dan seterusnya mengambil alih bangunan sementara peninggalan Pejabat Pengarah Projek Rancangan Pengairan
Muda di Jalan Langgar. Kedudukan pejabat-pejabat Bahagian terpenting yang berjauhan dan kesesakkan
ruang pejabat yang dihadapi itu telah menimbulkan kesukaran dari segi melaksanakan program-program
pembangunan dan juga operasi.
Sebelum 30 Jun 1970, Rancangan Pengairan Muda diletakkan di bawah Pejabat Pegawai Penyama Projek
yang dikendalikan daripada Kuala Lumpur. Pelaksanaan kerja-kerja pembinaan prasarana fizikal dan
projek-projek perintis menjadi tanggungjawab Jabatan Parit dan Taliair. Jabatan Pertanian dengan
menggunakan daya utamanya sendiri telah menjalankan aktiviti-aktiviti pengembangan dan intensif
menyediakan peladang-peladang untuk memasuki satu era baru dalam perusahaan tanaman padi dua kali
setahun. Jabatan Pertanian juga telah merintis jalan ke arah penubuhan pergerakkan Persatuan Peladang.
Tanggal 30 Jun 1970 adalah merupakan lambang titik perubahan yang besar dalam sejarah Rancangan
Pengairan Muda. Pada hari itu Pejabat Pegawai Penyama Projek dengan rasminya ditukar menjadi
sebuah pihak berkuasa menurut undang-undang yang sekarang dikenali sebagai MADA.
Seawal penubuhan, MADA hanya mempunyai 7 orang kakitangan asas terdiri daripada seorang Pengurus Besar,
seorang Pentadbir, seorang Jurutera, seorang Ahli Ekonomi, seorang Pegawai Kerani, seorang Pelayan
Pejabat, dan seorang Pekerja Buruh. Pergantungan kepada kedua-dua Jabatan Pertanian serta Jabatan Parit
dan Taliair terpaksa diteruskan sementara proses pinjaman dan proses pengambilan kakitangan baru
sahaja dilakukan. Sekarang bilangan kakitangan MADA dalam semua kumpulan dan lapisan telah banyak
bertambah, berjumlah lebih daripada 1850 orang. Tugas dan tanggungjawab juga telah berkembang luas
untuk memenuhi matlamat meninggikan taraf hidup masyarakat peladang di dalam Kawasan Muda dan
melebihkan pengeluaran makanan untuk keperluan Negara.