Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah menganjurkan satu Seminar Pengembangan Kawasan Muda Baharu pada 18 Disember 2017 yang lalu dan ianya turut dihadiri oleh seramai 260 orang peserta yang terdiri dari Pegawai MADA, Luar MADA serta Pemimpin Peladang MADA. Seminar ini adalah bertujuan untuk menekankan pengembangan berstruktur dan berjadual yang memberi fokus kepada pemindahan teknologi pertanian dan pengairan berdasarkan kepada keperluan sasar, peringkat aktiviti dan keadaan setempat.
Seminar ini juga diadakan sejajar dengan langkah pihak MADA untuk memperkasakan program pengembangan supaya golongan peladang mendapat manfaat dan maklumat yang cepat, tepat dan mudah difahami. Kawasan MADA baharu mempunyai keluasan 4,127 hektar dan 14 lokasi yang terlibat di negeri Kedah dan Perlis. Bilangan peladang yang terlibat bagi kawasan MADA baharu adalah seramai 2,505 orang.
Majlis yang berlangsung di Royale Signature Hotel ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Wira Othman Bin Haji Aziz,Timbalan Menteri Kewangan 1 Merangkap Pengerusi MADA.