Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terus memacu industri padi seiring dengan motto agensi tersebut ‘ MADA – Nadi Jelapang Padi Negara’ menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan dalam menjayakan agenda transformasi di Kawasan Muda.
YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib bin Abdul Razak telah meluluskan sumbangan One-Off sebanyak RM810,000 dibahagikan kepada 27 PPK menjadikan nilai RM30,000 bagi setiap satu PPK.
Dato’ Wira Othman Aziz berkata, sehingga Disember 2017, keanggotaan ahli PPK MADA berjaya meningkat kepada 51,437 peladang daripada 50,441 peladang bagi tahun sebelumnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Royale Signature Hotel, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata isipadu perniagaan sehingga Disember 2017 adalah sebanyak RM131.14 Juta bagi keseluruhan PPK, manakala menurut laporan kewangan PPK Tahun 2017, jumlah keuntungan bersih pula berjaya mencecah RM5.54 Juta setahun.
Tambah beliau, ini jelas menunjukkan keprihatinan pihak Kerajaan kepada golongan pesawah yang bertungkus-lumus membanting tulang demi memastikan kelestarian bekalan makanan negara.
Beliau berharap agar mesyuarat agung akan menjadi platform kepada PPK untuk menyusun kembali stategi memperkukuhkan pergerakan PPK bagi tahun berikutnya.